PERUTUSAN HARI PEKERJA 2022 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

PERUTUSAN HARI PEKERJA 2022 OLEH

KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

PADA 29 APRIL 2022 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

 

 

Tanggal 1 Mei setiap tahun bukan sekadar hari kelepasan am mahupun cuti umum, tetapi dikhususkan bagi meraikan penat lelah warga pekerja seluruh negara yang menggalas tanggungjawab dan amanah dalam menggerakkan pelbagai sektor serta membangunkan negara. Tidak kira sama ada pekerja di sektor awam, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan mahupun bekerja sendiri, sumbangan semua, terutamanya warga negeri Pulau Pinang adalah amat dihargai termasuk ketika berdepan pandemik COVID-19.

Kini, dalam fasa peralihan ke endemik, sumbangan serta peranan setiap warga pekerja perlu diteruskan demi memastikan kelangsungan agenda pembangunan negeri dan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara dapat direalisasikan. Malah, Kerajaan Negeri optimis dan akan terus mempergiatkan usaha membantu warga negeri dengan menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang taruh; menyediakan peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor serta memperkenalkan insentif tambahan atau pelan rangsangan berkaitan sebagai pengiktirafan terhadap peranan yang dimainkan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergerak secara proaktif dengan menjalinkan kerjasama bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) khasnya bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) bagi suku ke-4 tahun 2021, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu sebanyak 3.2 peratus, selepas Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.6 peratus), Selangor (2.9 peratus), Melaka dan Negeri Sembilan (3.1 peratus). Dalam pada itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) negeri Pulau Pinang juga adalah amat memberangsangkan  iaitu sebanyak 72.1 peratus, selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 74.7 peratus dan Selangor (74.1 peratus).

Agenda pembangunan modal insan berkemahiran tinggi juga tidak pernah diabaikan yang mana ia digerakkan untuk mendorong ekosistem kerjaya berprospek tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran rakyat sebagaimana terkandung dalam Visi Penang2030. Malah, Kerajaan Negeri turut melaksanakan kepelbagaian program asas untuk mencungkil minat generasi pelapis terhadap STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) melalui inisiatif seperti MakerLab, Coding-For-All, Penang International Science Fair dan lain-lain bagi terus mendokong ekonomi negeri serta mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai ‘Silicon Valley of East’.

 

Justeru, marilah kita semua warga pekerja, memperbaharui iltizam dan memperkasakan tekad kita untuk terus mempamerkan prestasi kerja berprestasi tinggi, di samping mempratikkan etika kerja berintegriti dalam membentuk budaya kerja cemerlang sekali gus sebagai pemangkin #UntukNegeriKita mencipta lebih banyak kejayaan dan seterusnya memastikan kemakmuran dapat dinikmati bersama tanpa ada sesiapapun yang dikecualikan.

Selamat menyambut Hari Pekerja 2022 kepada semua warga pekerja khasnya rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi sekalian.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang