MAJLIS PENUTUP KEJOHANAN BOLA KERANJANG PIALA MABA/MATRIX KE-26 TAHUN 2022
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENUTUP
KEJOHANAN BOLA KERANJANG
PIALA MABA/MATRIX KE-26 TAHUN 2022
10 JUN 2022
KEM WHITE RESORT BALIK PULAU
Yang Berhormat Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Seri Lee Tian Hock
Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA)
Yang Berbahgia Dato Ooi Khoon Yeong
Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Harry Chai Heng Hua
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Liew Yong Choon
Pengerusi Piala Maba Matrix ke 26
Dato’-Dato’
Jurulatih dan Pengurus Pasukan
Penaja-penaja
Rakan-Rakan Media,
Tuan-Tuan / Puan-Puan,
Hadirin Sekalian
Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang atas jemputan sempena Majlis Penutup Kejohanan Bola Keranjang Piala MABA/MATRIX Ke-26 pada malam yang berbahagia ini.
Kejohanan ini telah dianjurkan di Pulau Pinang buat julung kali pada tahun 1995 dan selepas 27 tahun, Pulau Pinang telah diberi peluang sekali lagi untuk menganjurkan kejohanan bola keranjang berprestij ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para pemain dan pasukan dari Pulau Pinang (tuan rumah), Johor, Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selamat Datang ke Pulau Pinang.
Kalah dan menang itu adat permainan, dan saya berharap kesemua pemain dan 10 pasukan yang telah beraksi dalam kejohanan yang telah berlangsung sejak 4 Jun 2022 telah mempamerkan aksi dan semangat juang yang tinggi, dengan pendedahan dan pengalaman yang cukup berharga ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Tanpa kita sedari, sukan sejak sekian lama telah menjadi ejen perpaduan paling berjaya dalam menyatukan rakyat sesuatu negara tidak terkecuali di Malaysia. Salah satu matlamat penganjuran kejohanan ini adalah agar lebih ramai kaum terlibat dalam sukan bola keranjang ini bagi memupuk semangat perpaduan kaum di Malaysia.
Oleh itu, saya berpendapat penganjuran kejohanan sebegini sedikit sebanyak mampu memberikan suatu impak yang sangat berkesan kepada penglibatan orang ramai di negeri ini yang masih belum mula melibatkan diri dalam aktiviti sukan untuk memulakan aktiviti kesukanan dan seterusnya menjadikan ia sebagai satu budaya hidup.
Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap apa jua jenis aktiviti yang berkaitan dengan sukan dan belia termasuklah dalam menyediakan fasiliti dan kemudahan berkaitan, kerana ia mampu menyumbang ke arah peningkatan kualiti kesihatan fizikal dan mental, perpaduan dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Melihatkan kepada usaha menjana atlet sukan berprestasi dan berpendidikan, saya percaya impian dan hasrat kita untuk melestarikan pembangunan sukan berprestij tinggi dan memperkasakan peranan dan bakat modal insan dalam menjayakan Visi Penang2030 berada di landasan yang tepat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya difahamkan empat (4) pasukan telah melangkah ke separuh akhir iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Putrajaya di mana Negeri Sembilan dan Sabah telah meneruskan kemaraan ke peringkat perlawanan akhir dan Negeri Sembilan telah berjaya menewaskan Sabah dan diumumkan sebagai johan pada malam ini sekaligus memenangi wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan pingat emas.
Manakala pasukan naib juara pula akan menerima wang tunai berjumlah RM2,500, trofi dan pingat perak dan pasukan yang memenangi tempat ketiga akan menerima wang tunai sebanyak RM2,500, trofi dan pingat gangsa.
Dengan pemberian ini, diharapkan ia dapat menaikkan lagi semangat semua atlet agar terus berusaha untuk meningkatkan prestasi dan mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setulus penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Kepada yang menang, sekalung ucapan tahniah dirakamkan dan kepada yang kalah jangan cepat berputus asa, sesungguhnya jadikan kekalahan hari ini sebagai titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih