MAJLIS PELANCARAN SKIM PINJAMAN HARAPAN (SPH) 2.0
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
OLEH YAB CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN
SKIM PINJAMAN HARAPAN (SPH) 2.0
28 OKTOBER 2022
ATRIUM PDC
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Aziz bin Bakar
Ketua Pegawai Eksekutif PDC
Ahli-ahli Lembaga PDC
Pihak Pengurusan PDC
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas kesempatan untuk bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Harapan (SPH) 2.0 yang telah diatur pada pagi yang berbahagia ini.
Sepertimana yang semua sedia maklum, Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang pada asalnya dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR), dan berfungsi sebagai medium untuk membantu para peniaga dan penjaja kecil Pulau Pinang melalui sistem penyaluran modal yang mudah.
Melalui saluran dan syarat yang telah ditetapkan, mereka yang layak ini berpeluang untuk menerima tawaran modal tambahan yang amat berguna untuk memperkukuhkan keupayaan pengurusan perniagaan masing-masing.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sejak penubuhan SPH pada tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memperuntukkan dana sebanyak RM11.0 juta untuk pelaksanaan skim ini, dan sehingga 7 Oktober 2022, sejumlah RM22,312,630.40 diagihkan dan telah memberi manfaat kepada 3,840 orang peminjam di semua daerah di Pulau Pinang dan dana terkumpul SPH adalah masih berbaki RM6,318,520.83.
Berbekalkan respon yang baik dan semangat cintakan negeri melalui kempen LovePENANG sebagai instrumen membantu antara satu sama lain dalam era pasca pandemik, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk meneruskan inisiatif Skim Pinjaman Harapan (SPH) 2.0 yang sememangnya amat dinanti-nantikan ini dan menerima permintaan yang tinggi ini.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDC di atas inisiatif yang telah diambil untuk menambahbaik SPH daripada secara berperingkat mengikut skim bermula RM3,000.00 ke RM25,000.00 kepada dua (2) skim pinjaman yang telah ditingkatkan jumlah pinjaman daripada RM5,000.00 ke RM50,000.00.
Dengan penambahbaikan ini diharapkan ianya dapat membantu usahawan-usahawan di Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman dengan jumlah yang lebih tinggi sekaligus dapat membantu mereka dalam mengembangkan perniagaan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya dimaklumkan bahawa untuk peringkat pertama ini, seramai 12 orang peminjam Skim Pinjaman Harapan (SPH) akan menerima pinjaman mereka pada hari ini dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan sebanyak RM235,000.00
Diharapkan agar semua penerima pinjaman SPH dapat menguruskan wang pinjaman dengan baik sebagai modal pusingan serta memberikan kerjasama kepada pihak PDC untuk membuat bayaran balik pinjaman tepat pada masanya dengan mematuhi jadual bayaran yang telah ditetapkan agar peminjam lain akan terus dapat menikmati kemudahan ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi mencapai misi dan visi Kerajaan Negeri dalam membantu lebih ramai usahawan Pulau Pinang, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan dapat memainkan peranan untuk bersama-sama dengan PDC dalam mempromosikan SPH kepada saudara mara serta rakan-rakan tuan-tuan dan puan-puan untuk membantu lebih ramai usahawan dalam memperkembangkan perniagaan masing-masing.
Akhir kata, saya menaruh harapan yang tinggi kepada semua agar dapat memanfaatkan pinjaman ini dengan sebaik mungkin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menambahkan pendapatan, wang simpanan dan menambahbaik perniagaan anda bagi meningkatkan kesejahteraan hidup.
Marilah kita bersama-sama memberi komitmen dan menanam tekad untuk terus berjaya dan mengecapi pembangunan Pulau Pinang secara bersama.
Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Harapan (SPH) 2.0.
Sekian, terima kasih.