MAJLIS SEMARAK PELANCONGAN MELAKA DI NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

 SEMPENA MAJLIS SEMARAK PELANCONGAN MELAKA DI NEGERI PULAU PINANG

 TAHUN 2022

13 JUN 2022

HOTEL ROYAL CHULAN; 8 MALAM
_____________________________________

YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Bin Md Ali

Ketua Menteri Melaka

 

YB Tuan Yeoh Soon Hin

Exco Pelancongan Dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang;

 

YB Datuk Muhammad Jailani Bin Khamis

Exco Pelancongan, Warisan Dan Kebudayaan Negeri Melaka;

YB Dato Dr. Mohamad Farazi Johari

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

 

YB Datuk Salhah Salleh

Pegawai Kewangan Negeri Melaka

 

YBrs. Encik Badaruddin Bin Mohd Kassim

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Melaka

 

YBrs. Encik Zuhair Bin Jamaludin

Setiausaha Bahagian Unit Perancang Ekonomi Pulau Pinang

 

YBrs. Tuan Hj. Mohd Yusof Bin Abu Bakar

Setiausaha Bahagian Unit Perancang Ekonomi Melaka

 

Ketua-Ketua Jabatan Agensi Negeri Melaka dan Pulau Pinang

Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan sekalian.

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Wakil-wakil Persatuan Penggiat Pelancongan Pulau Pinang

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam LovePenang.

Terlebih dahulu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati atas kesudian YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md. Ali dan delegasi Kerajaan Negeri Melaka yang telah memilih Pulau Pinang sempena program Semarak Pelancongan dan Sesi Padanan Niaga, Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022 di Negeri Pulau Pinang mulai 12 hingga 14 Jun 2022.

Selamat Datang ke Pulau Mutiara!

Saya juga ingin mengalu-alukan kedatangan agensi-agensi penggiat pelancongan, pengusaha hotel, inap desa dan wakil-wakil produk eko-pelancongan yang turut serta dalam siri perkongsian pintar dan bertukar pendapat dengan para penggiat pelancongan di negeri Pulau Pinang.

Semoga platform ini dimanfaatkan sepenuhnya demi kemajuan dan penambahbaikan industri pelancongan bagi kedua-dua negeri secara keseluruhannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Meskipun secara luaran Pulau Pinang dan Melaka ini dilihat saling ‘bersaing’, namun hakikat yang tidak mungkin dapat kita nafikan ialah kedua-dua destinasi ini sebenarnya saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama yang lain.

Kebersamaan yang wujud di antara kedua-dua negeri, antaranya sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO sudah cukup untuk menggambarkan kesalinghubungan ikatan yang sedia terjalin sebelum ini dan juga di masa depan demi kebaikan bersama.

Pengiktirafan tersebut sekaligus juga telah membuktikan bahawa hala tuju sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Melaka sememangnya selari dan bergerak ke arah landasan yang tepat

Justeru, Kerajaan Negeri percaya jelajah program Semarak Pelancongan Melaka di Negeri Pulau Pinang ini bakal menjadi titik permulaan dan melakar landskap baharu terutama dalam mencipta jalinan kerjasama strategik ke arah kebangkitan semula industri pelancongan yang terjejas teruk sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Sepertimana negeri Melaka, industri pelancongan adalah antara penyumbang yang amat penting kepada pertumbuhan negeri Pulau Pinang. Kita akui ketika pandemik COVID-19 melanda, krisis ini telah meletakkan negeri Pulau Pinang ke arah satu keadaan yang begitu sukar, dan saya yakin semua negeri termasuk Melaka juga mengalami situasi yang sama.

Namun, di sebalik ujian getir ini, pandemik COVID-19 telah menyumbang kepada suatu keadaan lebih realistik yang mendorong ke arah transformasi dan menstabilkan penggunaan digital yang sangat bermanfaat untuk diaplikasikan dalam industri pelancongan.

Dengan perkembangan ini, semua daripada kita berpeluang untuk memanfaatkan ruang dan peluang platform digital ini terutama dalam menjenamakan semula produk-produk pelancongan tempatan secara lebih interaktif serta berkesan, sekaligus telah mengembalikan dan meningkatkan keyakinan pelancong-pelancong untuk mengunjungi destinasi pelancongan pilihan masing-masing.

Malah, Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021-2030 juga merangkumi penyediaan tempat dan produk tarikan pelancong yang baharu di Pulau Pinang. Sebagai contoh, Projek Pemuliharaan Runtuhan Gereja Lama Pagar Tras di Bukit Mertajam; Pembangunan Semula Dan Pengurusan Kompleks Bayu Senja; Pembinaan Galeri Arkeologi Guar Kepah; pemulihan bangunan No.6 Sepoy Line sebagai galeri kesenian tambahan dan banyak lagi.

Kesemua projek ini menunjukkan kelebihan pendekatan berasaskan budaya yang menawarkan pembangunan sosioekonomi yang amat mampan.

Selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan pembangunan komuniti untuk memudahkan penyertaan rakyat dalam proses perkembangan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri komited dalam memberikan bantuan melalui promosi-promosi destinasi pelancongan yang kurang dikunjungi untuk memastikan pembangunan sumber manusia di seluruh negeri.

Kerajaan Negeri percaya melalui inisiatif ini, ia dapat mempertingkatkan kondisi sosial ekonomi penduduk tempatan dan juga mengkonservasi alam sekitar pada masa yang sama.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya berharap delegasi Kerajaan Negeri Melaka dapat memperoleh sesuatu daripada sesi perkongsian sepanjang berada di Pulau Mutiara ini.  

Marilah kita, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Melaka berganding bahu melangkah sederap serentak menuju ‘gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni’, bersama-sama memastikan pembangunan produk pelancongan sentiasa mampan dan inklusif.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang