MAJLIS PERASMIAN NAMA JALAN M. KUPPAN DAN PAPAN TANDA ❤️PENANG DI JALAN M. KUPPAN, KAMPUNG JAWA BUTTERWORTH, DUN BAGAN DALAM

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN NAMA JALAN

M. KUPPAN DAN PAPAN TANDA ❤️PENANG DI JALAN M. KUPPAN,

KAMPUNG JAWA BUTTERWORTH,

DUN BAGAN DALAM


YB Lim Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan

YB Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

YB M. Satees

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam

Yang Berbahagia Dato’ Azhar Arshad

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai

Yang Berusaha Encik Zulkifli Rashid

Pegawai Daerah, Daerah Seberang Perai Utara

Encik K. Siva Prakesh dan keluarga

Anak serta ahli-ahli keluarga kepada mendiang Dato’ M. Kuppan

Hadirin-hadirat, Tuan-tuan dan Puan-puan serta barisan media sekalian,

Selamat pagi, Salam Harapan dan Salam ❤️PENANG.

Kita semua berada di sini pada pagi ini untuk meraikan seorang lagenda bola sepak negara yang merupakan anak jati negeri Pulau Pinang.

Terkenal dengan jolokan ‘Jetboots’ atau ‘Harimau Bintang Pulau Pinang’, mendiang Dato’ M. Kuppan bukan hanya seorang pemain bola sepak yang disegani tetapi juga seorang jurulatih yang amat disenangi ramai.  

Sepanjang kerjayanya, mendiang telah membantu skuad Pulau Pinang memenangi Piala HMS Malaya pada tahun 1958 dan juga Kejohanan Pesta Bola Merdeka pada peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu, mendiang Dato’ M. Kuppan yang memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah bermain selama 10 musim untuk pasukan negeri termasuk sebagai kapten mulai tahun 1962 dan bersara pada 1967.


Detik-detik ini merupakan saat bersejarah buat negara dan juga Pulau Pinang, justeru, sebagai menghargai jasa beliau dalam arena bola speak, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk menamakan semula Jalan Jiran 1 kepada Jalan M. Kuppan.

Hadirin sekalian,

Lokasi pertukaran jalan yang dicadangkan merupakan laluan sedia ada sepanjang 150 meter di antara Jalan Heap Seng Whatt dengan Jalan Bagan Baru 1 di kawasan Butterworth.

Saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap menerusi pengiktirafan ini, nama mendiang akan terus mekar dalam arena sukan bola sepak negara terutamanya generasi muda kini.

Menyingkap dengan lebih lanjut mengenai latar belakang Dato’ M. Kuppan, mendiang mewakili pasukan negara selama lapan (8) tahun iaitu sejak 1958. Sepanjang tempoh tersebut, beliau antaranya telah membantu pasukan Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEAP Rangoon pada tahun 1961.

Karier kejurulatihan mendiang bersama-sama pasukan kebangsaan mula bersinar apabila berkongsi Piala Raja Thai pada tahun 1976 dan 1977; Pestabola Merdeka pada tahun 1976 dan Sukan SEA Kuala Lumpur setahun selepas itu.

Malah, beliau juga mengemudi pasukan negara mengharungi kejohanan peringkat Kumpulan 1 Zon Asia Kelayakan Piala Dunia pada tahun 1977 di Singapura.

Saudara dan Saudari sekalian,

Saya berasa gembira dan syukur dapat bersama-sama anak, cucu-cucu serta keluarga mendiang Dato’ M. Kuppan bagi menyaksikan saat bersejarah pada pagi yang berbahagia ini.

Walaupun tidak seberapa, adalah diharapkan inisiatif ikhlas daripada Kerajaan Negeri ini dapat membalas segala pengorbanan yang dicurahkan oleh mendiang dalam mewarnai arena bola sepak negeri serta negara.

Sekalung penghargaan juga kepada Yang Berhormat Bagan Dalam, Saudara Satees yang telah mencadangkan inisiatif yang penuh bermakna ini dan memasukkan ke dalam Siri Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Bagan hari ini.

Secara jujurnya, ia adalah bertepatan dengan intipati program yang mana kita mendekati dan juga mendengar suara-suara rakyat demi menghargai mereka yang telah berjasa kepada negeri sejajar dengan pembangunan serta kebaikan bersama.

Parlimen Bagan merupakan Parlimen ke-11 yang telah saya kunjungi, dan adalah diharapkan seluruh rakyat Pulau Pinang dapat bangkit semula bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutamanya dalam mendepani impak pasca pandemik COVID-19. Kita ❤️PENANG!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang