MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR) KEPADA LEDANIM SDN. BHD. ATAS PENCAPAIAN ‘BIGGEST TIGER REPLICA MADE OF POLYGON CUBES’
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR) KEPADA LEDANIM SDN. BHD. ATAS PENCAPAIAN ‘BIGGEST TIGER REPLICA MADE OF POLYGON CUBES’
12 MAC 2022; 1035 PAGI; PASAR RAYA C-MART, NIBONG TEBAL
_____________________________
YB Tuan Yeoh Soon Hin
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
YB Tuan H’ng Mooi Lye
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi
Encik Edwin Yeoh Tiong Chin
Senior Research Consultant, Malaysia Book of Records (MBOR)
Encik Christopher Wong Hong Wai
Chief Operating Officer, Malaysia Book of Records (MBOR)
Encik Gooi Chin Hooi
Pengarah Urusan GB Plas Sdn. Bhd.
Encik Loh Hoong Liak
Pengarah Urusan Ledanim Sdn. Bhd.
Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wanita dan Keluarga (JPWK) Nibong Tebal
Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan, para hadirin dan wakil-wakil media yang dihormati sekalian,
Selamat pagi dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat H’ng Mooi Lye, ADUN Jawi yang sudi menjemput saya hadir ke majlis yang sungguh bermakna ini.
Saya dimaklumkan bahawa majlis pada pagi ini adalah satu pengiktirafan amat bersejarah yang mana sebuah syarikat tempatan beroperasi di Nibong Tebal, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang diterajui anak muda, Encik Loh Hoong Liak telah berjaya menempa nama di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Beliau hari ini akan dianugerahkan sijil MBOR ekoran kejayaan membina sebuah replika berbentuk harimau berukuran 3.96 meter (panjang) x 1.445 meter (tinggi) x 1.20 meter (lebar) daripada ‘polygon cubes’ yang keseluruhannya berjumlah 1,098 keping.
Sekiranya disedari terutamanya dalam kalangan penduduk setempat, replika tersebut telah dipamerkan di tengah pembahagi Jalan Persekutuan Taman Bukit Panchor bersempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini yang meraikan ‘Tahun Harimau’ iaitu haiwan ketiga dalam kitaran zodiak Cina yang mana mengikut kepercayaan ia melambangkan keberanian, keyakinan dan ketangkasan.
Saudara dan saudari sekalian,
Pulau Pinang bukan hanya kaya dengan nilai-nilai seni dan budaya, malah juga artis-artis berbakat yang banyak membanggakan negeri kita di persada dunia.
Tanpa mengira sama ada artis di pentas hiburan, turut mengukir nama adalah pereka fesyen, tokoh-tokoh dalam bidang kesusasteraan dan lain-lain antaranya seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dato’ Jimmy Choo, Tan Twan Eng, Kee Thuan Chye dan ramai lagi. Malah, hasil karya pelukis tempatan, Azmi Hussin juga telah beberapa kali berjaya meraih penganugerahan MBOR sebelum ini selain lukisan-lukisan mural yang begitu unik serta cantik di sekitar tapak Warisan Dunia UNESCO George Town yang turut memperoleh pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
Umumnya, kita sebagai anak Pulau Pinang wajar berbangga dengan pencapaian dikecapi. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif telah menyediakan kepelbagaian platform bagi membolehkan bakat-bakat tempatan mencambahkan idea serta kreativiti masing-masing terutamanya pada pasca pandemik kini.
Antara pendekatan yang diambil adalah ‘Show Penang Grant’ di bawah ‘Penang Art Sector Aid Package’ yang berjumlah RM200,000; Skim PEKA iaitu skim pinjaman tanpa faedah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta dan juga ‘Creative Leap Loan’ dengan peruntukan RM2 juta khas daripada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk anak-anak seni tempatan.
Hadirin sekalian,
Sebagai penutup kata, saya amat terharu dengan kreativiti serta titik peluh dicurahkan oleh Encik Loh iaitu Pengarah Urusan Ledanim Sdn. Bhd. yang telah menggunakan tempoh kira-kira sebulan dalam usaha menyempurnakan replika unik yang wajar dibanggakan ini.
Mengambil kesempatan ini juga, sekalung penghargaan kepada Encik Gooi Chin Hooi dari Syarikat GB Plas Sdn. Bhd. yang sudi menaja kos pembuatan replika tersebut.
Adalah diharapkan penganugerahan MBOR ini bakal menyuntik semangat serta kreativiti bakat-bakat muda tempatan terhadap bidang seni dengan lebih menyeluruh, dan seterusnya membawa nama Pulau Pinang ke persada dunia kelak.
Sekian, terima kasih.