MAJLIS PERASMIAN PAMERAN DARI GABENOR KE TYT

 

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

PAMERAN DARI GABENOR KE TYT

 

16 OGOS 2022

DEWAN SERI PINANG

 

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

 

YB Yeoh Soon Hin

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

Yang Berusaha Puan Haryany binti Mohamad

Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan

Ahli-Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang

Ahli-Ahli Jawatankuasa Balai Seni Lukis Pulau Pinang

Para Pencinta Sejarah, Seni dan Warisan

Rakan-rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada YB Yeoh Soon Hin, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) dan seluruh warga kerja LMNPP atas komitmen serta sumbangan idea dan tenaga dalam merealisasikan penganjuran Pameran Dari Gabenor Ke T.Y.T. pada hari ini.

Sesungguhnya, penganjuran pameran ini merupakan satu detik dan kejayaan yang cukup besar, bukan sahaja kepada warga kerja LMNPP tetapi juga kepada seluruh warga negeri Pulau Pinang. Satu lagi catatan sejarah yang cukup membanggakan berjaya diukir buat negeri kita.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

Bermula dari Gabenor pertama yang disandang oleh Raja Tun Uda Al Haj bin Raja Al Haj Muhammad pada tahun 1957 selepas negara mencapai kemerdekaan, disusuli dengan Tun Tan Sri Syed Sheh bin Syed Abdullah Shahabudin (1967 – 1969), Tun Tan Sri Syed Sheh Al-Haj bin Syed Hassan Barakbah (1969 – 1975), Tun Tan Sri Dato' Seri Dato' Haji Sardon bin Haji Jubir (1975 – 1981), Tun Dato' Dr. Haji Awang bin Hassan (1981 – 1989), Tun Tan Sri Datuk Dr. Haji Hamdan bin Sheikh Tahir (1989 – 2001), Tun Datuk Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas (2001 – 2021) dan yang terkini Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak selaku Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang Kelapan, setiapnya mempunyai artifak sejarah yang tersendiri.

Melalui pameran ini, kita semua berpeluang untuk melihat secara lebih dekat koleksi-koleksi eksklusif peribadi mereka. Saya turut ingin merakam ucapan jutaan terima kasih kepada waris- waris mantan Tuan Yang Terutama yang terdahulu atas kerjasama dan kesudian meminjamkan koleksi-koleksi peribadi demi menjayakan pameran ini.

Inilah saat dan peluang yang dinanti-nantikan oleh kita semua untuk merasai dan menyaksikan sendiri keunikan sejarah institusi Gabenor yang kini dikenali sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri. Pameran ini sarat  dengan pelbagai informasi menarik mengenai tonggak utama negeri Pulau Pinang.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Bagi membolehkan setiap lapisan rakyat di negeri ini berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat Gabenor/ T.Y.T. yang telah berkhidmat semenjak kemerdekaan, pameran yang berlangsung bermula semalam, 15 Ogos 2022 akan turut menjelajah ke empat (4) lagi daerah di negeri ini secara berperingkat sehingga Mei 2023.

Justeru, saya amat berharap melalui pameran ini, risalah maklumat berkenaan sejarah institusi Gabenor Pulau Pinang dapat dikongsi dengan semua lapisan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Pameran ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat yang cukup besar kepada seluruh warga Pulau Pinang tetapi juga warga dari negeri lain juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat berkenaan institusi ini.

Adalah diharapkan juga agar pameran ini akan menjadi platform dan juga medium dalam mencapai matlamat untuk mendidik masyarakat untuk lebih menghargai dan mempelajari tentang sejarah negeri Pulau Pinang dengan mengambil tahu akan jasa, peranan dan susur galur bermulanya pelantikan Gabenor dan TYT untuk negeri ini.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Pulau Pinang antara negeri termaju di Malaysia. Selain kemajuan urbanisasinya,  Pulau Pinang sememangnya sarat dengan sejarah dan warisan yang cukup berharga, sehingga dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Sesungguhnya, penyatuan kesemua elemen- elemen seperti inilah yang telah mengiktiraf negeri ini sebagai sebuah negeri yang unik dan sentiasa menjadi pilihan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Setiap daripada rakyat negeri ini perlu memainkan peranan masing-masing. Kita semua adalah duta untuk mempromosikan kepelbagaian seni dan warisan yang menjadi kekuatan negeri ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pameran ini.

Kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta semua waris keluarga Gabenor/T.Y.T.,sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih sekali lagi atas kehadiran, kerjasama dan jalinan baik yang telah diberikan selama ini.

Semoga pameran ini dapat berjalan lancar dan mencapai matlamat dan aspirasinya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang