MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF PENDIDIKAN IPT & BIASISWA SUKAN MAJLIS SUKAN NEGERI PULAU PINANG BAGI PROGRAM PENANG ATHLETE CAREER EDUCATION (PACE) DAN MAJLIS BERBUKA PUASA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF PENDIDIKAN IPT & BIASISWA SUKAN MAJLIS SUKAN NEGERI PULAU PINANG BAGI PROGRAM PENANG ATHLETE CAREER EDUCATION (PACE) DAN MAJLIS BERBUKA PUASA

26 APRIL 2021 (ISNIN)

BALLROOM 2, TINGKAT 10, ST. GILES THE WEMBLEY

____________________________________________________

Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan Merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Encik Mozakir Bin Buyong Mokhtar

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Encik Harry Chai Heng Hua

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Encik Cheah Ban Cheng

Timbalan Pengerusi II Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

 

TAN SRI / PUAN SRI, DATO’ SERI - DATO’ SERI, DATO’-DATO’

 

AHLI-AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

 

KETUA-KETUA JABATAN/WAKIL

 

RAKAN-RAKAN MEDIA

 

TUAN-TUAN dan PUAN-PUAN SEKALIAN

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan Institut Pengajian Tinggai (IPT) & Biasiswa Sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang Bagi Program Penang Athlete Career Education (PACE) & Majlis Berbuka Puasa pada petang yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada 38 atlet Negeri Pulau Pinang yang telah memecahkan rekod kejayaan peribadi, kali ini bukan dalam bidang sukan sebaliknya dalam bidang pendidikan. Sesungguhnya, ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan sekaligus membuktikan atlet negeri kita mempunyai standard yang tersendiri. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

Melihatkan kepada usaha menjana atlet sukan berprestasi tinggi yang berpendidikan tinggi, saya percaya impian dan hasrat kita untuk melestarikan pembangunan sukan berprestij tinggi dan memperkasakan peranan dan bakat modal insan dalam menjayakan Visi Penang2030 berada di landasan yang tepat.

Seperti mana  yang kita semua sedia maklum, terdapat dua (2) jenis bantuan di bawah program Pendidikan PACE ini merangkumi:

i)      Bantuan Insentif Pendidikan Secara One-Off

Bantuan ini adalah khas secara One-Off kepada atlet-atlet Negeri Pulau Pinang yang telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam program Sijil Kemahiran, Pra Diploma, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta dan Institusi Latihan Kemahiran Awam/Swasta di Malaysia.

ii)     Bantuan Biasiswa Sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Bantuan ini ditawarkan kepada atlet Negeri Pulau Pinang yang pernah mewakili dalam temasya Sukan Malaysia. Bagi Program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa, ia adalah berdasarkan CGPA minimum yang telah ditetapkan.

Semua permohonan serta bantuan-bantuan ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat permohonan.

Pada 18 Disember 2020, seramai enam (6) atlet Negeri telah terpilih sebagai perintis untuk menerima Bantuan Pendidikan di bawah program PACE. Statistik ini telah menunjukkan peningkatan yang positif yang mana jumlah atlet yang telah memohon dan berjaya telah meningkat sebanyak 24 orang merangkumi atlet dari sukan Skuasy, Floorball, Kenu, Hoki, Olahraga, Bola Jaring, Tenpin Bowling, Silat, Sepak Takraw dan Karate, dengan keseluruhan insentif adalah sebanyak RM22,200.00. Saya amat yakin dan percaya angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Sejarah turut dicipta pada hari ini apabila seramai 16 atlet telah berjaya memenuhi syarat untuk menerima Bantuan Biasiswa Sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang di bawah program PACE yang julung kalinya diadakan dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM66,100.00. Anda merupakan kumpulan pertama yang akan menerima bantuan memandangkan Bantuan Biasiswa Sukan baru dilancarkan pada tahun ini.

Selain daripada kedua-dua bantuan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui program PACE juga telah menyokong penuh usaha untuk mewujudkan Bantuan Skim Kebajikan Atlet Negeri (SKAN) khasnya untuk menjaga kebajikan atlet-atlet negeri melalui inisiatif Bantuan Khairat Kematian, Bantuan Rawatan Penyakit, Bantuan Kos Pembedahan dan Bantuan Bencana Alam secara One-Off.

Dalam usaha untuk membina landasan kerjaya yang progresif untuk atlet negeri, suka untuk saya umumkan bahawa satu program baru di bawah PACE turut akan diperkenalkan iaitu program “Penang Junior Coaches”, bertujuan untuk memberi peluang kepada bekas atlet atau atlet negeri Pulau Pinang untuk memperkenalkan diri mereka dalam bidang kejurulatihan sebagai suatu landasan kerjaya selain daripada membantu memperkenalkan serta membangunkan sukan di sekolah-sekolah rendah buat peringkat permulaan program ini.

Melalui satu sesi kaji selidik berkenaan sukan-sukan yang memerlukan bantuan kejurulatihan yang telah dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) pada semua sekolah di negeri Pulau Pinang, sebanyak 145 sekolah rendah telah memberikan maklum balas dan daripada jumlah tersebut, 81 sekolah rendah telah memohon bantuan kejurulatihan bagi sukan-sukan tertentu.

Berdasarkan data ini, program Penang Junior Coaches diyakini sangat membantu atlet-atlet yang berkelayakan untuk membina satu landasan kerjaya dengan kepakaran yang dalam sukan-sukan ini.

Dengan segala bentuk bantuan yang ditawarkan dengan tujuan untuk melihat pembangunan serta kebajikan atlet negeri terus terbela, Kerajaan Negeri berharap platform yang tersedia ini mampu menjadi pemangkin kejayaan dan mampu melahirkan lebih ramai atlet yang berdaya saing pada masa hadapan.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada para atlet yang telah berjaya. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang berganding bahu dalam menyokong program PACE, termasuklah syarikat-syarikat yang berbesar hati memberikan sumbangan kewangan antaranya Syarikat Hotayi Electronic (M), Syarikat Hunza (Penang International Commercial City), Syarikat UWC Berhad, Syarikat Dee Noon Corporation, Syarikat Menara Kerjaya dan Only World Group Holdings Berhad.

Besar harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melihat lebih ramai lagi agensi-agensi korporat seperti ini yang akan tampil ke hadapan dalam membantu atlet-atlet negeri Pulau Pinang untuk mencapai  kerjayaan dalam bidang pendidikan dan kerjaya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang