MAJLIS PERASMIAN ARTS IN THE PARK 2.0 KADUN SERI DELIMA

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

ARTS IN THE PARK 2.0 KADUN SERI DELIMA

 

17 SEPTEMBER 2022

Taman Kejiranan Karpal Singh

 

YB SYERLEENA ABDUL RASHID
ADUN SERI DELIMA

YB RAMKARPAL SINGH
AHLI PARLIMEN BUKIT GELUGOR

PROFESOR MADYA DR. HASNUL JAMAL BIN SAIDON
PENGARAH MUZIUM & GALERI TUANKU FAUZIAH, USM

GWEE SAI LING
PENGURUS BESAR PYDC

 

ENCIK TEH LIANG TEIK

PENGERUSI MPKK ISLAND GLADES

BARISAN MPKK

 

RAKAN-RAKAN MEDIA

 

TUAN – TUAN DAN PUAN – PUAN

 

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Seri Delima, YB Syerlena dan pasukannya atas jemputan sempena  Majlis Perasmian Arts In The Park 2.0 KADUN Seri Delima pada petang yang berbahagia ini.

Syabas dan tahniah juga kepada YB Syerlena dan pasukannya yang sangat kreatif dalam memperkenalkan konsep sebegini yang cukup menarik, sekaligus menggalakkan penyertaan dan penglibatan pelbagai peringkat masyarakat terutama di kawasan ini.

Selepas penganjuran buat pertama kalinya pada 2 Julai yang lalu mendapat sambutan yang menggalakkan,  hari ini projek Arts In The Park (AITP) Versi Ke-2 kembali lagi selepas mendapat permintaan yang tinggi dari para penduduk di Seri Delima.

Sepertimana yang semua sedia maklum, projek Arts In The Park (AITP) ini merupakan sebuah program karnival seni dengan pelbagai persembahan yang menarik telah diatur seperti “Busking Drum Circle”, “Open Wall Canvas”, “Batik Making” dan bermacam lagi.

Dengan kerjasama daripada Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), saya pasti projek Arts in The Park 2.0 berada dalam kelas yang tersendiri.

AITP membawa konsep seni budaya dalam taman yang mana persembahan-persembahan alat muzik tradisional yang dikenali sebagai “kebun bunyi” akan dipamerkan sebagai galakan kepada masyarakat umum untuk mengetahui cara penggunaan dan fungsi alat musik tradisional tersebut.

Program ini juga akan melibatkan karya seni lukis di mana para pengunjung akan dibekalkan dengan canvas putih dan bebas untuk menghasilkan lukisan dan corak mereka pada canvas tersebut. Para pengunjung dapat mengambil kesempatan ini untuk mengekspresikan kesenian dan kreativiti mereka kepada umum.

Konsep lukis bebas ini adalah bertujuan untuk membantu menyemarakkan karya seni lukis dengan memupuk minat untuk berkarya dalam kalangan orang ramai.

Bagi sesi “batik making”, para pengunjung berpeluang untuk menambah pengetahuan mengenai kraftangan di samping mempelajari teknik penghasilan batik daripada pihak MGTF. Di sini juga pengunjung juga boleh menghasilkan produk batik mereka sendiri dan menjadikannya buah tangan istimewa untuk dibawa pulang.

Akhir kata, saya berharap semoga semua pengunjung pada hari ini dapat menikmati suasana indah ini dan merebut peluang yang ada untuk mencuba kelainan yang ditawarkan dalam projek ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang