MAJLIS PELANCARAN PROGRAM KEJOHANAN BOLA KERANJANG PIALA LOVEPENANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM KEJOHANAN BOLA KERANJANG
PIALA LOVEPENANG
26 JULAI 2022
GELANGGANG BOLA KERANJANG PERKAMPUNGAN JAWI
YB Tuan Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan
Yang Berusaha Encik Harry Chai Heng Hua
Pengarah, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP)
Yang Berusaha Dato' Ooi Khoon Yeong
Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Ching Swee Hong
Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Seberang Perai Selatan
Para Pasukan dan Pemain
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG dapat dibuka secara rasminya pada hari ini.
Sebanyak 40 buah pasukan telahpun mengesahkan penyertaan di mana pasukan dari Zon Seberang Perai akan memulakan perlawanan di Gelanggang Bola Keranjang Perkampungan Jawi ini, manakala pasukan dari Zon Pulau akan berentap di Stadium Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula pada 31 Julai (Ahad).
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG merupakan antara program yang diperkenalkan di bawah kempen LovePENANG yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.
Kempen LovePENANG ini telah diperkenalkan bertujuan untuk menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat di negeri Pulau Pinang pasca pandemik COVID-19, selepas kita semua berdepan dengan krisis kesihatan global yang cukup besar terhadap dan meninggalkan impak kepada semua aspek kehidupan dan dirasai oleh setiap lapisan umur dalam masyarakat.
Bagi golongan belia, terutamanya bagi belia yang terdedah (vulnarable), krisis COVID-19 menimbulkan risiko yang besar dalam bidang pendidikan, pekerjaan, kesihatan mental dan pendapatan boleh guna (disposable income).
Kerajaan Negeri peka dan mengambil berat terhadap perkara ini. Kerajaan Negeri telah dan sedang berusaha keras untuk melindungi golongan belia sebagai generasi masa hadapan melalui tiga (3) pendekatan iaitu tindak balas (response), pemulihan (recovery) dan membina daya tahan (resilience).
Dalam tempoh dua (2) tahun pandemik COVID-19, rakyat telah melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tentu sekali ianya telah membataskan aktiviti jasmani golongan belia.
Justeru, sejajar dengan pendekatan pemulihan (recovery), Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah bekerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang dan Persatuan Bola Keranjang Cawangan Seberang Perai Selatan untuk menganjurkan Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG ini sebagai salah satu program untuk mengaktifkan kembali kehidupan sosial golongan belia.
Kita percaya sukan bola keranjang berada dalam kelasnya tersendiri dan merupakan antara sukan yang popular.
Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai belia melibatkan diri dalam sukan bola keranjang, Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan fasitili sedia ada dan akan membina lebih banyak gelanggang bola keranjang.
Selain daripada tujuh (7) buah gelanggang yang sedang dinaiktaraf, Kerajaan Negeri kini dalam perancangan untuk membina sebanyak 5 buah gelanggang bola keranjang lagi di mana dua (2) buah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan masing-masing satu (1) buah di daerah Timur Laut (DTL), daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Saya berharap, melalui kejohanan seperti ini, kita akan dapat memupuk minat di kalangan golongan remaja untuk bersukan dan seterusnya menyihatkan tubuh badan untuk keseimbangan jasmani, rohani, emosi dan intelek, di samping mencungkil bakat-bakat baharu dan melahirkan pemain yang berpotensi untuk mewakili peringkat negeri dan negara.
Justeru, marilah kita menyahut kempen LovePENANG serta sentiasa bersukan demi perpaduan dan kesihatan.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG.
Sekian, terima kasih.