MAJLIS PELANCARAN BUKU SAJAK TAMIL, ‘ANTHAATHI PARAVAIGAL’
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BUKU SAJAK TAMIL, ‘ANTHAATHI PARAVAIGAL’
08 MEI 2022; AUDITORIUM C, KOMTAR
_______________________________
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-ADUN) dan
barisan Ahli Parlimen,
Saudara Encik S. Gunalan
Presiden Persatuan Kebudayaan Tamil Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ G. Mariadass
Penasihat Persatuan Kebudayaan Tamil Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Anwar Hussain
Pengerusi Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC)
Rakan-rakan media,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian;
Salam Sejahtera dan selamat petang.
Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa syukur kerana dapat berhimpun dalam Majlis Pelancaran Buku Sajak Tamil hasil karangan saudara S. Gunalan pada petang ini.
Penerbitan buka berkaitan adalah hasil kerjasama bersama-sama Persatuan Kebajikan Muslim Tanjung Pulau Pinang (PELITA), dan saya difahamkan bahawa buku berjudul ‘Anthaathi Paravaigal’ dalam bahasa Tamil ini adalah berkonsepkan ilustrasi sajak serta kepelbagaian pantun yang disulami dengan beberapa peristiwa bersejarah dalam kalangan komuniti Tamil dengan sentuhan nilai-nilai murni.
Hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong usaha dalam melahirkan sumber insan berpengetahuan yang menjadi tulang belakang penting kepada pembangunan ekonomi serta sosial negeri ini. Kita senantiasa menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat negeri ini tanpa mengira peringkat umur yang mana matlamat kita adalah untuk melahirkan warga Pulau Pinang dengan tahap pemikiran kelas pertama bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana menerajui inisiatif ini. Secara peribadi, saya merasakan bahawa ia merupakan inisiatif baik ke arah mewujudkan masyarakat berpengetahuan atau ‘knowledge society’ sejajar Visi Penang2030 iaitu muncul sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Memasuki tahun kelima belas Kerajaan Negeri Pakatan Harapan menerajui tampuk pemerintahan negeri Pulau Pinang, penekanan terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan sosioekonomi masyarakat India di Pulau Pinang tidak pernah diabaikan.
Saban tahun, pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan infrastruktur disediakan, misalnya meneruskan penyaluran peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi melaksanakan projek-projek khas sama ada pada aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan juga pembangunan. Malah, pelantikan 12 Pesuruhjaya dalam struktur organisasi HEB juga diyakini dapat memantapkan lagi segala perancangan serta pelan tindakan khusus demi memanfaatkan masyarakat India secara menyeluruh di negeri ini.
Aspek pendidikan yang menjadi teras pembentukan modal insan kepada pembangunan Pulau Pinang khususnya, sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan dana daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, dana pendidikan dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000).
Tidak terhenti di situ sahaja, sejak ditubuhkan pada 2008, HEB juga telah menyalurkan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sehingga Januari 2022, seramai 2,833 pelajar layak menerima manfaat berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM4,042,777.
Saudara dan saudari sekalian,
Mengakhiri ucapan saya pada petang ini, tahniah dan terima kasih sekali lagi diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan majlis serta penerbitan buku ini.
Malah, saya turut mengambil kesempatan ini menyeru supaya kita terus bergandingan tangan dalam menterjemahkan misi dan visi negeri kita. Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk bergerak bersama-sama seluruh rakyat negeri ini sebagai sebuah pasukan bagi mencapai serta merealisasikan dasar-dasar yang telah dan juga bakal direncanakan demi negeri yang kita cintai ini.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Buku Sajak ‘Anthaathi Paravaigal’.
Sekian, terima kasih.