KARNIVAL GO CASHLESS PERUMAHAN AWAM KOS RENDAH (PAKR)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA KARNIVAL GO CASHLESS

PERUMAHAN AWAM KOS RENDAH (PAKR)

 

28 OGOS 2022

DEWAN PADANG TEMBAK MBPP

             

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa

YB Wong Hon Wai

Ahli Parlimen Bukit Bendera

YB Jason Ong Khan Lee

ADUN Kebun Bunga

YB Joseph Ng Soon Siang

ADUN Air Itam

 

 

YB Yeoh Soon Hin

ADUN Paya Terubong

Yang Berusaha Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi

Pengurus Besar, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP)

Yang Berusaha Puan Hasjun binti Hashim

Timbalan Pengarah, Bank Negara Malaysia (BNM)

Yang Berusaha Tony Yeoh

Ketua Pegawai Eksekutif, Digital Penang

Barisan MPKK dari KADUN Kebun Bunga, Air Itam dan Paya Terubong

Warga Kerja Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang

Wakil-wakil Financial Service Provider (FSP)

Para Penduduk Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Tembak, Kampung Melayu dan Paya Terubong

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) atas inisiatif penganjuran Karnival Go Cashless Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Dewan Padang Tembak MBPP pada pagi yang berbahagia ini.

Sepertimana yang kita semua sedia maklum, pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020 telah mengubah kehidupan harian kita di mana secara tidak langsung ia telah membantu mempercepatkan proses digitalisasi negara dan mendorong penggunaan           e-dagang.

Penggunaan bayaran tanpa tunai telah menjadi trend dan  pilihan utama kini. Justeru, penganjuran karnival ini sangat bertepatan dan merupakan satu pendekatan mesra  dan wajar bagi memberikan pendedahan dan mendidik masyarakat terutama di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) ini mengenai pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh (cashless and contactless).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Usaha mendidik dan memupuk penggunaan bayaran secara tanpa tunai di Malaysia bukanlah perkara baharu. Ini jelas terbukti apabila transaksi tanpa tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion pada tahun 2021, berbanding RM29.6 bilion pada tahun 2020.

Kaunter-kaunter perkhidmatan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan hospital kerajaan turut telah memulakan langkah bagi mewajibkan pemakaian kaedah bayaran secara tanpa tunai.

Kita di Pulau Pinang sendiri telah pun melaksanakan program-program Inisiatif Tanpa Tunai sejak tahun 2015. Malah, Jawatankuasa Pemandu Inisiatif Tanpa Tunai juga telah ditubuhkan di peringkat negeri bagi memantau secara berkala pencapaian prestasi pembayaran tanpa tunai melibatkan semua jabatan dan agensi negeri.

Kerajaan Negeri komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara tanpa tunai dalam kalangan penduduk di negeri ini, sekaligus mewujudkan masyarakat celik digital dalam peluasan penggunaan transaksi tanpa tunai.

Justeru, saya berharap penganjuran karnival yang akan berlangsung selama 2 hari iaitu bermula pada hari ini, Ahad hingga Isnin (28 hingga 29 Ogos 2022) dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penduduk, khususnya di PAKR Padang Tembak, Kampung Melayu dan Paya Terubong.

Saya difahamkan terdapat sejumlah lapan (8) Financial Service Provider (FSP) iaitu Maybank, CIMB, Bank Simpanan Nasional, Public Bank, Hong Leong, Grab, TouchNGo dan PayNet yang terlibat untuk menjayakan karnival ini.

Selain daripada taklimat daripada barisan fasilitator yang berpengalaman, para peserta juga akan turut didedahkan secara fizikal untuk melaksanakan pembayaran secara tanpa tunai di kaunter kewangan selain di kaunter Rekreasi LPNPP bagi mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari. Barisan FSP yang menyertai karnival ini juga akan membantu memberikan input kepada peserta melalui produk masing-masing.

Kesemua aktiviti yang dijalankan ini menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat khususnya penduduk perumahan awam Padang Tembak supaya mereka dapat mengamalkan gaya hidup digital yang mudah dan cepat secara tanpa tunai.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa bermula 1 September 2022, kesemua jenis penerimaan bayaran di LPNPP akan diwajibkan pemakaiannya bagi bayaran tanpa tunai. Pembayaran boleh dibuat menerusi mod FPX melalui laman web eRumah, pembayaran menggunakan DuitNow QR atau pembayaran menggunakan Self Service Terminal (kad debit/kad kredit) di kaunter-kaunter perumahan.

Bayaran tanpa tunai ini termasuklah bayaran sewa dan selenggara di Perumahan Awam Kos Rendah, bayaran deposit untuk unit Sewa Beli, bayaran daripada JMB/MC bagi permohonan bantuan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang (TPM80PP) dan lain-lain.

Arahan ini diharap dapat membantu LPNPP mencapai sasaran nilai dan bilangan bayaran tanpa tunai yang telah ditetapkan oleh Pemegang Taruh.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin ucapkan terima kasih kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Bank Negara Malaysia (BNM), Digital Penang (DP) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Tembak atas kolaborasi dan komitmen dalam menjayakan karnival ini.

Syabas dan tahniah kepada  para penduduk PAKR yang hadir pada hari ini, serta kepada semua pihak berkepentingan untuk program Inisiatif Tanpa Tunai, termasuklah sokongan padu daripada YB Parlimen Bukit Bendera, YB ADUN Kebun Bunga, YB ADUN Air Itam dan YB ADUN Paya Terubong.

Saya berharap LPNPP dapat memperluaskan karnival sebegini di lokasi Perumahan Awam yang lain supaya kesemua penduduk PAKR dapat diberikan peluang untuk mendapatkan pendedahan yang sama.

Saya percaya lebih ramai penduduk PAKR dapat menikmati faedah dari penganjuran karnival sebegini bagi memastikan objektif karnival ini tercapai.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Go Cashless Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR). Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang