UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TEKS UCAPAN  KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN

AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

 

 

6 JANUARI 2022

DEWAN PERSIDANGAN MAJLIS, MBPP

 

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Tiimbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar dan Desa

YB Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Ketua-Ketua Jabatan

Para Wartawan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas penganjuran Majlis Upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Tahun 2022 pada petang yang berbahagia ini.

Sekalung tahniah dan syabas juga saya rakamkan kepada 24 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada 3 orang muka baru dan 21 orang yang telah disambung perkhidmatan untuk menggalas tugas baharu dan meneruskan tanggungjawab bagi tempoh satu (1) tahun bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022. Selain itu, ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga dirakamkan kepada bekas Ahli Majlis yang telah berkhidmat dengan cemerlang bagi penggal 2021.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengalu-alukan pelantikan ini dan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada kesemua 24 orang Ahli Majlis untuk meneruskan tradisi dan kecemerlangan, sekaligus memantapkan serta memperkasakan organisasi MBPP secara keseluruhannya.

Berperanan sebagai penghubung di antara Kerajaan Negeri dan rakyat, saya berharap semua Ahli Majlis faham dengan bidang tugas dan fungsi masing-masing, serta peka terhadap situasi dan keadaan semasa agar produktiviti dan sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat yang semakin meningkat dan mencabar.

Justeru, Ahli Majlis harus memberikan perhatian yang terperinci dan melakukan segala usaha untuk memastikan laluan pejalan kaki, kawasan hijau, lorong berbasikal, perparitan, jalan raya dan trafik serta pengurusan sisa pepejal adalah mengikut piawaian dan standard yang tinggi. Ahli Majlis juga berperanan sebagai barisan hadapan dalam perundingan untuk menangani aduan awam dengan pantas.

Melangkah ke tahun baharu 2022, dengan pandemik COVID-19 yang masih belum ada tanda pemulihan serta kehadiran varian baru yang mengugat sistem kesihatan awam, kesiapsiagaan sepatutnya sudah ada sebagai persediaan untuk mendepani sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Saya percaya MBPP merupakan antara organisasi terbaik yang sentiasa bersiap sedia untuk mengubah sistem dan cara pelaksanaan sesuatu tuntutan kerja serta menyusun semula pengurusan organisasi, pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan tanpa berkompromi dengan keperluan untuk menegakkan kepentingan Tadbir Urus Baik (Good Governance) .

Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) masih terus menyumbang kepada prestasi kewangan dan pencapaian pengiktirafan MBPP serta keperluan rakyat dipenuhi, sehingga berjaya mencapai lebihan pendapatan (surplus) sebanyak RM19.71 juta pada tahun 2021. Tahun ini, dengan defisit sebanyak RM28.89 juta, penyediaan kemudahan awam dan menaiktaraf infrastruktur demi kepentingan sosio-ekonomi para pembayar cukai masih menjadi komitmen dan keutamaan MBPP.

Saya difahamkan bahawa MBPP akan mengoptimakan pengurusan sumber-sumber dengan membelanjakan kepada projek dan program yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat yang lebih memerlukan. MBPP masih komited dengan menyediakan prasarana dan kemudahan awam  dengan peruntukan kewangan sebanyak RM27.15 juta pada tahun ini, antaranya meliputi enam (6) projek pengubahsuaian/ menaiktaraf pasar dan kompleks makanan serta enam (6) projek infrastruktur jalan dan lalu lintas.

MBPP tetap menekankan usaha menjadikan kebersihan sebagai budaya atau cara hidup bersama. Bagi fokus kebersihan, perbelanjaan sebenar bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM58.96 juta. Sebanyak RM62.27 juta diperuntukkan pada tahun ini. Pada amnya, kerja-kerja pembersihan awam adalah diuruskan secara dalaman oleh kakitangan MBPP seramai 985 orang.  Pada masa yang sama, MBPP akan terus melaksanakan program kehijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja landskap dengan peruntukan kewangan sebanyak RM11.03 juta pada tahun ini.

Sejak pandemik COVID-19 diisytiharkan, kajian menunjukkan peningkatan jumlah bahan pembungkusan diperbuat daripada plastik sekali guna (single use plastic). Justeru, kita perlu menyemak gaya hidup yang diamalkan pada masa ini dan memilih untuk beralih kepada gaya hidup sisa sifar. Komuniti perlu merancang setiap pembelian supaya tidak memberi impak kepada alam sekitar.  Saya percaya MBPP akan terus memberi penekanan melalui amalan Circular Economy or Zero Waste ini.

Pandemik COVID-19 ini telah menjejaskan kesejahteraan orang ramai, kumpulan perniagaan, peniaga dan penjaja. Banyak perniagaan sedang bergelut untuk kembali pulih dan MBPP harus kekal mesra perniagaan dan memastikan peniaga kecil dan penjaja berkembang maju. Pada masa ini, kita hidup dalam norma dan SOP baharu di mana pasar serta pusat penjaja harus mematuhi SOP yang ketat dan sentiasa menjaga kebersihan dan standard yang tinggi.

Rentetan daripada insiden bencana alam yang luar biasa khususnya banjir yang melanda negara baru-baru ini seperti di Selangor dan Pahang, Kerajaan Negeri telah mengarahkan agensi-agensi yang terlibat untuk memperkasakan pelan tindakan bencana sebagai persiapan rapi untuk berdepan sebarang kemungkinan ini.

