PROGRAM GUNTING RAMBUT 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PROGRAM GUNTING RAMBUT 2022
30 OKTOBER 2022
KOMPLEKS FLAT JALAN KEDAH
Encik Lau Keng Ee
Pengarah Pejabat Ahli Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota
Encik Mak Tong Lee
Pengerusi MPKK Jalan Transfer/Jalan Argyll
Encik Mohammed Ramlan Bin Mohamed Rowther
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Kompleks Flat Jalan Kedah
Mr Phang Wei Lik
Pengarah H.I Signature Salon Academy
Tan Mei Cia
Pengarah H.I Signature Salon Academy
Barisan kepimpinan dan ahli MPKK Jalan Transfer/Jalan Argyll, Pejabat Ahli Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota serta Perbadanan Pengurusan Kompleks Flat Jalan Kedah
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MPKK Jalan Transfer/ Jalan Argyll atas penganjuran Program Gunting Rambut 2022 pada pagi yang berbahagia ini.
Syabas dan tahniah juga kepada kakitangan di pejabat saya iaitu Pejabat Ahli Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota, Perbadanan Pengurusan Kompleks Flat Jalan Kedah dan yang paling penting barisan sukarelawan penggaya rambut dari H.I Signature Salon Academy atas kolaborasi yang cukup baik ini.
Saya gembira untuk turut serta sebagai tanda sokongan kepada gerak kerja dan khidmat bakti daripada anda semua dalam mendekati masyarakat setempat melalui acara gunting rambut secara percuma yang diadakan ini.
Walaupun usaha ini tidak seperti kebanyakan program dan sumbangan kebajikan yang lebih tertumpu kepada barangan bakul makanan dan kewangan, tetapi saya percaya usaha kecil ini masih mendapat sambutan dan mampu memberikan impak yang besar kepada kumpulan sasaran.
Menyedari kos sara hidup yang semakin tinggi, sudah semestinya ada dalam kalangan masyarakat terutamanya keluarga yang memiliki jumlah ahli yang ramai tidak mampu untuk mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan khidmat gunting rambut pada setiap bulan.
Saya difahamkan seramai hampir 20 – 30 sukarelawan dari H.I Signature Salon Academy telah bersedia untuk memberikan khidmat gunting rambut secara percuma ini.
Justeru, saya berharap platform yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam aspek meringankan bebanan kewangan golongan masyarakat, terutamanya ibu bapa, selain mempromosikan penjagaan kebersihan diri yang lebih baik kepada golongan masyarakat dan juga membina komuniti yang sihat dan selamat.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang telah menjayakan program ini. Diharapkan jalinan kerjasama ini tidak berhenti setakat ini sahaja tetapi sebaliknya dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.
Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Gunting Rambut 2022.
Sekian, terima kasih.