MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

 

16 SEPTEMBER 2022 | JUMAAT

VTECH, BATU KAWAN

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor

Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri dan

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

 

Yang Berhormat Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri & Parlimen

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral & Konsul-Konsul Kehormat

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertamanya, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk berkumpul bagi bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada hari yang berbahagia ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang (JAPEN) serta semua Jabatan/Agensi Persekutuan serta Negeri yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

 

 

Sepertimana yang semua sedia maklum, hari ini 16 September merupakan tarikh keramat yang diraikan bersempena sejarah pembentukan Malaysia daripada gabungan Malaya (Semenanjung) bersama Sabah dan Sarawak.


Justeru, bagi menyemarak dan menyebarkan aura kemeriahannya, kita di peringkat negeri juga tidak ketinggalan untuk meraikan hari bersejarah ini dengan pengisian kita yang tersendiri.

Tarikh keramat ini lazimnya diraikan sebagai hari kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan yang telah dilancarkan di peringkat negeri pada 8 Ogos lalu. Pelbagai program dijalankan termasuk Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-62 Peringkat Negeri pada 31 Ogos lalu di Padang Kota Lama yang cukup meriah sekali.

Saya dimaklumkan bahawa hampir 20,000 umum telah membanjiri Padang Kota Lama iaitu satu angka yang cukup mengagumkan, setelah dua (2) tahun kita semua sepi daripada meraikan acara ini berikutan pandemik COVID-19.

Mengimbas kembali detik sambutan tersebut, sebanyak 84 kontinjen berjalan kaki dan 26 kontinjen berkenderaan dari pelbagai agensi di seluruh Negeri Pulau Pinang telah mengambil bahagian, dengan keanggotaan keseluruhan adalah seramai 5,699 orang.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para kontinjen dan semua yang terlibat atas komitmen serta sokongan yang telah diberikan ini. Syabas dan tahniah kepada semua!

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Sebentar nanti akan diumumkan para pemenang yang telah dinilai sempena acara Perbarisan dan Perarakan mengikut kategori yang dipertandingkan.

 

Di sini suka untuk saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk meningkatkan nilai hadiah bagi para pemenang perbarisan bagi tahun ini iaitu pasukan yang menjadi juara akan menerima RM3,000.00 berbanding RM1,000.00 sebelumnya; tempat kedua pula adalah berjumlah RM2,000.00 berbanding RM750.00 manakala tempat ketiga sebanyak RM1,000.00 berbanding RM500.00 sebelum ini.

Adalah diharapkan dengan peningkatan insentif ini, ia dapat menyuntik lagi semangat semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara serta kategori yang dipertandingkan.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan yang turut sudi hadir bagi memeriahkan majlis pada pagi ini.

Semoga majlis ini memberikan signifikasi yang mendalam kepada kita semua terutamanya dalam meraikan keunikan rakyat Malaysia yang dapat hidup dengan penuh toleransi, muhibah serta harmoni di bumi bertuah dan tercinta ini.

Selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua. Sekian, terima kasih.

 

HariMalaysia

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang