MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEEMPAT BELAS

TEKS UCAPAN

TUAN YANG TERUTAMA

YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA

DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEEMPAT BELAS

PADA 27 MEI 2022 (JUMAAT), JAM 9.30 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

Bismillahirahmanirrahim

Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

Yang Berhormat Profesor Dr. Ramasamy A/L Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

 

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Ahmad Jailani Bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Muhamad Yusoff Bin Mohd Noor

Ketua Pembangkang

Yang Berhormat Dato’ Dr. Amar Pritpal Bin Abdullah

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Ketua-Ketua Jabatan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera

  1. Alhamdulillah, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua saya diberikan kesempatan untuk menghadiri dan menyampaikan ucapan perasmian bagi Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas pada pagi yang mulia dan barakah ini.
  1. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana telah mengutamakan agenda kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh kritikal pandemik COVID-19 melalui pelbagai insentif dan bantuan diberikan demi mengurangkan beban golongan paling terkesan serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas, menerusi kaedah yang pelbagai.
  1. Pemberian Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19). Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah Ringgit Malaysia satu ratus tujuh puluh enam perpuluhan empat lima juta (RM176.45 juta) untuk pakej bantuan tersebut dan dilaksanakan melalui tiga (3) fasa dari tahun 2020 hingga 2022. Bantuan tersebut diberikan bagi mengurangkan beban golongan paling terkesan serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas.
  1. Bermula 1 April 2022, Malaysia telah memasuki ke ‘Fasa Peralihan Ke Endemik’ yang menandakan pendekatan ‘exit strategy’ Kerajaan untuk membolehkan rakyat kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas lebih dua (2) tahun mengamalkan tatacara membendung wabak COVID-19. Selaras dengan fasa ini juga, sempadan negara telah dibuka kepada pengembara luar bagi merancakkan pembangunan dan pemulihan ekonomi negara.
  1. Dalam hal ini, kita tidak boleh terus dibelenggu dengan trend pandemik COVID-19 dan perlu membuat perancangan jauh ke hadapan. Oleh itu, telah tiba masanya untuk kita menumpukan sepenuh daya dan tenaga demi membawa kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang ke arah menjadi sebuah negeri dan bangsa yang bertamadun sebagaimana disebut di dalam Al-Quran yang merujuk kepada perkataan “Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur” (Surah Saba’ : ayat 15) iaitu sebuah negeri yang subur dan makmur serta mendapat keampunan tuhannya.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Bajet pembangunan Negeri Pulau Pinang yang diluluskan bagi tahun 2022 adalah sebanyak Ringgit Malaysia tiga ratus enam belas perpuluhan satu tiga juta (RM316.13 juta) menunjukkan peningkatan sebanyak Ringgit Malaysia dua puluh dua perpuluhan kosong tiga juta (RM22.03 juta) atau 7.5% berbanding dengan unjuran tahun 2022 hasil Kerajaan Negeri yang dianggarkan berjumlah Ringgit Malaysia empat ratus lapan puluh lima perpuluhan empat dua juta (RM485.42 juta). Saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengambil langkah drastik untuk meningkatkan hasil negeri, melalui aktiviti pelaburan, kutipan tunggakan hasil secara efektif, dan pewartaan deposit yang tidak dituntut. Meskipun begitu langkah-langkah di luar kotak serta di luar kebiasaan dengan memikirkan idea-idea kreatif baharu untuk meningkatkan hasil negeri perlu dicari. Di sini peranan Ahli-ahli Yang Berhormat DUN sekalian untuk menyumbang idea dan saranan dalam perkara-perkara yang boleh membantu Kerajaan Negeri.
  1. Kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah penting untuk memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya. Di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Tahun 2022, sebanyak 189 projek di Negeri Pulau Pinang disenaraikan merangkumi 163 projek fizikal dan 26 projek bukan fizikal, dengan  peruntukan Persekutuan yang diluluskan untuk Negeri Pulau Pinang adalah berjumlah Ringgit Malaysia sembilan ratus sembilan puluh tujuh juta (RM997 juta) iaitu bersamaan dengan 1.3% peruntukan pembangunan negara.  Dengan mengambil kira sumbangan Negeri Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara serta pretasi pelaburan negeri baru-baru ini, maka wajarlah Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk Negeri Pulau Pinang.
  1. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyalurkan peruntukan sejumlah Ringgit Malaysia dua puluh juta (RM20 juta) melalui Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2021 untuk pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Skim Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan melalui 12 agensi pelaksana, inisiatif ini telah berjaya melaksanakan 315 projek berskala kecil di bawah Skim PEMERKASA.

MENAIK TARAF EKONOMI

Perdagangan Dan Industri

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Pulau Pinang telah mencatatkan nilai pelaburan pembuatan yang tertinggi di Malaysia bagi tahun 2021 dan nilai ini mencatatkan sejarah walaupun berlaku ketidakpastian global yang meruncing. Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan bahawa Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan sebanyak Ringgit Malaysia tujuh puluh enam perpuluhan dua dua bilion (RM76.22 bilion), merangkumi 111 projek yang dijangka menghasilkan 12,024 peluang pekerjaan Jumlah pelaburan langsung asing pula menyumbang 98% atau Ringgit Malaysia tujuh puluh empat perpuluhan empat empat bilion (RM74.44 bilion) (tahun ke tahun: +606%), manakala pelaburan langsung domestik menurun 50% tahun ke tahun kepada Ringgit Malaysia satu perpuluhan tujuh lapan bilion (RM1.78 bilion). 97% daripada pelaburan yang diluluskan pada 2021 bersamaan dengan Ringgit Malaysia tujuh puluh tiga perpuluhan sembilan kosong bilion (RM73.90 billion) adalah melalui industri Elektrik & Elektronik (E&E), diikuti dengan Ringgit Malaysia lapan ratus tiga puluh satu juta (RM831 juta) bagi Produk Logam Fabrikasi dan Jentera dan Peralatan sebanyak Ringgit Malaysia tujuh ratus lapan puluh juta (RM780 juta). Pulau Pinang menyumbang 50% daripada pelaburan kolektif Malaysia untuk ketiga-tiga industri ini.
  1. Tahun 2022 merupakan ulang tahun ke-50 perjalanan transformasi perindustrian Pulau Pinang bertemakan 50 Years of Excellence and Beyond yang bermula melalui lapan (8) pelaburan langsung asing yang menjadi perintis utama memulakan operasi luar pesisir mereka di sini pada tahun 1972.

Ekonomi Digital

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Selain daripada tumpuan kepada sektor perkilangan, Kerajaan Negeri juga hendaklah terus memacu pertumbuhan dan pelaburan ekonomi digital di Pulau Pinang. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus untuk menggalakkan pelaburan masuk aktiviti berteraskan ekonomi digital dan mempunyai nilai tambah yang tinggi seperti Perniagaan Perkhidmatan Global ataupun dikenali sebagai Global Business Services (GBS), penyelidikan dan pembangunan (R&D), Design & Development (D&D) dan sebagainya. Selain itu, tumpuan pelaburan ekonomi digital juga diberikan kepada aktiviti berkaitan Industri 4.0 dan teknologi generasi baharu sebagai pemacu baharu ekonomi negeri seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), analisis data, Internet of Things (IoT), Integrated Circuit (IC) Design, e-dagang dan lain-lain lagi.
  1. Bagi Tahun 2022, saya dimaklumkan bahawa dua (2) acara teknologi antarabangsa akan diadakan di Pulau Pinang, iaitu SEMICON Southeast Asia (SEMICON SEA) 2022 pada bulan Jun 2022 dan World Congress on Information Technology (WCIT) 2022 pada bulan September 2022.

Jangkaan kehadiran peserta ke WCIT 2022 ini adalah seramai 4,000 peserta antarabangsa dari lebih 80 negara ke Pulau Pinang. Dengan demikian, ketersediaan terhadap rangkaian 5G amatlah penting untuk dilaksanakan supaya penganjuran WCIT 2022 dapat berjalan lancar dan paling utama semua program yang dirancang akan dapat menarik minat pelabur untuk melabur dalam bidang teknologi di Negeri Pulau Pinang.

Pembangunan Modal Insan

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Aspek peningkatan kemahiran tinggi dan bakat perlu menjadi tumpuan kerana permintaan pekerja mahir dan separuh mahir semakin hari semakin meningkat. Dengan prestasi pelaburan tahun 2021 yang memberangsangkan, jumlah peluang pekerjaan juga akan meningkat secara berperingkat pada tahun-tahun yang akan datang. Maka, adalah penting untuk memastikan permintaan bekalan tenaga kerja dan bakat ini dapat dipenuhi untuk menyokong pertumbuhan industri. Kerajaan Negeri juga perlu memastikan Pulau Pinang terus mengekalkan status bandar yang boleh didiami (liveable city) kerana ianya amat penting dalam menarik dan mengekalkan bakat di negeri ini.
  1. Untuk memastikan Kerajaan Negeri berada pada landasan yang tepat, program peningkatan pembangunan modal insan yang dilaksanakan adalah Penang Internship Subsidy Program (PISP), Pusat STEM di bawah ekosistem Penang STEM iaitu Tech Dome Penang, Penang Science Cluster, Penang Math Platform, Penang Digital Library dan Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Inisiatif Pembangunan Bakat TVET. Program-program yang dirangka ini akan dapat menyediakan platform dan melatih bakat-bakat baru.
  1. Selain daripada program-program yang dinyatakan sebentar tadi, bagi memacu perkembangan pendidikan dan turut dijadikan mercu kebanggaan rakyat Pulau Pinang, saya telah pun merasmikan Penang Islamic Digital Library (PIDL) dan Al-Hady Centre (AHC) pada 26 Mei 2022 di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulalu Pinang. Penubuhan PIDL bertujuan sebagai pemangkin utama kepada pembangunan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) serta melengkapkan bidang dalam sains dan ilmu-ilmu Islam. Ruang perkembangan kreativiti dan inovasi ditingkatkan lagi melalui peralatan elektronik dan akses WiFi yang disediakan di dalam Perpustakaan. Al-Hady Centre (AHC) pula merupakan Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang dengan fungsi utama memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) ummah di Pulau Pinang.

Pelancongan

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Selaras dengan pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022, Pulau Pinang dijangka akan menerima lebih banyak kemasukan pelancong melalui jalan darat, laut dan udara terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan aktiviti pelancongan akan bertambah rancak. Pematuhan kepada SOP perlu sentiasa diterapkan bersama dengan konsep ‘Responsible Tourism’ untuk mewujudkan persekitaran selamat untuk semua.

Keyakinan pelancong ke Pulau Pinang amat bergantung kepada persekitaran selamat yang diwujudkan di samping membantu Kerajaan Negeri keluar dari kemelut ekonomi dengan menggandakan usaha ke arah pemulihan sektor pelancongan negeri secepat mungkin.

  1. Saya percaya, Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dapat mengurangkan kesan pandemik melalui beberapa strategi dengan menjenamakan Pulau Pinang sebagai destinasi yang selamat (Penang’s positioning theme: A safe destination). Pelan tindakan ini telah dirangka untuk membantu penggiat-penggiat industri pelancongan agar mereka tidak ketinggalan. Bantuan jangka masa pendek dalam bentuk kewangan seperti bayaran wang tunai dan pinjaman tanpa faedah sebagai langkah persediaan mereka untuk kelangsungan industri ini. Manakala untuk jangka masa panjang pula, Kerajaan Negeri akan memberikan lebih tumpuan terhadap peningkatan permintaan perjalanan ke Pulau Pinang dengan meneruskan kempen pemasaran ke luar negeri dan antarabangsa bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala. Melalui langkah ini ia dapat mengurangkan kerugian, mendorong permintaan yang lebih tinggi, meningkatkan ekonomi serta memastikan ketahanan industri pelancongan.
  1. Tidak dilupakan, Tapak Warisan Dunia UNESCO Bandar Warisan George Town yang memerlukan usaha semua pihak mempertahankan status Tapak Warisan Dunia UNESCO dan melindungi Nilai Keunggulan Sejagat. Projek Normal Baharu di George Town (George Town UNESCO World Heritage Site: Bracing The New Normal With Cultural Heritage) yang telah dijalankan sejak 8 Julai 2020 telah berjaya membantu peralihan sektor warisan budaya Pulau Pinang ke dalam menghadapi normal baharu.
  1. Program warisan wajar diteruskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2022 ini seperti dengan Perayaan Warisan George Town (George Town World Heritage City Day) untuk menyambut pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Program George Town Festival yang akan mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian kesenian, kebudayaan dan warisan di Pulau Pinang.

Agroteknologi Dan Pembangunan Luar Bandar

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Jaminan atau keselamatan makanan perlu menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan sumber makanan penduduk berada pada tahap yang optimum serta pengguna mendapat bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan bersih. Berdasarkan Indeks Harga Pengguna Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, inflasi negara pada Mac 2022 meningkat 2.2% kepada 125.6 berbanding 122.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Namun begitu, kenaikan ini adalah melepasi purata inflasi negara Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Mac 2022 (1.9%). Peningkatan inflasi Negeri Pulau Pinang adalah pada kadar 2.2% iaitu sama dengan inflasi negara dan kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol mencatatkan kenaikan 3.5% disebabkan oleh kenaikan harga makanan di luar rumah pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. ‘Tinjauan Pasaran Komoditi’ oleh Laporan Bank Dunia juga memberi amaran kenaikan harga sumber tenaga akan menimbulkan risiko inflasi ketara dalam pasaran dan negara membangun yang mana telah meningkatkan kos input pertanian dengan ketara.
  1. Berikutan itu, program keselamatan makanan wajar diberikan tumpuan agar Negeri Pulau Pinang dan penduduknya dapat mendepani cabaran inflasi ataupun hyperinflasi yang menjadi topik hangat perbincangan penganalisis ekonomi masa ini. Walaupun negeri kita ini tidak mempunyai tanah pertanian yang luas seperti negeri-negeri lain di Malaysia, kita mampu meningkatkan produktiviti tanaman melalui penggunaan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dalam tempoh masa yang singkat, penggunaan input pertanian yang menggalakkan pertumbuhan, dan aplikasi teknologi moden yang tidak menggunakan tanah sebagai media tanaman.
  1. Sebagai contoh, hasil pengeluaran padi yang direkodkan oleh negeri ini merupakan antara pengeluaran hasil tertinggi di Malaysia. Pengeluaran padi dari Negeri Pulau Pinang pada Tahun 2020 telah menduduki tempat pertama dengan purata hasil pengeluaran padi sebanyak 5.214 metrik tan per hektar berbanding 5.012 metrik tan per hektar direkodkan pada tahun 2019. Pada tahun 2022 pula, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menyasarkan purata hasil pengeluaran padi dapat ditingkatkan kepada 6.2 metrik tan per hektar. Begitu juga dengan ternakan ikan dalam sangkar di mana Pulau Pinang merupakan pengeluar ikan sangkar yang tertinggi di Malaysia bagi tiga (3) tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019, 2020 dan 2021 dengan pengeluaran sebanyak 12,039.45 metrik tan dengan nilai Ringgit Malaysia dua ratus enam puluh perpuluhan lapan juta (RM260.8 juta) dicatatkan melibatkan 226 orang penternak bagi tahun 2021.
  1. Bagi memastikan kelestarian dan transformasi sektor pertanian ini, peranan dan penyertaan aktif syarikat swasta amat diperlukan terutama bagi pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi. Sektor swasta juga bertindak sebagai agen perubahan atau pemangkin sektor pertanian yang moden, dinamik dan berdaya saing. Namun demikian, pelaburan swasta dalam industri agromakanan masih kurang jika dibandingkan dengan industri perladangan, pembuatan dan perkhidmatan. Dalam hal ini, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting bagi mengenal pasti ruang dan peluang pembangunan sektor pertanian.
  1. Dalam meningkatkan sektor makanan, suka saya mencadangkan di Dewan Yang Mulia ini agar Ahli-ahli Dewan berbahas dan memberi cadangan bernas bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang konklusif dan langkah jangka panjang mengatasi masalah lalat yang berisiko menjejaskan kesihatan awam di Daerah Seberang Perai Selatan, hasil daripada pelaburan pihak swasta dalam bidang Agro Makanan dan Ternakan.

MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN

Kebajikan

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan dasar pembasmian kemiskinan tegar melalui Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) bermula Julai 2009 yang merupakan bantuan kewangan secara bulanan untuk membantu isi rumah miskin. Penggabungan AES dengan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2020 dibuat bagi mengoptimumkan sumber kewangan dan memastikan urus tadbir yang efisien dan dijenamakan semula sebagai Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES). Program BAES dilaksanakan untuk memastikan setiap keluarga menerima sekurang-kurangnya Ringgit Malaysia sembilan ratus empat puluh empat (RM 944.00) sebulan dan kadar perkapita Ringgit Malaysia dua ratus enam puluh (RM 260.00) berdasarkan PGK 2016. Syukur alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah membantu seramai 1,648 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang menerima BAES sehingga Mac 2022.
  1. Selain itu, Program i-Sejahtera berperanan sebagai satu sumbangan penghargaan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang yang berbilang agama, kaum dan latar belakang sosioekonomi. Sumbangan kewangan ini adalah manifestasi keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada setiap rakyat Pulau Pinang yang menyumbang kepada pembangunan negeri sama ada secara langsung mahupun tidak langsung antaranya kepada golongan warga emas, ibu tunggal, OKU, ibu emas dan anak emas.
  1. Kejayaan Mutiara Foodbank sejak bermula penubuhannya pada tahun 2017 sememangnya memberikan satu impak postif kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2021, sebanyak 250 tan makanan yang telah diselamatkan dan memberi manfaat kepada 24,962 orang penerima. Selain itu, Central Kitchen Mutiara Foodbank di Kompleks Masyarakat Penyayang juga telah mula beroperasi bermula Ogos 2021 di mana masakan panas akan dimasak dan diedarkan kepada kumpulan sasar. Sumbangan daripada pihak swasta seperti NGO, pasaraya-pasaraya amat dialukan untuk bersama-sama dengan Mutiara Foodbank menyelamatkan makanan dan membantu golongan yang memerlukan.
  1. Kerajaan Negeri dalam menangani isu gelandangan dengan tuntas dengan membina Pusat Transit Gelandangan Jalan C.Y. Choy yang diakhir fasa pembinaan dan dijangka siap pada bulan Jun 2022. Besarlah harapan saya agar pusat ini akan memainkan peranan untuk memperkasakan golongan gelandangan yang diselamatkan terutamanya yang masih produktif dan turut memberi tumpuan kepada golongan yang kurang produktif melalui Program Empowering The Street Citizens. Penginapan transit untuk gelandangan dengan pengasingan jantina lelaki dan perempuan serta orang kurang upaya (OKU) dan dianggarkan 88 orang dapat dimuatkan pada satu masa.

Perumahan

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri terus mendayakan kehidupan dan melepasi komitmen menyediakan perumahan yang selesa dan mencukupi bagi setiap kategori kemampuan golongan B40 dan M40. Sejak tahun 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri telah berjaya memastikan sebanyak 45,903 Rumah Mampu Milik A, B dan C siap dibina, manakala 18,354 unit pula sedang dalam pelbagai fasa pembinaan dan 72,076 unit pula berada di peringkat perancangan. Jika dihitung kesemuanya berjumlah 136,333 unit dan telah melepasi jumlah komitmen 75,362 unit seperti dinyatakan di dalam Manifesto 100 Hari Perumahan Untuk Semua. Usaha ini akan digandakan lagi mengambil kira sasaran ditetapkan dalam Visi Penang2030 iaitu penyediaan 220,000 Rumah Mampu Milik merangkumi pelbagai jenis rumah termasuk rumah sewa dan PPR.
  1. Pembukaan semua sektor ekonomi menjurus kepada kenaikan harga barang binaan, kekurangan tenaga kerja dan penurunan kuasa beli menyebabkan pertumbuhan sektor hartanah agak perlahan. Oleh itu, Kerajaan Negeri disarankan agar membantu rakyat yang sukar untuk mendapatkan pembiayaan melalui pelaksanaan rumah mampu milik secara sewa beli. Mengambil kira ada golongan yang tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri, pembinaan unit-unit sewa pada kadar sewa yang rendah amatlah diperlukan.

Belia Dan Sukan

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Dalam bidang belia dan sukan, Kerajaan Negeri akan merencana dan merancakkan kembali pertumbuhan sukan Negeri Pulau Pinang melalui pendekatan “Sukan Untuk Semua”. Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang akan menjalankan Penambahbaikan Program Penang Athlete Career & Education (PACE) 2.0 dengan tambahan bantuan bagi menyokong kejayaan mereka ke arah bidang pendidikan, kerjaya dan kebajikan sebagai asas dalam memberikan keyakinan kepada mereka dari segi jaminan masa hadapan.
  1. Pembentukan sebuah negeri yang berdaya huni juga memerlukan komuniti yang sihat, aktif dan cergas dengan akses optimum kepada ruangan hijau dan aktiviti fizikal. Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai negeri mesra sukan yang dilengkapi dengan pelbagai jenis infrastruktur sukan dan rekreasi yang bermutu tinggi.

Kerajaan Negeri telah berjaya mewujudkan dan menaik taraf pelbagai jenis kemudahan sukan dan rekreasi seperti Taman Areca di Lebuh Sungai Pinang 7, Stadium Mini Bola Sepak Permatang Rawa, trek jogging, gelanggang sepak takraw, gelanggang bola keranjang dan gelanggang kabaddi. Diharapkan Kerajaan Negeri akan terus menggandakan usaha untuk menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi kepada semua lapisan rakyat Pulau Pinang.

  1. Kebajikan dan kemaslahatan belia Pulau Pinang turut terbela dan terjaga melalui usaha intensif Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) selaras dengan Dasar Belia Untuk Masa Depan (Youth For Future) yang menekankan pembangunan holistik belia daripada sudut pembangunan sosial, ekonomi dan diri.
  1. Golongan belia memainkan peranan yang mustahak bukan sahaja sebagai pemimpin masa hadapan malah mereka juga akan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negeri dan negara. Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri dengan penubuhan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) pada Mei 2022 bagi menyediakan sebuah mekanisme yang menyeluruh di dalam menggerakkan usaha dan program pembangunan belia di setiap KADUN. Usaha ini amat signifikan kerana ia juga menyifatkan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi memperkasakan golongan belia terutamanya di kawasan luar bandar di samping membantu menangani masalah sosial, pengangguran, jurang digital dan sebagainya.

Infrastruktur Dan Pengangkutan

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Negeri Pulau Pinang diiktiraf sebagai negeri kedua terbaik di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di                                 Negeri Pulau Pinang pada ketika ini adalah sebanyak 153.5% iaitu melebihi kadar nasional 128.2%, manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) di Negeri Pulau Pinang pula adalah sebanyak 49.4%, melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 41.4%.

  1. Bagi memastikan pembangunan berterusan infrastruktur telekomunikasi di seluruh Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah merangka Pelan Kesalinghubungan Negeri Pulau Pinang atau Penang Connectivity Master Plan (PCMP) selaras dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bersama dengan kesemua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi ketersediaan jalur lebar bertaraf 5G di seluruh Negeri Pulau Pinang. Begitu juga Garis Panduan Pemasangan Smart Street Pole (SSP) berkuatkuasa 1 April 2022 dijangka akan merancakkan pembangunan jaringan telekomunikasi di negeri ini.
  1. Kerajaan Negeri bersama dengan pihak Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan pelaksanaan 5G di Pulau Pinang dengan 151 lokasi di bahagian Pulau telah dikenalpasti oleh DNB untuk dilaksanakan bagi Fasa 1 pada tahun 2022. Pada tahun ini tumpuan diberikan di dalam kawasan pulau yang merangkumi pusat bandar, kawasan berkepadatan tinggi, pusat tumpuan pelancong dan kawasan perindustrian.
  1. Semua perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas henti-henti Rapid Penang dan perkhidmatan feri bot laju kepada penumpang pejalan kaki warganegara Malaysia adalah masih percuma pada tahun ini.

Usaha berterusan dengan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam percuma ini diharap dapat memanfaatkan semua penduduk Pulau Pinang. Rancangan Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk memanggil  Request for Proposal (RFP) bagi perkhidmatan Water Taxi di Pulau Pinang yang memfokuskan cadangan laluan pengangkutan teksi air di Bahagian Pulau, Pulau Pinang perlu disambut baik oleh semua pihak.

Projek Tebatan Banjir

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang akan memberi tumpuan dalam usaha mengurangkan kejadian banjir secara struktur, iaitu dengan menjalankan pembinaan rumah pam, ban, pintu air, pengukuhan tebing sungai, mendalam dan melebar sungai, pencegahan hakisan pantai dan juga menaiktaraf struktur-struktur utama. Bagi tahun 2022, dua (2) projek tebatan banjir akan dimulakan melalui peruntukan negeri iaitu Projek Tebatan Banjir Parit Monsun di Kampung Pokok Assam, Jelutong dan Projek Tebatan Banjir Di Solok Van Praagh, Jelutong. Pelaksanaan projek-projek ini akan memberikan outcome yang besar kepada penduduk terlibat dengan banjir dan juga Kerajaan Negeri, yang mana ianya akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada pentadbiran negeri yang mesra serta prihatin.

Pembekalan Air

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Seperti mana yang sedia maklum, bekalan air mentah merupakan perkara asas yang penting bagi sesebuah negara atau negeri. Bekalan air mentah adalah mustahak untuk rakyat dan pemangkin kepada pembangunan di negeri ini. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi perkara penting untuk Kerajaan Negeri mengambil berat isu-isu mengenai bekalan air mentah ke negeri ini.  Saya  berharap Kerajaan Negeri dapat mencari penyelesaian yang tuntas bersama negeri-negeri jiran agar jaminan keselamatan bekalan air tidak menjejaskan kehidupan seharian dan seterusnya mengganggu pembangunan di negeri ini.

Hal Ehwal Agama Islam

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri akan terus komited memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan memperkasakan syiar Islam di Negeri Pulau Pinang. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan pembangunan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebanyak Ringgit Malaysia lapan belas perpuluhan enam satu juta (RM18.61 juta) bagi pelaksanaan projek pembangunan di Pusat Falak Sheikh Tahir, seluruh masjid dan surau, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Pejabat Agama Daerah, Kompleks Darul Hidayah bagi saudara baru Islam dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) untuk kemudahan para pelajar dan kakitangan.

Komitmen ini ditingkatkan dengan kelulusan peruntukan pembangunan bagi tahun 2022 sebanyak Ringgit Malaysia sembilan belas perpuluhan sembilan lima juta (RM19.95 juta) iaitu peningkatan sebanyak Ringgit Malaysia satu perpuluhan tiga empat juta                    (RM1.34 juta).

Pembangunan Sosial Dan Hal Ehwal Bukan Islam

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dalam mengekalkan keharmonian beragama dalam kalangan penduduk dan menawarkan perkhidmatan serta kemudahan yang asas dalam membantu penduduk mengamalkan hal ehwal keagamaan tersebut tanpa sebarang halangan. Salah satu kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri adalah memperuntukkan Tanah Rumah Ibadat Bukan Islam Ampang Jajar seluas 9.24 ekar dengan dilengkapi infrastruktur asas. Sebanyak 35 Persatuan Keagamaan yang terdiri daripada Taoisme, Buddhisme, Hinduisme, Kristianiti dan lain-lain telah dipertimbangkan untuk ditawarkan tanah di atas tapak tersebut. Kerajaan Negeri telah menawarkan tanah-tanah tersebut secara lot berasingan kepada pemohon dan ianya akan dipajak mengikut nilaian JPPH dengan pengurangan 50% daripada harga asal. Surat Tawaran Pajakan Tanah telah dikemukakan pada 15 Februari 2022 kepada kesemua 35 persatuan, di mana pajakan akan bermula pada 1 Jun 2022 setelah Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi kerja-kerja infrastruktur bagi tanah tersebut diluluskan.

Dijangka dalam tempoh dua (2) tahun beberapa RIBI akan dibangunkan dengan arkitektur yang unik dan boleh dijadikan satu produk pelancongan iaitu konsep pilgrimage.

  1. Melalui Dasar Keluarga Selamat, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mendirikan First Support Point di seluruh negeri sebagai sokongan untuk mangsa keganasan rumah tangga dengan melibatkan 53 pusat-pusat khidmat ADUN, pertubuhan-pertubuhan agama Islam dan bukan Islam, NGO, dan agensi kerajaan. Maklumat First Support Point telah dimuat naik dalam aplikasi mudah alih, Penang Stops Violence, dan aplikasi tersebut telah memenangi Anugerah GeoSpatial World Award 2022 di Amsterdam, Belanda.

MELABUR DALAM PERSEKITARAN TERBINA

Alam Sekitar

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Perubahan iklim membawa kepada perubahan yang sangat ketara sehingga terjadinya peningkatan paras laut, perpindahan penduduk, cabaran yang mendalam kepada alam sekitar serta gangguan ekonomi dan sosial. Sehubungan itu, pengurangan pelepasan karbon merupakan langkah yang penting bagi membendung kemusnahan dan membina daya tahan menghadapi cabaran ini.
  1. Kerajaan Negeri telah menyasarkan penanaman 100,000 batang pokok di Pulau Pinang bagi tempoh lima (5) tahun yang bermula dari 2018 hingga 2023. Pencapaian pokok yang ditanam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak tahun 2018 sehingga kini adalah sebanyak 106,777 batang pokok. Kerajaan Negeri juga telah menyasarkan penanaman sebanyak 500,000 batang pokok dari tahun 2008 sehingga 2030.
  1. Agenda Hijau Pulau Pinang (Penang Green Agenda) telah dilancarkan pada Februari 2021 yang lalu. Ia merupakan satu rangka pelan tindakan yang merumus and merancang strategi ke arah pembangunan Pulau Pinang yang mampan & hijau pada 2030 dengan menggunakan United Nations Sustainable Development Goals (UNSDG). Program-program berunsurkan pemeliharaan alam sekitar amat bermanfaat untuk kelestarian kehidupan masa hadapan. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri akan menjalankan Projek Ekonomi Kitaran bagi Sektor Industri (Circular Economy for Industry Sector) yang akan memberi tumpuan kepada industri elektrik dan elektronik (E&E) untuk mengurangkan pengunaan bahan mentah serta penjanaan sisa selain dari memaksimumkan kegunaan sumber melalui pemulihan sumber serta rekabentuk yang lebih baik.
  1. Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif penarafan bangunan melalui penggunaan alat penarafan Green Building Index (GBI) dalam mewujudkan bandar rendah karbon di negeri ini. Sehingga hari ini, Pulau Pinang mempunyai sejumlah 60 bangunan dengan penarafan GBI yang merangkumi kawasan lantai seluas 23.65 juta kaki persegi yang akan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sekitar 70.65 kilo tan setahun.

Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan proaktif dengan menambahkan bilangan pensijilan bangunan hijau dan boleh diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Pulau Pinang seperti penarafan GreenRE, penarafan MyCREST dan penarafan CASBEE Iskandar berkuatkuasa Jun 2022. Bagi lain-lain sijil penarafan, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan penggunaan sijil-sijil tersebut dari semasa ke semasa.

  1. Di bawah inisiatif Penang2030 bagi sektor pengangkutan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini sedang berusaha memperkasakan pembangunan infrastruktur bagi pemasangan stesen pengecasan kenderaan elektrik. Inisiatif ini merupakan salah satu sokongan kepada Sustainable Development Goals (SDG) yang menekankan ‘sustainable transport and sustainable living’. Selain itu, inisiatif ini juga dapat menyokong penggunaan kenderaan elektrik di Pulau Pinang agar pembebasan karbon dapat dikurangkan.
  1. Dalam hal ini saya ingin merakamkan ucapan Syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang telah merangkul anugerah Climathon Global Awards 2020 bagi kategori bandaraya yang diberikan oleh European Institute of Innovation and Technology (EIT) Climate yang merupakan sebuah organisasi dengan misi menangani perubahan iklim menerusi inovasi.

Gurney Wharf

Ahli-ahli Yang Berhormat,

  1. Projek pembangunan Taman Rekreasi Gurney Wharf merupakan salah satu komitmen oleh Kerajaan Negeri kepada penduduk Pulau Pinang untuk penyediaan kawasan hijau atau lapang untuk tujuan rekreasi dan riadah oleh penduduk Pulau Pinang. Projek ini dengan peruntukan Ringgit Malaysia dua ratus perpuluhan tiga juta (RM200.3 juta) adalah dibangunkan di kawasan anggaran seluas 115.35 ekar. Saya telah merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi projek ini pada 11 Mei 2022 yang mana pembangunannya dibahagikan kepada dua (2) fasa dan kedua-duanya dijangka disiapkan pada pertengahan Tahun 2024.

PENUTUP

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri telah melancarkan Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun (Mei 2018 hingga September 2021) sebagai komitmen untuk mencapai Visi Penang2030 dan memastikan Kerajaan Negeri berada pada landasan yang betul dan tidak tersasar daripada matlamat ditetapkan. Berdasarkan laporan tersebut, rata-rata tindakan untuk mencapai Visi Penang2030 telah digerakkan serta menunjukkan akauntabiliti Kerajaan Negeri.
  1. Saya ingin menekankan bahawa perpaduan merupakan aset terpenting negara yang menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati. Ingatlah bahawa generasi terdahulu telah berjuang dan melalui pelbagai cabaran dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan. Semangat tolong-menolong, bertimbang rasa, bertolak ansur dan kesopanan merupakan ciri-ciri yang menjadi identiti masyarakat Malaysia. Dalam perbezaan pendapat atau pendirian, saya menyeru supaya kita semua sentiasa mengingatkan diri kepada tujuan sebenar yang ingin dicapai, iaitu untuk membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
  1. Harapan saya adalah untuk melihat Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama-sama semua warga kerja perkhidmatan awam, swasta dan rakyat negeri ini menggembleng tenaga serta daya fikir untuk menyumbang ke arah perancangan pembangunan negeri. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan usaha daripada seluruh anggota Perkhidmatan Awam yang terlibat dalam menyumbang ke arah pembangunan, keamanan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang. Saya percaya bahawa Kerajaan Negeri dan seluruh jentera Perkhidmatan Awam akan bekerja bersungguh-sungguh untuk membangunkan Negeri Pulau Pinang dan memberikan masa hadapan yang cerah kepada rakyat yang dikasihi.
  1. Akhir kata, saya mendoakan agar Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua serta melindungi negeri yang tercinta ini dari sebarang unsur negatif supaya kita terus maju, makmur dan mendapat perlindungan dari Yang Maha Esa.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Keempat Belas. Selamat bersidang di Dewan Yang Mulia ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang