MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM KEJOHANAN BOLA KERANJANG PIALA LOVEPENANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN
PROGRAM KEJOHANAN BOLA KERANJANG
PIALA LOVEPENANG
28 OGOS 2022
Yang Berhormat Soon Lip Chee,
EXCO Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal
Yang Berusaha Dato' Ooi Khoon Yeong,
Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Harry Chai Heng Hua,
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Encik Ching Swee Hong
Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Seberang Perai Selatan
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen;
Barisan media,
Yang berbahagia Tuan-tuan dan puan-puan,
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Persatuan Bola Keranjang Cawangan Seberang Perai Selatan kerana sudi menjemput saya untuk menyempurnakan Perasmian Majlis Penutupan Program Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG.
Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG ini merupakan antara program yang diperkenalkan di bawah kempen LovePENANG yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini.
Kempen LovePENANG adalah bertujuan menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat di negeri Pulau Pinang pasca pandemik COVID-19, selepas kita semua berdepan dengan krisis kesihatan global yang cukup besar dan meninggalkan impak kepada semua aspek kehidupan serta dirasai oleh setiap lapisan umur dalam masyarakat.
Dalam tempoh dua (2) tahun pandemik COVID-19, rakyat telah melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tentu sekali ianya telah membataskan aktiviti jasmani golongan belia khususnya.
Justeru, sejajar dengan pendekatan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MSNPP telah bekerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang dan Persatuan Bola Keranjang Cawangan Seberang Perai Selatan untuk menganjurkan Kejohanan Bola Keranjang Piala LovePENANG ini sebagai salah satu program untuk mengekalkan gaya hidup seimbang masyarakat dari segi jasmani, emosi, rohani dan juga intelek.
Selain itu, acara seperti penganjuran kejohanan ini juga dapat meningkatkan prestasi bola keranjang lelaki serta perempuan yang mana sekaligus mencungkil bakat-bakat baru di negeri Pulau Pinang.
Diharapkan dengan ini, atlet-atlet yang dilahirkan dapat mewakili negeri mahupun negara di tahap antarabangsa suatu hari kelak.
Hadirin sekalian,
Kejohanan yang berlangsung selama empat (4) hari ini telah menyaksikan 35 pasukan berentap bagi merebut gelaran juara kejohanan sekaligus memenangi wang tunai dan trofi.
Kerajaan Negeri melalui kempen LovePENANG juga telah menganjurkan beberapa acara lain seperti LovePENANG Run, Kejohanan Bola Speak Piala LovePENANG, Kejohanan Sepak Takraw Piala LovePENANG dan yang terkini, kita baru merasmikan LovePENANG e-Sports Challenge di 1st Avenue Mall semalam.
Saya berharap dengan penganjuran kejohanan sebegini, ia dapat sedikit sebanyak memberi suatu impak yang sangat berkesan kepada penglibatan orang ramai di negeri ini untuk memulakan aktiviti kesukanan dan seterusnya menjadikan ia sebagai satu budaya hidup harian.
Saudara dan Saudari sekalian,
Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur yang telah membantu dalam memastikan majlis pada malam ini dapat berjalan dengan lancarnya.
Malah, tahniah juga kepada semua pemain yang terlibat dalam kejohanan ini. Kepada yang menang, syabas!, manakala kepada yang kurang berjaya, jangan cepat berputus asa, sesungguhnya jadikan kekalahan hari ini sebagai titik permulaan ke arah kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Akhir kata, semoga inisiatif Kerajaan Negeri ini dapat membantu menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.
Sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini.
Sekian, terima kasih.