MAJLIS MAKAN MALAM DAN APRESIASI LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG (LPNPP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

BERSEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM DAN APRESIASI

LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG (LPNPP)

17 MEI 2022 (SELASA)

HOTEL OLIVE TREE, BAYAN LEPAS

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa

YB. Dato' Norazmi bin Mohd. Narawi

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato' Dr. Mohamad Farazi bin Johari

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato' Toh Chin Leong

Mantan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi

Pengurus Besar, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)

Yang Berbahagia Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid

Setiausaha Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Warga Kerja Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)

Wakil-wakil Pemaju Perumahan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas penganjuran Majlis Makan Malam dan Apresiasi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang julung kali diadakan pada malam ini.

Majlis pada malam ini mencatatkan sejarah dan memberikan signifikasi yang cukup bermakna bukan sahaja kepada warga kerja LPNPP yang begitu komited dalam merealisasikan hasrat dan amanah yang diberikan, malah ia merupakan salah satu bentuk penghargaan Kerajaan Negeri kepada semua yang telah menyumbang kepada milestone kejayaan pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) di Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Usia LPNPP baru sahaja mencecah 17 bulan. Sejak mula ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 2021, tugas berat sudah menanti LPNPP bagi meneruskan segala agenda perumahan yang diletakkan di bawah bidang kuasa Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini.

Sebagai ejen bagi menerajui sektor perumahan, khususnya dalam pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Pembaharuan Semula Bandar (Urban Regeneration City – URC), pujian harus diberikan atas segala komitmen dan kerja keras yang telah diberikan oleh warga kerja LPNPP dalam memastikan hala tuju LPNPP lebih cekap, berkesan dan responsif.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Seringkali saya nyatakan, Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara tidak hanya tertumpu kepada projek-projek mega. Tetapi apa yang saya hasratkan adalah setiap keluarga dan warga negeri ini mempunyai perkara-perkara asas yang lengkap merangkumi rumah yang selesa untuk didiami, makanan yang mencukupi, peluang pekerjaan yang tersedia serta jaminan keselamatan dan kesihatan.

Oleh itu, peranan LPNPP dalam keseimbangan sosial di negeri ini amatlah besar sekali. Dengan adanya rumah yang mampu dimiliki, ianya akan mendorong kepada peningkatan taraf hidup dan seterusnya meningkatkan daya huni negeri ini secara amnya. Melalui pembangunan 14 projek di bawah Pelan Induk Perancangan Pembangunan LPNPP 2021-2025, dijangkakan akan dapat menyumbang kepada sejumlah 28,751 unit RMM B dan C yang seterusnya menyumbang kepada pencapaian sasaran 220,000 unit menjelang tahun 2030.

Di bawah Inisiatif Strategik A1 Visi Penang2030 iaitu Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagai Perumahan, saya amat berpuas hati dengan prestasi pencapaian semasa sasaran-sasaran yang telah ditetapkan. Bagi sasaran pertama, sejumlah 220,000 unit RMM dijangkakan untuk dibekalkan menjelang tahun 2030. Pada masa ini, pencapaian semasa adalah sebanyak 136,333 unit (62%) berada di pelbagai tahap meliputi siap 45,903 unit, 18,354 unit dalam pembinaan dan 72,076 unit di peringkat perancangan. Pencapaian jumlah ini melibatkan penyertaan daripada agensi Kerajaan Negeri seperti Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), selain pembekalan oleh Kerajaan Persekutuan seperti KPKT, agensinya seperti JKP, PERDA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Penjawat Awam (PPAM), PR1MA dan yang paling menggembirakan adalah penyertaan pemaju swasta di mana setakat ini 36 pemajuan telah siap dan dalam pembinaan di bawah Garis Panduan Penyediaan RMM 100 Peratus sejak tahun 2013.

Apa yang menarik juga beberapa pemaju ini memajukan lebih daripada 1 pemajuan RMM 100 peratus dan berterusan menyokong agenda Kerajaan Negeri. Tahniah kepada mereka. Saya mengharapkan lebih ramai rakan kongsi pemaju RMM ini dapat dijemput dan diraikan dalam majlis seumpama ini. Sebagai makluman masih terdapat sebanyak 18 kemajuan yang masih dalam peringkat pembinaan dan 59 peringkat perancangan akan dapat bersama-sama diraikan pada majlis-majlis akan datang.

Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bagi menggalas tanggungjawab bersama dalam pembekalan RMM di negeri Pulau Pinang.

Sasaran kedua ditetapkan di bawah Inisiatif Strategik A1 adalah untuk pembekalan sejumlah 22,000 unit untuk ditawarkan secara Sewa Beli (Rent To Own). Masalah pembiayaan merupakan salah satu cabaran yang perlu ditangani, khususnya dalam menongkah arus pasca pandemik akibat pengurangan kuasa membeli (buying power) kepada pembeli. Kesannya secara langsung akan memberikan lebih penekanan dan tanggungjawab kepada Kerajaan Negeri melalui LPNPP dalam membekalkan lebih banyak unit untuk ditawarkan secara sewa beli. Sejumlah 3,510 unit melibatkan 18 skim perumahan telah dikenal pasti untuk tawaran secara sewa beli. Jumlah ini menyumbang kepada 13.95% daripada sasaran sebanyak 22,000 unit menjelang tahun 2030.

Sasaran terakhir di bawah Inisiatif Strategik A1 adalah 3,000 keluarga menikmati hasil pembangunan dibawah inisiatif Pembaharuan Semula Bandar. Pada masa ini, sejumlah lima (5) projek rintis di bawah URC ini telah dikenalpasti dan kerja-kerja awalan telah dimulakan bagi projek pertama iaitu Mahsuri 5 Point Block. Projek URC khususnya, merupakan suatu cabaran terbesar memandangkan perundangan sediaada perlu digubal/dipinda bagi memastikan pembangunan baharu di tapak skim-skim perumahan yang telah dimamah usia dan usang (dilapidated and deteriorated) serta telah dikenalpasti tidak lagi efisyen untuk diselenggarakan boleh dimajukan dengan tempoh dan kos yang lebih optimum. Pembaharuan semula bandar ini dapat membekalkan perumahan secara konsisten dan lestari dengan mengatasi masalah land scarcity dan mengoptimumkan kepenggunaan tanah. Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan perhatian yang serius dan komitmen daripada Kerajaan Persekutuan khususnya dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyegerakan penggubalan/pindaan kepada perundangan sedia ada.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil peluang untuk menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada kesemua 12 orang warga kerja LPNPP yang akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2021 pada malam ini. Besar harapan saya agar kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dalam masa yang sama, saya berharap anugerah pada malam ini dapat menjadi suntikan semangat kepada para penerima agar terus berkhidmat dengan cemerlang. Teruskan budaya kecemerlangan ini bagi melahirkan sebuah organisasi yang mampan dan berkualiti.

Di samping itu, malam ini kita akan menyaksikan pelancaran Portal Rasmi LPNPP yang telah dinaiktaraf dan juga kemudahan capaian Mobile Apps eRumah@LPNPP. Diharapkan dengan adanya kedua-dua platform ini, ia dapat menyerlahkan lagi fungsi LPNPP terutama dalam memudahkan para pengguna mengakses segala permohonan Rumah Mampu Milik, Unit Sewa Kerajaan Negeri/PPR, Bayaran Sewa dan Penyelenggaraan termasuk permohonan Penyelenggaran Tabung Maksima 80 Peratus Kerajaan Negeri.

Selain daripada itu juga, saya amat berbangga dan berterima kasih kepada LPNPP kerana berjaya menghasilkan Pelan Antirasuah Organisasi (Organisational Anti-Corruption Plan - OACP) LPNPP Tahun 2022-2026 untuk dijadikan sebagai rujukan dalam memelihara integriti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan, khususnya melibatkan pengurusan antirasuah di LPNPP. Bagi memastikan matlamat penyediaan pelan ini tercapai, pemantauan semua inisiatif yang telah digariskan akan dilakukan dengan rapi supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan secara berterusan. Langkah ini dilakukan supaya penyampaian perkhidmatan LPNPP kepada masyarakat yang lebih berkualiti dan berkesan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada LPNPP dan berharap kecemerlangan berterusan di masa mendatang. Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada 14 pemaju Perumahan Mampu Milik yang turut hadir pada malam ini dan berharap anda semua akan dapat terus bersama-sama menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dan LPNPP. Penglibatan dan kolaborasi hebat ini  amat penting dalam memastikan pembekalan rumah mampu milik mencukupi buat segenap lapisan masyarakat di  Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang