MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI BUMI SEDUNIA 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI BUMI SEDUNIA 2022
23 APRIL 2022
KONKOS TINGKAT BAWAH 1st AVENUE
YB Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Cik Wong Carmen
Pegawai Kanan Penang Green Council (PGC)
Encik Afnan bin Zakaria
Penghulu Kawasan Komtar
Encik Amiruddin bin Mohd Kasim
Penghulu Parlimen Tanjong
Encik Wong Yue Harng
Ahli Majlis MBPP
Encik Alan Lim Wei Lun
Ahli Majlis MBPP
Encik Chris Ong
Pengurus MARCOM 1st Venue Penang
Cik Tan Yng Yih
Pengerusi JPWK Komtar
Encik Cheah Sze Phatt
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Macalister
Barisan MPKK/JPWK Kawasan Komtar
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Macalister di bawah kawasan ADUN Komtar, YB Teh Lai Heng atas penganjuran program Sambutan Hari Bumi Sedunia 2022 pada petang ini.
Terima kasih juga sekali lagi kepada MPKK Macalister kerana telah mengingatkan kita semua bahawa tarikh keramat 22 April setiap tahun yang signifikan dengan Sambutan Hari Bumi Sedunia ini adalah sangat penting dan ia wajar diraikan dengan cara kita yang tersendiri sebagai tanda penghargaan terhadap bumi yang cukup bertuah ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sejak pagi tadi, pelbagai acara telah disusun bagi disesuaikan dengan konsep dan inisiatif program. Antaranya adalah seperti pertandingan mewarna, ‘roadshow’, bengkel membuat sabun sendiri dan pasu bunga, bengkel menggunakan semula barangan gelas dan menukar barangan terpakai.
Meskipun berskala kecil, tetapi jangan lupa impaknya sangat besar dalam usaha kita memupuk dan meningkatkan kesedaran berkaitan alam sekitar terutama kepada generasi muda. Mesej penting ini perlu dilihat secara inklusif, lebih-lebih lagi dengan krisis penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia kini.
Kita berharap pengalaman dilanda pandemik ini dapat membuka mata kita semua agar mengatasi masalah global sementara ia belum berada di tahap kritikal, berbanding daripada mengatasinya semasa ia sudah terlambat.
Di Pulau Pinang, aspek penghijauan negeri sentiasa menjadi antara fokus dan agenda utama. Sejak 2010, kita sudah melancarkan inisiatif Clener, Greener Penang dan kini Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang turut menekankan aspek hijau dengan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang hijau lagi bersih.
Bagi tempoh jangka masa panjang, Pulau Pinang telah meletakkan sasaran baru untuk menanam 500,000 pokok menjelang tahun 2030. Kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) komited untuk menjayakan sasaran ini, di samping pelbagai usaha memelihara dan memulihara alam sekitar melalui pelbagai inisiatif hijau lain seperti projek Penang Smart Parking (PSP), Link Bike, dan penukaran lampu jalan konvensional ke lampu jenis LED.
Justeru, Kerajaan Negeri berharap semangat ini bukan setakat hari ini tetapi akan terus dikekalkan secara berterusan sehingga ia menjadi gaya hidup rakyat untuk lebih prihatin terhadap alam sekitar, sekaligus merealisasikan hasrat dan impian bersama ini.
Oleh itu, saya ingin mengajak anda semua warga negeri khususnya untuk bersama-sama menyambut Hari Bumi dengan cara dan mengikut kesesuaian masa sendiri sama ada di tempat kerja mahupun di kediaman masing-masing. Antaranya adalah seperti aktiviti penanaman pokok, mengurangkan penggunaan elektrik dan aktiviti-aktiviti lain yang boleh membantu kita memelihara dan memulihara alam sekitar di sekeliling kita.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada MPKK Macalister dan semua yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan program pada hari ini. Dengan sambutan yang menggalakkan, saya berharap program ini dapat diteruskan lagi dan menjadi acara tahunan pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.