MAJLIS APRESIASI BOMBA SUKARELA DAN PENYELAMAT NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS APRESIASI
BOMBA SUKARELA DAN PENYELAMAT
NEGERI PULAU PINANG
1 JULAI 2022
DEWAN BANDARAYA
Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang
Speaker Dewan Undang Negeri
Pulau Pinang
Yang Berhormat Phee Boon Poh
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Alam Sekitar dan Kebajikan
Yang Berhormat Soon Lip Chee
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Belia dan Sukan
Yang Berhormat Barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri/Ahli Majlis
YBhg. Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri
Ketua - Ketua Pengarah
Anggota - Anggota Bomba Sukarela
Rakan - Rakan Media
Tuan - Tuan dan Puan - Puan yang saya hormati
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran para anggota Bomba Sukarela dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang yang sudi melapangkan masa bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Apresiasi Bomba Sukarela dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.
Sesungguhnya majlis pada hari ini diadakan bagi meraikan kesemua 33 buah pasukan yang aktif atas segala pengorbanan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sama seperti para petugas barisan hadapan (frontliners) yang lain, sumbangan anda sebagai pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat tidak dapat dinafikan.
Sebagai pasukan bertindak awal (First Responder) dalam menangani insiden-insiden kebakaran di kawasan luar bandar atau yang terpencil yang tidak mempunyai balai bomba yang berdekatan, kewujudan anda semua secara tidak langsung telah dapat melahirkan perasaan tenteram dan selamat dalam komuniti kejiranan.
Situasi ini sekaligus telah menunjukkan betapa tinggi kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh komuniti setempat terhadap fungsi dan peranan Bomba Sukarela dan Penyelamat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Walaupun berhadapan dengan cabaran dari segi pengurusan dan masa yang terhad serta lain-lain kekangan, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat anda semua untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Menyedari cabaran yang dihadapi itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperuntukan sejumlah RM330,000 bagi pasukan Bomba Sukarela dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang di mana setiap cawangan akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000.
Semoga dengan sedikit sumbangan ini, ia dapat membantu proses pemerkasaan dan pemantapan yang menjurus kepada kebajikan pasukan dan keahlian serta kemahiran usaha-usaha menyelamat.
Terima kasih dan syabas atas pengorbanan anda!
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terutama di Negeri Pulau Pinang yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menganjurkan latihan dan kursus-kursus kepada anggota-anggota bomba sukarela.
Semoga kerjasama baik ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan perkhidmatan dan bantuan yang terbaik dapat diberikan kepada rakyat dan negeri ini.
Sekian, terima kasih.