MAJLIS PELANCARAN PROJEK PEMBINAAN SEMULA BANGUNAN PASAR AWAM DAN PUSAT PENJAJA,

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

PROJEK PEMBINAAN SEMULA

BANGUNAN PASAR AWAM DAN PUSAT PENJAJA,

MUKIM 1, BANDAR SEBERANG JAYA

 

16 JUN 2022

TAPAK PROJEK PEMBINAAN SEMULA BANGUNAN PASAR AWAM DAN PUSAT PENJAJA

 

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa

 

YB Nurul Izzah binti Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh, merangkap ADUN Angkat Seberang Jaya

 

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Encik Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

 

Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Pengarah-pengarah Jabatan MBSP

Ketua-ketua Bahagian PDC

Encik Lim Beng Keong

Pengarah, Zubicon Development Sdn Bhd

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang telah memastikan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Semula Bangunan Pasar Awam Dan Pusat Penjaja, Bandar Seberang Jaya pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.

Di atas tanah milik Kerajaan Negeri dan juga PDC dengan keluasan keseluruhan sebanyak 12.4742 ekar ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan semula bangunan Pasar Awam dan Pusat Penjaja sedia ada yang telah pun berusia sekitar 30 tahun dengan kos pembangunan semua berjumlah lebih kurang RM19,500,000.00 yang akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju secara cross subsidized daripada keuntungan pemajuan perumahan dan komersial.

Pembangunan semula ini melibatkan 4 plot tanah merangkumi pembangunan semula Pasar Awam & Pusat Penjaja (4.1099 ekar), projek pembangunan bercampur (4.0008 ekar), projek komersial (1.0204 ekar) dan tempat letak kereta (3.3431 ekar).

Kerja-kerja awalan telah pun bermula dan projek ini dijangka siap pada Mac 2023. Apabila ianya siap, Kompleks Pasar Awam dan Pusat Penjaja ini akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi pengurusan dan milikan. 

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan beberapa penambahbaikan yang telah disyaratkan kepada pemaju meliputi penyediaan ruang niaga di luar kompleks bagi menampung keperluan peniaga/penjaja kecil sedia ada dan kegunaan tapak pasar malam, serta ruang parkir yang mencukupi bagi mengelakkan aliran kesesakan lalulintas, diharapkan ia dapat menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan mampan, di samping memberikan keselesaan bukan sahaja kepada para peniaga tetapi juga kepada para penduduk di kawasan ini.

Kerajaan Negeri yakin dengan pelaksanaan projek pembangunan semula ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan Bandar Seberang Jaya, seterusnya bagi kawasan Seberang Perai Tengah (SPT).

Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, projek ini telah menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan dan kemajuan negeri ini dari segi pembangunan infrastruktur yang seimbang di bahagian pulau dan tanah besar.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDC dan semua yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembangunan semula projek ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang