MAJLIS PELANCARAN KAD LAPORAN PENCAPAIAN 3 TAHUN KERAJAAN NEGERI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KAD LAPORAN

PENCAPAIAN 3 TAHUN KERAJAAN NEGERI

 

21 JANUARI 2022 (JUMAAT)

GRAND BALLROOM, ARAS 5, THE TOP

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

 

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa, sama ada secara fizikal ataupun yang sedang mengikuti siaran langsung di facebook Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri pada petang yang berbahagia ini.

Sebenarnya majlis pada hari ini telah lama dirancang, namun berikutan pandemik COVID-19 dan menunggu masa yang sesuai, kita terpaksa menunda majlis ini beberapa kali. Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan majlis pada hari ini akhirnya dapat direalisasikan dengan jayanya.

 

 

 

Visi Penang2030

 

Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara mempunyai keunikannya yang tersendiri. Visi ini bukan sekadar blueprint atau pelan tindakan Kerajaan Negeri, sebaliknya ia merupakan laluan pemudah cara atau ‘open door’ untuk menarik lebih banyak penyertaan dan kolaborasi – baik daripada sektor swasta, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil, dan individu untuk turut serta dalam memberi perkongsian seterusnya diadaptasi dan disesuaikan dengan keadaan semasa negeri kita.

Sebaik dilancarkan pada Ogos 2018 iaitu selepas kira-kira 3 bulan saya diamanahkan untuk memegang tanggungjawab menerajui tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri, saya melihat keperluan untuk melonjakkan lagi potensi dan kedudukan Pulau Pinang selepas melihat kepada rekod-rekod kecemerlangan yang telah berjaya dicipta dalam tempoh 10 tahun yang lepas. Begitu besar harapan saya untuk melihat negeri yang tercinta ini berada di persada yang setandingnya dalam tempoh 50 tahun akan datang bertitik tolak dari visi yang sedang kita semaikan ini.

Aspirasi dan perjalanan visi ini pada pertengahannya adalah tidak mudah. Pandemik COVID-19 telah memberikan cabaran baharu dan wujud keperluan untuk melaksanakan penyesuaian semula pada setiap 16 Strategik Inisiatif (SI) berdasarkan empat (4) tema yang telah dirangka di bawah Visi Penang2030.

Tahun 2022 ini kekal sebagai tahun yang mencabar, dengan pemulihan yang tidak sekata dan ketidaktentuan ekonomi. Walau bagaimanapun, kita terus optimis serta berjaga-jaga dalam memastikan pertumbuhan terutamanya pada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kerana kita percaya, mandat yang telah diberikan seharusnya disusuli dengan tanggungjawab sebesar harapan penduduk negeri ini untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

Kad Laporan Pertama Kerajaan Negeri

 

Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri ini mencerminkan pencapaian sebenar dan perancangan Kerajaan Negeri untuk meneruskan komitmen bagi mencapai Visi Penang2030. Selain itu, penghasilan kad laporan ini juga bertujuan untuk memastikan Kerajaan Negeri terus dibimbing dengan hala tuju yang tidak tersasar dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Naskah ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia adalah langkah pertama akauntabiliti terhadap rakyat.

Kad laporan berbentuk info grafik ini menyediakan maklumat mengenai jenis projek yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri antara 2018 hingga 2020 sebelum pandemik melanda negara. Dan, semasa penularan krisis ini, Kerajaan Negeri telah menumpukan seluruh usaha dan sumber dalam memerangi COVID-19 serta memperkukuh pelan pemulihan ekonomi bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat di negeri ini, yang telah melalui fasa kehilangan mata pencarian, hilang tempat bergantung mahupun kehilangan orang tersayang.

Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, kad laporan pertama Kerajaan Negeri ini turut menggariskan program dan projek termasuk inisiatif perumahan, ketahanan iklim, ekonomi, teknologi, pendigitalan, keluarga, pemerkasaan belia serta kesaksamaan jantina. Ini juga adalah hasil usaha dan sumbangan rakan-rakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) termasuk seluruh jentera pentadbiran awam dan swasta termasuk jabatan dan agensi yang berkaitan di negeri ini.

Keutamaan segera adalah untuk menarik pelaburan asing dan tempatan secara berkualiti dengan penekanan dalam mewujudkan lebih banyak potensi bakat baharu dan peluang pekerjaan serta membantu para peniaga kecil serta sederhana mengharungi tempoh masa yang mencabar ini.

Ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negeri Pulau Pinang

 

Pengiktirafan kepada negeri Pulau Pinang seperti yang diterbitkan oleh CNN Travel baru-baru ini telah membuktikan kita berada di landasan yang wajar. Justeru itu, kita memerlukan pentadbiran yang cekap untuk melaksana serta menyampaikan dasar, program dan projek serta memastikan integriti dalam pentadbiran terus terpelihara di semua peringkat. Kerjasama awam dan swasta akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil dalam menyumbang kepada kemajuan pelaksanaan Visi Penang2030 ke arah mewujudkan komuniti yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Hala Tuju untuk Mempercepat Pencapaian Penang2030

Melihat kepada perincian yang telah disediakan dalam kad laporan ini juga, terdapat projek tertentu yang mungkin perlu disemak dan dinilai semula, memandangkan kesesuaian atau tumpuan pada ketika ini adalah sedikit berbeza. Salah satu langkah dalam Pelan Pemulihan Kerajaan Negeri di bawah transformasi Penang2030 adalah hala tuju untuk “Mempercepat Pencapaian Penang2030” atau “Accelerating Penang2030” bersandarkan tiga (3) inisiatif utama iaitu;

  • Inisiatif Setempat (The Place-Making Initiatives);
  • Inisiatif Pembangunan Komuniti

        (The Community Building Initiatives); dan

  • Inisiatif Libat Urus Industri (The Industry

         Engegement Initiatives).

 

Inisiatif Setempat

Seperti juga dalam siri ucapan saya sebelum ini, amat penting bagi negeri kita untuk mewujudkan hab inovatif digital yang kreatif yang akan menjadi pemangkin kepada K-Ekonomi masa hadapan. Justeru, kita telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk diwujudkan suatu Daerah Digital Kreatif atau (Creative Digital District - CD2 (CD Square)) yang akan menjadi pemangkin terhadap perkembangan ekonomi, keusahawanan, pemindahan teknologi serta peluang untuk meningkatkan pengetahuan.

Inisiatif Pembangunan Komuniti

Kerjasama rakyat amat diperlukan untuk memperkasa komuniti di negeri ini. Sehubungan itu, peranan yang lebih utuh dari ahli-ahli pemimpin masyarakat di kawasan perlu dipergiat untuk terus menjalinkan kerjasama erat dan berkolaborasi yang strategik dalam penganjuran program/aktiviti bersama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Penang Green Council (PGC), Penang Harmony Corporation (HARMONICO), dan Digital Penang.

Inisiatif Libat Urus Industri

Penglibatan Kerajaan Negeri, masyarakat awam dan pihak swasta akan membentuk satu ekosistem yang lebih maju, mampan dan mampu untuk memperluas asas pelaburan kita dalam libat urus industri. Lebih-lebih lagi pada era pasca pandemik ini, kita sudah dibiasakan dengan normal pendigitalan tanpa sempadan. Pada masa yang sama, usaha sama ini perlu untuk mengumpulkan lebih banyak sumber bagi membangunkan keupayaan dalam bidang teknologi baru di negeri ini.

Di kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada semua Champion Officer iaitu pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab untuk mengurussetiakan setiap Strategik Inisiatif di bawah Champion EXCO yang berkaitan. Seterusnya, Unit Penang2030 yang menjadi penyelaras bagi setiap inisiatif atau projek di bawah pelaksanaan Visi Penang2030.  Begitu juga hasrat saya kepada seluruh penjawat awam di negeri ini supaya kita terus berganding bahu untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Semoga setiap usaha yang kita lakukan turut mendapat sokongan di peringkat akar umbi kearah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Semoga dengan pelancaran Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri ini bukan sahaja menjadi penanda aras untuk kita terus berusaha bagi merealisasikan sasaran-sasaran berikutnya malahan dapat menginspirasikan semua rakyat dalam merealisasikan Visi Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang