MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL HARI RAYA AIDILFITRI 2022 PERINGKAT PARLIMEN KEPALA BATAS
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL HARI RAYA AIDILFITRI 2022 PERINGKAT PARLIMEN KEPALA BATAS
PUSAT EKOPELANCONGAN SEBERANG PERAI UTARA, PINANG TUNGGAL; 7 MEI 2022; 815 MALAM
_____________________________________
(SALUTASI)
Selamat petang dan Salam Harapan.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di bawah pimpinan Saudara Lay Hock Peng atas penganjuran Karnival Hari Raya Aidilfitri pada petang yang berbahagia ini.
Walaupun ini merupakan penganjuran sulung, pihak penganjur telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 40 gerai termasuk kira-kira 12 pekebun serta usahawan-usahawan yang komited mempromosi serta mengetengahkan produk dan hasil pertanian penduduk tempatan. Hasil tanaman yang dibawa ke sini adalah segar dan berkualiti tinggi dengan tawaran harga yang berpatutan.
Sebagaimana kita sedia maklum, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sangat terkenal dengan penghasilan produk pertanian yang terdiri daripada pelbagai tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bermutu tinggi, bukan sahaja untuk dijual kepada penduduk tempatan malah juga pasaran dalam negara sehingga diberi jolokan nama “Cameron Tanah Rata”.
Justeru, dengan penganjuran sebegini, ia secara tidak langsung dapat dijadikan platform untuk mempromosikan hasil-hasil pertanian sekaligus merealisasikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sebagai Pusat Eko-Pelancongan pada masa akan datang.
Hadirin sekalian,
Pertanian mampan secara moden merupakan hala tuju Kerajaan Negeri untuk pembangunan khidmat pengembangan teknologi pertanian, pembangunan dan naik taraf pusat kecemerlangan teknologi pertanian, pembangunan tanaman padi, buah-buahan dan sayuran, pembangunan industri pemprosesan makanan serta lain-lain projek yang berkaitan bagi memastikan industri pertanian di negeri ini dapat berkembang maju dan mapan dalam pelaksanaannya.
Antaranya, projek yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah Pakej Insentif Amalan Teknologi Bagi Program Farmer To Farmer, projek Model Pembenihan Aruhan Kerang Bagi Perusahaan Ternakan Kerang Di Pulau Pinang dengan kerjasama Fisheries Research Institute dan Program Penternakan Keli Dan Puyu Pejal Berkelompok dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia. Malah, Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM1.34 juta bagi tahun 2020 dan 2021 bagi menjayakan inisiatif program pertanian bandar bagi memastikan rantaian bekalan makanan negeri ini adalah berterusan.
Secara keseluruhan, dari tempoh 2018 hingga tahun 2021, projek pembangunan pertanian inisiatif Kerajaan Negeri telah berjaya menyuntik hasil serta nilai pengeluaran tanaman makanan bagi Pulau Pinang berjumlah 160,006.62 tan metrik dengan nilai RM352,199,006 dan nilai jualan industri asas tani sebanyak RM110,928,755.
Saudara dan saudari sekalian,
Mengulas mengenai penganjuran pada hari ini, pihak penganjur turut mengedarkan 300 baucar pembelian masing-masing bernilai RM10 kepada para pengunjung sebagai sokongan kepada golongan petani serta pengusaha tempatan menerusi pembelian yang dibuat.
Saya berharap semua pihak, sama ada peserta mahupun pengunjung dapat memanfaatkan peluang yang disediakan ini dalam bersama-sama mentransformasi dan membangunkan sektor pertanian di Pulau Pinang selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, yang mana pembangunan adalah meliputi setiap satu aspek dan seterusnya memberi segala kebaikan kepada rakyat jelata.
Akhir kata, sekali lagi tahniah diucapkan kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri Pulau Pinang serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan program pada hari ini.
Sekian, terima kasih.