MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENGUKUHAN BEKALAN ELEKTRIK MELALUI SAMBUNGTARA TALIAN ATAS DI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENGUKUHAN
BEKALAN ELEKTRIK MELALUI SAMBUNGTARA TALIAN ATAS
DI PULAU PINANG
15 SEPTEMBER 2022
HOTEL THE LIGHT, SEBERANG JAYA
YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulai Pinang
YB Zairil Khir Johari
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan
YB Ahli-Ahli Parlimen & Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Indera Ir. Baharin bin Din
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Barisan Pengurusan Tertinggi, Tenaga Nasional Berhad (TNB)
Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato’ Indera Ir. Baharin bin Din atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan majlis penting pada hari ini.
Ucapan terima kasih juga tidak dilupakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di bawah kepimpinan, YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan atas jalinan kerjasama yang cukup baik ini sehingga membolehkan sebuah projek yang amat kritikal ini dapat dirancang dengan jayanya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas ini merupakan sebuah projek yang sangat dinanti-nantikan dan sudah tentunya melakar sejarah yang tersendiri untuk negeri ini.
Dengan anggaran kos yang bakal dibelanjakan lebih RM500 juta, projek berimpak tinggi yang bermutu yang akan terletak bersebelahan dengan Jambatan Pulau Pinang nanti turut dilengkapi dengan lampu hiasan estatik, sekaligus nanti bakal menjadi satu lagi mercu tanda ikonik kebanggaan dan daya tarikan baharu untuk negeri ini.
Sebuah talian atas penghantaran monopole dengan rekaan unik sepanjang 8.5 kilometer (km) akan dibina dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di bahagian pulau negeri, menjadikan projek talian atas monopole ini yang kedua dilaksanakan selepas negeri Melaka.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi Kerajaan Negeri, kejayaan projek ini sudah tentunya akan menyokong dan merancakkan lagi pembangunan negeri ini secara keseluruhannya, selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang telah digariskan secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh.
Kita boleh merancang dengan teliti dan menyusun strategi untuk projek-projek gergasi, namun ia tidak boleh dicapai tanpa bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil.
Sebab itulah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat bersetuju dan memberikan sokongan yang sepenuhnya bagi menjayakan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas ini, yang memberi jaminan bekalan elektrik diperlukan di seluruh negeri, khususnya di bahagian pulau.
Sebentar tadi ada dimaklumkan bahawa talian penghantaran atas ini mempunyai kapasiti tenaga elektrik jauh lebih tinggi iaitu sehingga 2,000MW berbanding kapasiti dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut yang sedia ada.
Saya difahamkan bahawa lebih 2,000MW adalah kapasiti tenaga yang diperlukan bagi sesebuah negeri maju, sekiranya Pulau Pinang mahu membangun dengan kadar lebih pesat lagi daripada prestasinya sekarang.
Ini sangat penting untuk bekalan elektrik di Pulau Pinang pada masa depan, memandangkan ketiga-tiga talian penghantaran bekalan sedia ada, sudah berusia di antara 20 hingga 38 tahun, dan tentunya memerlukan kos yang tinggi bagi tujuan penyelenggaraan dan sebagainya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif TNB memodenkan Grid Nasional menjadi grid pintar yang stabil serta berdaya harap dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara, dengan aspirasi mengurangkan intensiti pelepasan karbon kepada sifar bersih menjelang tahun 2050.
Disebutkan tadi bahawa Pelan Peralihan Tenaga Negara akan bertanggungjawab membawa pertumbuhan perniagaan yang positif dengan peralihan besar kepada Tenaga Boleh Baharu (RE) dan teknologi hijau.
Ini tentunya memenuhi komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menjadi tuntutan global masa kini.
Isu menangani perubahan iklim menjadi agenda penting dunia, ditambah pula dengan krisis sumber bahan api kebelakangan ini, mendorong peralihan kepada tenaga bersih dan mampan menjadi matlamat strategik syarikat-syarikat global dan tidak terkecuali di negeri ini.
Suka saya menyatakan bahawa inisiatif ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang giat melestarikan dan memanfaatkan perkembangan teknologi terkini ke arah mewujudkan persekitaran bersih, hijau dan sihat.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri berharap agar TNB dan pihak kontraktor yang melaksanakan projek ini, akan mematuhi segala peraturan bagi meminimumkan kesan kepada ekologi dan alam sekitar.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam merealisasikan projek ini.
Besarlah harapan saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang agar apabila projek ini siap kelak, dapat membantu merancakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan negeri ini terutama ketika mendepani fasa peralihan ke endemik ini.
Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya melancarkan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.