Pada tahun-tahun akan datang, bandaraya kita akan mendepani lebih banyak cabaran seperti pelepasan gas rumah hijau, pencemaran serta tekanan perbandaran (urban pressure). Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan memerlukan ‘pendekatan menyeluruh masyarakat’ untuk menangani krisis iklim, dengan strategi berikut:

  1. Planning - Perancangan Ketahanan Iklim yang melibatkan pelaksanaan polisi sediada dan pengenalan kepada polisi-polisi baru yang lebih bersesuaian dengan kehendak semasa.
  2. Readiness/ Preparedness - set tindakan berasaskan kajian yang diambil sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi potensi bencana. Ianya termasuk kesiapsiagaan organisasi dan aset.
  3. Respond - Pelan Tindak Balas Kecemasan dan mobilisasi semua jabatan/ agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang awam.
  4. Recovery – Pelan Pemulihan Pasca Bencana yang melibatkan penyaluran bantuan kepada kumpulan yang terjejas.

Oleh yang demikian, MBPP juga harus peka terhadap perubahan iklim dalam merancang dan mengawasi projek pembangunan. Dalam masa yang sama, MBPP juga harus bersiap sedia sebagai salah satu agensi peneraju yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana seperti banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh.


Langkah-langkah yang diambil dalam pengurusan kejadian bencana tersebut adalah:

(a)       Tindakan mitigasi bagi mencegah, meminimakan risiko dan mengurangkan kejadian bencana di suatu kawasan hotspot. Bagi kejadian bencana banjir, antara langkah-langkah mitigasi yang diambil  adalah:

(i)         Penyelenggaraan dan pembersihan sistem saliran dan perparitan serta perangkap sampah secara berterusan dan konsisten

(ii)        Menjalankan kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran dan tebatan banjir . Sebanyak 13 projek menaiktaraf sistem saliran dan tebatan banjir telah dijalankan oleh MBPP sejak tahun 2018, khususnya di dalam kawasan Bandaraya George Town dan Zon Perindustrian Bebas,

(iii)       Pemasangan dan menaiktaraf pintu air di lokasi kejadian banjir kilat, khususnya dalam kawasan George Town seperti mengadakan flood gate.

(iv)       Pemaju menaiktaraf sistem saliran yang terlibat dengan pembangunannya mengikut panduan yang ditetapkan.

Pengurusan risiko bencana turut diamalkan dengan  menggunakan kemudahan dan teknologi seperti berikut:

(i)         Sistem Amaran Awal yang dipasang oleh Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran; serta

(ii)        Sistem pemantauan kawasan hotspot bencana dilaksanakan melalui dron (bagi kawasan bukit/ hutan), water level sensor (bagi 10 kawasan  banjir)  dan CCTV.

(b)       Pelan Pengadaptasian Iklim Berasaskan Semulajadi telah direncanakan untuk menangani perubahan iklim di dalam kawasan pentadbiran MBPP. Difahamkan bahawa projek –projek             yang terlibat termasuklah penanaman pokok, mitigasi banjir, kesedaran komuniti termasuk projek upstream retention, swales, blue corridors, pocket parks, backlane transformation, connected canopies dan greening parking spaces.

           

(c)        Perancangan pasca bencana dan kesiapsiagaan Skuad Khas MBPP dan diaktifkan operasi pengurusan bencana seperti kawalan trafik, pemangkasan pokok tumbang, pembersihan             sampah dan pembersihan selut termasuk pembukaan Pejabat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis.

Kerajaan Negeri berharap dengan berbekalkan segala pengalaman, pelan dan perancangan rapi, Pulau Pinang mampu mengendalikan pengurusan bencana dengan lebih cekap dan berkesan.

Saya ingin menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada misi pasca banjir mulai 20 Disember 2021 hingga            6 Januari 2022 yang terdiri daripada anggota seramai 90 orang daripada Unit Pembersihan dan Penguatkuasaan yang sanggup menghadapi apa jua cabaran tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Sesungguhnya Pulau Pinang amat bangga dengan anda semua!

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya turut ingin mengambil peluang untuk mengucapkan syabas dan tahniah juga kepada MBPP atas usaha berterusan dalam mempertahankan Outstanding Universal Value di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town melalui usaha Repopulating Geroge Town dan memulihara bangunan warisan  dengan  peruntukan kewangan sebayak RM5.70 juta. Matlamat utama projek sebegini adalah mampu untuk mengekalkan persekitaran yang sihat dan selamat bagi tujuan aktiviti kemasyarakatan dan pada masa  yang sama nilai-nilai sejagat dapat dipelihara.

 

Pada tahun 2020, GDV di bahagian Pulau adalah berjumlah RM2,575,493,593.00 hasil daripada pembangunan yang telah diluluskan oleh MBPP. GDV bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM3,158,700,797.00. Jumlah ini dijangka akan berkekalan bagi tahun 2022.

Dalam kita menghadapi persekitan berdaya saing, perkara yang perlu diberi perhatian adalah memastikan pembangunan bandar yang mengutamakan pertumbuhan sosio ekonomi, selain daripada merangka dan melaksanakan projek pembangunan dan program yang berdaya tahan serta mampan.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada kesemua 24 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada gabungan muka baru dan muka lama yang dilantik semula bagi penggal ini. Semoga gandingan baru ini dapat dimantapkan seiring dengan hasrat dan matlamat ke arah memperkasakan Agenda Perbandaran, sekaligus merealisasikan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang