PELANCARAN JERSI BARU PENANG FC
KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI
PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA PELANCARAN JERSI BARU
PENANG FC
7 MAC 2022; 2 PETANG; KOMTAR
_________________________________
YB Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang FC
YB Dato’ Norazmi Mohd. Nawawi
Lembaga Pengarah Penang FC
Puan S. Bharati
Lembaga Pengarah Penang FC
Encik Jeffrey Chew Gim Eam
Pengurus Besar Penang FC
Encik Tomas Trucha
Jurulatih Penang FC
Encik Abdul Latiff Suhaimi
Pemain Penang FC
Encik Rafael Vitor
Pemain Penang FC
Encik Hilal El-Helwe
Pemain Penang FC
Encik Mohd. Faiz Subri
Pemain Penang FC
Encik S. Murugeson
Pemilik Syarikat Active Sports Sdn. Bhd.
Tuan-tuan, Puan-puan dan barisan media yang dihormati sekalian,
Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mewakili barisan kepimpinan mengucapkan syabas dan tahniah di atas kesungguhan Kelab dalam membuat persediaan terbaik untuk menghadapi kancah Liga Super dan kejohanan-kejohanan berprestij lain, termasuk pasukan pelapis untuk Piala Presiden dan Piala Belia.
Sebagaimana yang telah diuar-uarkan pada 1 Mac lalu oleh Penang FC, tibalah masanya diumumkan pelancaran jersi baru sebagai pasukan tuan rumah.
Sebelum kita teruskan, umum telah mengetahui bahawa jersi pasukan pelawat telah dilancarkan pada 3 Mac 2022 bersempena perlawanan pembukaan Liga Super menentang pasukan JDT.
Mengambil kesempatan ini, saya mengucapkan syabas dan tahniah untuk kemenangan pertama JDT dalam perlawanan pembukaan tersebut. Manakala bagi pasukan Penang FC, jangan berputus asa dengan kekalahan tipis tersebut walaupun berhadapan dengan masalah penggantungan dua pemain utama dan isu keserasian pemain yang masih dalam proses pemantapan.
Semangat juang dengan menggunakan strategi menyerap tekanan serangan yang bertali arus serta strategi kejutan serangan balas adalah amat dikagumi, dan kelemahan yang ada boleh diperbaiki bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
Hadirin sekalian,
Dengan ini, dilancarkan secara rasminya jersi pasukan tuan rumah yang dinamakan sebagai ‘To The Highest’ dengan acuan tersendiri dalam bentuk olahan corak ombak biru-kuning dengan nilai-nilai abstrak digital, pilihan yang begitu unik sekali. Serentak itu, sebuah lagu turut digubah khas oleh salah seorang Lembaga Pengarah Penang FC bersempena dengan jersi yang dilancarkan pada hari yang bersejarah ini.
Jersi ini direka khas oleh syarikat Puma dengan begitu istimewa buat pasukan Penang FC. Reka bentuk jersi ini dipilih bagi meraikan ciri-ciri Pulau Pinang yang dikelilingi laut, dan ia juga direka bentuk selaras dengan salah satu Visi Penang2030 iaitu Penang Smart City, yang berfokuskan kepada Penang Digitalisation.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dan Penang FC mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga pada Encik S. Murugeson iaitu ‘founder’ Active Sports yang telah sudi menaja jersi berjenama Puma tersebut yang mana mempunyai kelasnya tersendiri. Penajaan berkaitan adalah selain baju latihan dan pakaian harian berjenama Puma sedia ada.
Serentak itu, kita juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Puma yang mencetuskan idea hebat dan merealisasikan reka bentuk istimewa ini buat pasukan Penang FC.
Umumnya, tema dan logo ‘Sports For All’ terus dikekalkan sebagai lambang tajaan berterusan oleh Kerajaan Negeri di samping logo PKT dan The Ship Campus yang merupakan penaja utama untuk musim Liga Super 2022.
Kita berharap pasukan Harimau Kumbang akan mencapai keputusan yang baik serta memenuhi harapan dan impian peminat-peminat yang mahukan pasukan kesayangan mereka ini mencapai kedudukan membanggakan.
Dengan pelancaran jersi pasukan tuan rumah ‘To The Highest’ yang amat unik reka bentuknya ini, moga-moga ia menjadi perangsang dan meniup semangat juang tinggi untuk pasukan negeri Pulau Pinang mengulangi kejayaan-kejayaan silam. Pada masa sama juga terus melahirkan bintang-bintang yang dapat mewakili pasukan bola sepak negara demi memartabatkan kembali kehebatan pasukan bola sepak negara di persada antarabangsa.
Sekian, terima kasih.