MAJLIS PECAH TANAH PERUMAHAN MAMPU MILIK PENGKALAN TAMBANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH

PERUMAHAN MAMPU MILIK PENGKALAN TAMBANG

30 Julai 2022

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa,

YB Muhammad Faiz bin Fadzil

ADUN Permatang Pasir

YB Nurul Izzah binti Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh

Yang Berusaha Tuan Haji Ir. Baderul Amin bin Abdul Hamid

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Mampu Milik Pengkalan Tambang pada hari ini dapat diatur dengan jayanya.

Dengan keluasan sebanyak 23 ekar, satu lagi projek perumahan mampu milik akan direalisasikan tidak lama lagi di atas Lot 1056, 1057, 1058, dan 1059, Mukim 12, Permatang Pasir, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ini.

Kerja-kerja pembangunan yang akan dilaksanakan oleh  Tetuan Spirit of Perai Sdn. Bhd. ini akan dilaksana dalam dua (2) fasa yang keseluruhannya merangkumi komponen seperti berikut:

  1. Tiga (3) blok rumah pangsa lima tingkat yang mengandungi 350 unit Rumah Mampu Milik RMM A (4.6 ekar);
  2. 440 unit Rumah Mampu Milik Jenis C3 (18.4 ekar) yang terdiri daripada Rumah Bandaran (‘townhouse’);
  • Kemudahan masyarakat seperti surau, dewan komuniti dan tapak RIBI.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya, pelancaran projek pada hari ini merupakan satu lagi milestone dalam usaha Kerajaan Negeri bukan sahaja untuk menjayakan agenda perumahan rakyat, namun juga merangkumi kejayaan dasar-dasar Negeri yang memberi fokus kepada pertumbuhan dan kemajuan negeri Pulau Pinang secara saksama di antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk melihat perkembangan positif daripada pembangunan projek perumahan ini yang saya pasti mampu memberi nilai tambah yang lebih baik kepada masyarakat di sini terutama dari segi peningkatan status ekonomi dan kualiti hidup rakyat yang lebih baik dan selesa.

Usaha menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) secukupnya sentiasa menjadi keutamaan pembangunan Kerajaan Negeri yang mana sasaran penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) telah ditetapkan di bawah Inisiatif Strategik A1 Penang2030 iaitu Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagai Perumahan, dengan menyasarkan pembekalan sebanyak 220,000 unit RMM menjelang tahun 2030.

Pencapaian semasa ketika ini seperti dimaklumkan oleh YB Saudara Jagdeep telah mencecah sebanyak 138,545 unit (62.9 peratus) daripada sasaran 220,000 unit di bawah Penang2030. Syabas diucapkan.

Aspek pembekalan, penawaran dan seterusnya pembiayaan bagi memiliki rumah mampu milik ini adalah komponen yang berkait rapat sebelum rumah dapat didiami. Berdasarkan trend pembiayaan, sememangnya wujud peratusan yang agak tinggi penolakan pinjaman di mana Kerajaan Negeri sendiri sejak 2014 telah memperkenalkan semula kaedah Sewa Beli dan turut ditetapkan di bawah Penang2030 juga sebanyak 22,000 rumah mampu milik dapat disediakan di bawah kaedah ini.

Sekiranya pemaju ingin menawarkan sewa beli kepada RMM A yang dibina, sudah pasti ia memberikan kegembiraan berganda kepada bakal penerima di perumahan ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang menjayakan majlis ini.

Kerajaan Negeri dan warga Pulau Pinang menanam harapan yang besar untuk melihat projek pembangunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang agar penempatan dengan pesekitaran yang lebih sempurna, selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih kondusif dapat dinikmati warga Pulau Pinang

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang