MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 2022

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 2022

 

14 MEI 2022

PERKARANGAN FLAT PPR TAMAN MANGGIS

 

 

 

Encik Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Development Corporation (PDC) merangkap Penasihat Puspanita PDC

Puan Shaferrihaiza binti Shah Budin

Pengerusi Puspanita PDC

Encik Muhammad Zakwan bin Mustafa Kamal

Ketua Pegawai Operasi Mutiara Food Bank

Puan Jasniza binti Jamaluddin

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Mutiara Food Bank

Para Penduduk Flat PPR Taman Manggis

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 pada pagi ini.

Hari ini sudah memasuki hari ke-13 syawal dan rasanya masih belum terlambat untuk saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir, khususnya kepada penduduk Flat PPR Taman Manggis.

Saya tahu raya kali ini sedikit luar biasa namun saya percaya semua telah meraikan perayaan ini dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur, selepas dua (2) tahun berdepan dengan pandemik COVID-19.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya tahu jalinan kerjasama ini telah lama terjalin dan saya amat berbesar hati kerana kolaborasi pasukan PDC dan Puspanita PDC bersama-sama dengan Mutiara Food Bank kali ini telah memilih Flat PPR Taman Manggis yang terletak di Parlimen Tanjong sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Terima kasih kepada Pengurusan Surau Al-Marjan dan penduduk di Flat PPR Taman Manggis kerana telah memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan program ini diadakan di sini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seramai 100 penerima akan menerima bantuan bahan makanan kering, di mana sumbangan  yang disalurkan oleh pihak PDC pada hari ini adalah susulan sumbangan yang dijalankan setiap bulan bersama-sama pihak Mutiara Food Bank yang mensasarkan kepada penerima-penerima kurang berkemampuan.

Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penyumbang untuk majlis ini dan saya juga difahamkan bahawa pihak kakitangan Mutiara Food Bank sendiri yang menyediakan dan memasak juadah Sambutan Hari Raya ini sejak awal pagi tadi.

Sesungguhnya penglibatan dan penyertaan setiap daripada anda sangat penting dan menyumbang kepada harapan kita bersama dalam merealisasikan agenda penting dalan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program pada hari ini. Semoga semua bergembira dan meraikan kemeriahan perayaan ini sebagai sebuah keluarga yang akrab.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang