KEMPEN ❤️PENANG (LOVEPENANG)

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,  

YAB TUAN CHOW KON YEOW

BERHUBUNG KEMPEN ❤️PENANG (LOVEPENANG)

 

15 JULAI 2022; 12.00 TENGAH HARI;

BILIK MESYUARAT BUNGA RAYA, ARAS 51, KOMTAR

_______________________________________

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke sidang media ini bagi berkongsi dua (2) lagi program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kempen ❤️PENANG (LovePENANG).

 

PROGRAM ‘COMMUNITY AWARD’

Sebagaimana kita semua maklum, ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 selama hampir dua (2) tahun, kehidupan rakyat berada dalam keadaan sukar dan genting. Pelbagai masalah dihadapi dari aspek kesihatan, sosial dan ekonomi.

Dalam tempoh yang sukar ini, ramai orang awam tampil secara sukarela untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Mereka ini adalah wira-wira Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, malah ramai lagi orang awam yang telah menghulurkan bantuan kepada pihak lain dalam pelbagai cara atas dasar kemanusiaan yang tidak terhad kepada perkara-perkara berkaitan COVID-19 sahaja.

Justeru,  Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada wira-wira ini dan ingin memberikan pengiktirafan melalui program Anugerah Komuniti ataupun Community Award.

‘Community Award’ adalah program yang terdapat di bawah kempen ❤️PENANG (LovePENANG) bertujuan untuk mengiktiraf sifat perikemanusiaan dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang. Hal ini kerana kita percaya bahawa tingkah laku dan perbuatan baik seseorang tidak boleh dipandang remeh sebaliknya dijadikan contoh teladan.

Program ‘Community Award’ terbuka kepada seluruh masyarakat dan penduduk Pulau Pinang yang menyumbangkan jasa untuk melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia dan bermoral tinggi. Tindakan seperti menderma, sukarelawan, ataupun menyelamatkan nyawa tanpa mengharapkan imbuhan perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat kini.

Jika anda mengenali sesiapa yang memenuhi kriteria anda boleh mengambil peluang ini untuk berkongsi jasa baik mereka. Anda boleh berkongsi maklumat dan seterusnya mencalonkan individu terbabit melalui aplikasi ❤️PENANG (LovePENANG) ataupun laman sesawang, www.lovepg.my.

Justeru, calon tersebut akan melalui proses pengesahan berasaskan garis panduan serta terma dan syarat yang ditetapkan. Hasilnya, calon yang berjaya akan diberikan ‘Community Award’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Penerima ‘Community Award’ akan dinilai oleh beberapa panelis profesional yang dijemput khas daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Panelis ‘Community Awards’ adalah :-

  1. Datuk Khoo Boo Leong

Pesuruhjaya Penang Buddhist Tzi-Chi Merits Society Malaysia

  1. Dato’ Seri Haji Abdul Rafique bin Abdul Karim

Presiden Majlis Dato-Dato’ Negeri Pulau Pinang / Honorary Consul General of Pakistan in Penang

  • Dato’ Jimmy Ong Ching Keng

Mantan Pengerusi FMM

  1. Doreen Yeap Gim Ean

Pengamal Perubatan

  1. Datuk N. Gobalakrishnan

Presiden Malaysian Association Indian Chambers of Commerce and Industry Malaysia (MAICCI)

 

Saya yakin bahawa kita dapat menguatkan prinsip kasih sayang dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang melalui inisiatif ini tanpa mengira perbezaan kaum dan agama. Ini amat penting untuk menghakis sentimen perkauman dan fahaman terutamanya di antara rakyat majmuk.

Sebarang info lanjut akan disediakan di aplikasi LovePENANG dan halaman, www.lovepg.my.

 

PROGRAM ‘LOVEPENANG RUN’

Masyarakat dari segenap lapisan dialu-alukan untuk menyertai ‘LovePENANG Run’ iaitu larian sejauh 5 kilometer di tengah bandar George Town yang akan diadakan pada 14 Ogos 2022.

‘LovePENANG Run’ ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Penang Forward Sports Club. Jumlah sasaran peserta adalah seramai  10,000 penyertaan.

Salah satu aspek kehidupan yang tidak dapat dinafikan adalah nikmat untuk keluar dan bersenam. Oleh yang demikian, ‘LovePENANG Run’ ini adalah salah satu aktiviti yang bakal mempromosikan kembali gaya hidup sihat sambil menikmati pemandangan indah ibu negeri Pulau Pinang, George Town. 

‘LovePENANG Run’ dibuka untuk semua peringkat umur. Kanak-kanak di bawah 12 tahun dan ke bawah mesti ditemani oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Larian bakal bermula dan tamat di Lebuh Pantai. Pendaftaran kini dibuka dengan yuran sebanyak RM17 bagi membolehkan para peserta mendapat baju-t, pingat dan e-sijil. Tarikh akhir pendaftaran ialah pada 5 Ogos 2022.

Bagi maklumat lanjut atau pendaftaran, layari lamam Facebook, https://www.facebook.com/lovepenangrun.

LovePENANG adalah kempen komuniti yang menyeru penduduk Pulau Pinang bersatu dan bangkit selepas menghadapi satu tempoh yang sangat sukar sepanjang pandemik COVID-19. Matlamat kempen ini adalah untuk menggalakkan penduduk Pulau Pinang membina semula kerosakan yang berlaku dan bangkit membina harapan dan impian yang hilang dalam tempoh pandemik.

Selain itu, semua organisasi digalakkan untuk menggunakan slogan itu sebagai peringatan untuk menyumbang kepada negeri ini dan menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat yang lebih baik untuk generasi yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang