KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG (BKK)

KENYATAAN MEDIA KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERTARIKH 14 APRIL 2022 DI KOMTAR,

GEORGE TOWN

————————————

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG LULUS BANTUAN KHAS KEWANGAN (BKK) SETENGAH BULAN GAJI ATAU MINIMUM RM1,200 SEMPENA AIDILFITRI

Menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung semalam (13 April 2022), Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah (½) bulan gaji atau minimum RM1,200 kepada anggota perkhidmatan awam negeri.

Pemberian yang bakal dibayar pada 27 April 2022 tersebut juga dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri. 

Dalam pada itu, BKK berjumlah RM300 masing-masing disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dan guru serta kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang. Manakala, BKK berjumlah RM200 adalah masing-masing kepada guru tahfiz, guru pondok serta guru tadika Islam (TADIS).

Selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK yang bakal membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM7.35 juta kepada Kerajaan Negeri berkenaan adalah sebagai penghargaan khas Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada semua penjawat awam yang telah mencurahkan segala keringat dalam menempuh tempoh pandemik COVID-19 sebelum ini.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang