MAJLIS PENYERAHAN BENDERA NEGERI PULAU PINANG KEPADA KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG KE SUKAN MALAYSIA (SUKMA) XX, MSN 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN BENDERA NEGERI PULAU PINANG KEPADA
KONTINJEN NEGERI PULAU PINANG
KE SUKAN MALAYSIA (SUKMA) XX, MSN 2022
5 SEPTEMBER 2022 (8.30 PAGI)
KEM WHITE RESORT, BALIK PULAU
YB Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan
Para Atlet SUKMA
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam LovePENANG.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) yang telah mengatur Majlis Penyerahan Bendera Negeri Pulau Pinang kepada Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 pada pagi yang berbahagia ini.
Sesungguhnya acara pada pagi ini merupakan satu majlis simbolik yang cukup penting dan bermakna sebelum Kontinjen Negeri kita turun ke gelanggang pertarungan di temasya SUKMA yang akan berlangsung secara rasminya pada 16 September 2022 ini.
Saya pasti para atlet dan pasukan masing-masing kini sedang melaksanakan persiapan terakhir, dan saya cukup gembira dengan inisiatif dan usaha berterusan yang dilaksanakan, termasuklah penganjuran Kem Fasa Akhir SUKMA Kontinjen Negeri Pulau Pinang yang telahpun berlangsung sejak hari Sabtu di Kem White Resort, Balik Pulau ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selari dengan semangat cintakan negeri di bawah kempen LovePENANG, Kontinjen Negeri Pulau Pinang yang akan diwakili oleh anda semua – para atlet negeri, jurulatih, pengurus pasukan, pihak urusetia dan sekretariat, bukan sahaja akan panji negeri Pulau Pinang semata-mata, tetapi juga membawa impian dan semangat seluruh rakyat negeri ini.
Saya pasti setiap persaingan di medan pertandingan nanti akan sengit, namun harus diingatkan bahawa semangat dan nilai-nilai murni seorang anak Pulau Pinang perlu sentiasa dipelihara supaya nama dan bendera negeri tercinta kita akan dikibarkan dengan penuh kebanggaan.
Bagi memastikan Kontinjen Negeri Pulau Pinang diberikan sokongan sepenuhnya dan diurus dengan baik, sukacita saya ingin umumkan bahawa Kontinjen Negeri Pulau Pinang SUKMA Ke-20, MSN 2022 ini akan dipimpin oleh Exco Belia dan Sukan, YB Soon Lip Chee yang telah dilantik selaku Chef-De-Mission (CDM).
Saya yakin YB Soon Lip Chee, dengan sokongan pentadbiran daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), pastinya akan memberikan yang terbaik agar anda semua dijaga, dipantau dan disokong sepenuhnya sepanjang tempoh berlangsungnya SUKMA nanti.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sepertimana yang telah dimaklumkan oleh YB Soon Lip Chee sebentar tadi, sasaran kemenangan pingat yang menjadi buruan Kontinjen Negeri Pulau Pinang pada edisi SUKMA Ke-20, MSN 2022 ini adalah sebanyak 26 Pingat Emas, 20 Pingat Perak dan 44 Pingat Gangsa.
Saya yakin ini adalah satu sasaran yang penuh realistik berdasarkan pertimbangan dan prestasi para atlet negeri dan saya yakin Kontinjen Pulau Pinang mampu merealiasikan sasaran ini!
Untuk menghangatkan lagi semangat perjuangan Kontinjen Negeri Pulau Pinang dan tanda komitmen Kerajaan Negeri, insentif kemenangan di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, atau lebih dikenali sebagai SKIMAS akan menanti para pemenang pingat, sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Kadar insentif yang ditawarkan adalah seperti berikut:
Bagi acara individu atau perseorangan:
RM4,000.00 bagi Pingat Emas
RM2,500.00 bagi Pingat Perak
RM1,500.00 bagi Pingat Gangsa
Bagi acara bergu:
RM2,000.00 seorang bagi Pingat Emas
RM1,250.00 seorang bagi Pingat Perak
RM750.00 seorang bagi Pingat Gangsa
Bagi acara berpasukan 5 orang dan ke bawah:
RM1,200.00 seorang bagi Pingat Emas
RM900.00 seorang bagi Pingat Perak
RM700.00 seorang bagi Pingat Gangsa
Bagi acara berpasukan 6 orang dan ke atas:
RM700.00 seorang bagi Pingat Emas
RM500.00 seorang bagi Pingat Perak
RM300.00 seorang bagi Pingat Gangsa
Bagi mereka yang berjaya mencatatkan rekod kebangsaan, insentif sebanyak RM1,000.00 juga diperuntukkan manakala RM500.00 bagi mereka yang mencatatkan rekod Sukan Malaysia.
Adalah diharapkan dengan adanya insentif ini, ianya akan membakar semangat para atlet untuk mengekalkan momentum dan semangat kesukanan masing-masing, sekaligus mendorong setiap atlet untuk gigih berusaha agar sasaran tersebut dapat dicapai secara bersama.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan selamat berjuang kepada Kontinjen Negeri Pulau Pinang khususnya kepada para atlet negeri.
Saya percaya, dengan adanya semangat perjuangan yang membara dan kekuatan mental yang kental, pastinya titik peluh dari segala latihan yang telah dilaksanakan akan memberi hasil dan buahnya.
Apa jua pun keputusan semasa di SUKMA nanti, sentiasa kekalkan semangat kesukanan dan mengharumkan nama baik negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.