KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERTARIKH 27 OKTOBER 2021 DI KOMTAR, GEORGE TOWN
SUNTIKAN DOS PENGGALAK BERJALAN, KEBERKESANAN DIPANTAU ELAK LONJAKAN KES
Sehingga 26 Oktober 2021, jumlah penerima dos penggalak (booster) peringkat negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 7,808 orang. Malah, janji temu juga telah mula diberikan kepada mereka yang layak menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan 46 klinik swasta dan hospital swasta (8) tersenarai kini.
Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja), pencapaian untuk suntikan dos pertama bagi tempoh masa sama adalah 89.7 peratus manakala lengkap dua dos (75.0 peratus). Dalam usaha mempertingkatkan kadar vaksinasi berkaitan, Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) menggunakan pelbagai pendekatan antaranya ziarah cakna, panggilan individu, promosi kesihatan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari semasa ke semasa.
Bagi laporan kes harian, walaupun menunjukkan trend penurunan, Kerajaan Negeri sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan JKNPP berhubung laporan kemasukan ke hospital dan juga kematian harian. Malah, turut menjadi keutamaan adalah kapasiti hospital serta kelengkapan kemudahan perubatan di negeri ini termasuk pengoperasian Pusat-pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Dalam pada itu, JKNPP juga menjalankan pemantauan rapi terhadap keberkesanan dos penggalak yang dilaksanakan kini. Kerajaan Negeri menegaskan bahawa suntikan dos penggalak adalah wajar dipercepatkan demi keselamatan serta kesihatan rakyat Pulau Pinang. Serentak itu, ia juga bagi memastikan tidak berlakunya laporan kes terutamanya membabitkan kemasukan ke hospital secara mendadak berbanding kini.