MAJLIS PERASMIAN PROJEK PEMBINAAN JALAN BERKEMBAR JALAN PAYA TERUBONG (BUKIT KUKUS)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK PEMBINAAN JALAN BERKEMBAR JALAN PAYA TERUBONG

(BUKIT KUKUS)

 

 

13 JANUARI 2022

 

 

Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang

 

Yang Berhormat Tuan Zairil Khir Johari

EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang

 

Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

 

Ahli Majlis-Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Yang Berusaha Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya

 

Ketua-Ketua Jabatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Rakan-Rakan Media

 

Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kesempatan untuk kita semua berkumpul pada pagi yang berbahagia ini untuk bersama-sama dalam Majlis Perasmian Projek Pembinaan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang akhirnya telah berjaya direalisasikan dengan jayanya.

Kalau semua masih ingat, projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) ini adalah antara janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri semasa kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor pada tahun 2014. Dan pada hari ini, saya gembira dan teruja untuk menyaksikan kemajuan yang berjaya dikecapi dalam upacara yang bersejarah ini.

Sememangnya diakui pembinaan projek jalan yang mengambil masa selama enam (6) tahun bukanlah satu tempoh yang mudah. Sepanjang proses ini, Kerajaan Negeri berdepan pelbagai kritikan dan kecaman, namun kita optimis dan berjaya mengatasi serta mengenepikan segala kesukaran dan kesulitan bagi menyiapkan projek jalan yang cukup ikonik ini.

Secara keseluruhannya, projek ini merangkumi tiga (3) segmen atau konsesi iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), syarikat Geo Valley Sdn. Bhd. Development dan syarikat PLB Land Sdn. Bhd. Development bagi pembinaan projek jalan sejauh 5.5 km yang melibatkan kos sebanyak RM545.6 juta.

Dan pada hari ini, kita menyaksikan segmen yang telah berjaya disiapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang melibatkan laluan sejauh 3.825km dengan kos pembinaan sebanyak RM279.5 juta. Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 14 Januari 2016, dan telah disiapkan pada 24 Disember 2021 yang melibatkan skop kerja seperti berikut:

  1. Pelebaran dan menaiktaraf persimpangan Lebuhraya Thean Tek/Jalan Bukit Kukus sepanjang 0.6 km.
  2. Pelebaran sebahagian Jalan Bukit Kukus sedia ada sepanjang 0.6 km.
  • Pembinaan jalan baru dan jejambat menyambungkan Jalan Paya   Terubong   sedia   ada   ke   Lebuh   Bukit Jambul sepanjang 1.8 km.
  1. Pembinaan persimpangan jejambat   dari   Jalan Berkembar   Jalan   Paya   Terubong   ke   Jalan   Tun Sardon sedia ada sepanjang 0.825 km.
  2. Selain dari itu terdapat juga satu struktur pusingan “U”bertingkat dan bulatan di Lebuh Bukit Jambul. Lorong basikal juga disediakan di sepanjang jalan berkembar Jalan Paya Terubong ini.

Istimewanyanya lagi projek ini adalah terdapat satu laluan dengan ketinggian 61.5 meter yang telah meletakkan lebuh raya ini sebagai yang paling tinggi di Malaysia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Projek pembinaan jalan ini merupakan sebuah projek yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur rakyat, terutama pengguna jalan raya yang berulang-alik menggunakan Jalan Paya Terubong dan terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang serius setiap hari.

Akhir kata, syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas komitmen yang telah diberikan dalam menyempurnakan tugasan yang penuh cabaran ini. Adalah diharapkan dengan siapnya projek jalan berkembar ini, ia mampu menyuraikan kesesakan lalu lintas dan trafik di Jalan Paya Terubong sedia ada sebanyak 30 peratus dan memberi kelegaan dan manfaat kepada hampir 60,000 orang yang telah menggunakan jalan ini setiap hari.

Sekian, terima-kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang