MAJLIS PENYERAHAN SIJIL PENGIKTIRAFAN RIZAB BIOSFERA BUKIT BENDERA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN

SIJIL PENGIKTIRAFAN RIZAB BIOSFERA

BUKIT BENDERA

 

11 JUN 2022

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengalu-alukan kehadiran YB Datuk Ali Anak Biju, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta delegasi, para jemputan serta hadirin semua ke Bukit Bendera, Pulau Pinang pada petang  yang berbahagia ini.

Menyingkap kembali perjalanan untuk kejayaan hari ini bukan sesuatu yang mudah. Sememangnya diakui untuk mendapatkan pengiktirafan dari UNESCO merupakan satu proses yang terperinci dan penuh dengan cabaran. Setelah melalui suatu proses yang panjang, usaha gigih yang dimulakan sejak tahun 2016 ini akhirnya berjaya direalisasikan.

Dan sudah tentu di sebalik projek ini, ada sebuah pasukan yang giat melakukan aktiviti penyelidikan serta menyediakan dossier pencalonan sejak tahun 2016.  Setelah berusaha selama empat (4) tahun, dossier tersebut akhirnya berjaya dihantar ke UNESCO untuk penilaian pada bulan September 2020.

Pada 15 September 2021, Rizab Biosfera Bukit Bendera berjaya disenaraikan di bawah Program Manusia dan Biosfera UNESCO pada Mesyuarat The 33rd Session of the Man and the Biosphere Programme International Coordinating Council (MAB-ICC) yang diadakan di Abuja, Nigeria pada 13 September 2021 hingga 17 September 2021 setelah hampir setahun proses penilaian dijalankan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan pengiktirafan tersebut, telah meletakkan Rizab Biosfera Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera UNESCO yang ketiga di Malaysia selepas Rizab Biosfera Tasik Chini dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker.

Manakala untuk Pulau Pinang sendiri, pengiktirafan ini merupakan penghargaan kedua yang diterima selepas George Town diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.

Sebagaimana impian bersama dalam merealisasikan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, detik bermakna ini telah menjadi batu loncatan yang amat penting buat Pulau Pinang bagi merancakkan lagi agenda pembangunan lestari.

Sesungguhnya, pencapaian ini tidak mungkin akan berjaya tanpa kerjasama dan usaha daripada semua pihak yang terlibat. Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), The Habitat Group, ahli-ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang bekerja keras untuk mencapai kejayaan yang berprestij ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera ini, Kerajaan Negeri amat teruja untuk terus meningkatkan usaha bagi menjadikan Bukit Bendera dan kawasan sekelilingnya sebagai destinasi eko pelancongan pilihan serta menjadi tempat pembelajaran bertaraf dunia bagi meneroka dan menggambarkan kaedah pemuliharaan, pembangunan lestari, pendidikan serta penyelidikan.

Bagi menyahut usaha ini, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.22 juta di bawah Bajet Negeri 2022 kepada Taman Botani Pulau Pinang yang merupakan sebahagian kawasan di bawah Rizab Biosfera Bukit Bendera. Bajet tersebut merangkumi peruntukan untuk pembangunan, pembaikan dan penaiktarafan kemudahan, infrastruktur, landskap dan hortikultur.

Saya yakin bahawa pengurusan Rizab Biosfera Bukit Bendera yang dipimpin oleh PBBPP dengan sokongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta kerjasama The Habitat Group, ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia dan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan komited untuk memantapkan amalan pengurusan khazanah hutan secara lestari di negeri ini merangkumi aspek konservasi, kepelbagaian biologi, pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

Saya juga difahamkan bahawa Pejabat Rizab Biosfera Bukit Pulau Pinang (PHBRO) akan ditubuhkan pada tahun ini dengan peranan untuk membangunkan Pelan Tindakan Rizab Biosfera Bukit Pulau Pinang (PHBRAP) yang akan memperincikan pengurusan PHBR, di samping penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Biodiversiti di Bukit Bendera secara Public Private Partnership (PPP) yang dirancang oleh PBBPP dengan kerjasama The Habitat Group, ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Pusat Penyelidikan Biodiversiti ini bertujuan bagi mendidik dan memupuk minat generasi muda berkaitan biodiversiti hutan dan persisiran pantai.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PBBPP selaku tuan rumah yang telah bekerja keras bersama-sama dengan semua pihak berkepentingan dalam menjayakan Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera.

Diharapkan Bukit Bendera dan kawasan sekelilingnya akan terus berusaha untuk mencapai matlamat Program Manusia dan Biosfera UNESCO.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang