MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI TUAN YANG TERUTAMA YANG DIPERTUA NEGERI DAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri; dan

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Datin Mohaini binti Mohd. Saffar

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Puan Kalaiarasi a/p Kolandhavelu

 

YB Dato' Dr Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; dan

Yang Berbahagia Datin Noorsham binti Muhamad Din

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri

Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’ Seri dan Datin Seri-Datin Seri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Kehormat

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Ketua-Ketua Jabatan

Para Jemputan

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang telah memastikan kelancaran Majlis Sambutan Aidilfitri Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada petang yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor, para tetamu dan dif jemputan atas kesudian melapangkan masa untuk memeriahkan majlis ini.

Sesungguhnya, kesudian Tuan Yang Terutama bersama-sama Toh Puan ke majlis ini adalah amat bermakna dan memberikan signifikasi yang cukup besar memandangkan sudah lama kita tidak dapat berkumpul dalam majlis perayaan seperti ini. Saya berharap kesempatan dan peluang yang diberikan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan jalinan muhibah yang sedia terjalin.

Hari ini sudah memasuki hari ke-18 Syawal, dan rasanya masih belum terlambat untuk saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri terutama kepada semua yang hadir di Setia SPICE Convention ini. Setelah dua (2) tahun Syawal disambut dalam normal baharu, tahun ini, sambutannya adalah amat dinanti-nantikan yang mana kerinduan pulang ke kampung berjumpa keluarga tersayang menggamitkan lagi kemeriahan Aidilfiltri dan seterusnya diraikan dengan penuh kegembiraan serta rasa syukur.

 

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

Getir serta cabaran berdepan pandemik COVID-19 sejak tahun 2020 masih dirasai, hasil berkat dan komitmen semua pihak, kita berjaya memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu. Fokusnya adalah terhadap pemulihan ekonomi agar rakyat dapat kembali hidup selesa dan berkualiti yang seterusnya mendorong kepada pembangunan negeri dengan lebih cemerlang ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara secara menyeluruh.

Meskipun impak pandemik COVID-19 begitu besar, ia tidak membantutkan jumlah pelaburan sektor pembuatan diluluskan di Pulau Pinang yang mana pada tahun 2021, kita berjaya mencatatkan jumlah tertinggi dalam negara bernilai RM76.2 bilion dengan menjana 51,000 peluang pekerjaan.

Melangkah ke tahun kelima belas, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri tekad untuk mengekalkan momentum sedia ada dan meneruskan rekod kecemerlangan Pulau Pinang melalui pentas yang sudah tersedia ini.

Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengajak seluruh pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat negeri, persekutuan selain pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan dan pucuk pimpinan dari pelbagai peringkat serta lapisan untuk terus bekerja sebagai sebuah pasukan yang dinamik, sekaligus merealisasikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

Bercakap mengenai perpaduan, muhibah dan integrasi kaum, kita bersyukur kerana kepelbagaian serta perbezaan ini sentiasa diraikan dan menjadi keunikan utama yang berjaya menarik kunjungan dari negeri mahupun luar negara. Keharmonian yang menjadi cerminan kerjasama sejak sekian lama ini harus dipertahankan demi kemakmuran, kesejahteraan rakyat dan negeri yang tercinta.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih sekali lagi kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan atas kehadiran yang mana menyerikan lagi majlis pada hari ini. Terima kasih juga atas segala khidmat nasihat dan sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri sebagai panduan untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik.

Akhir kata, syabas serta terima kasih sekali lagi kepada jawatankuasa penganjur dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga kita semua dapat berjumpa lagi pada majlis-majlis yang akan datang.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang