SESI PERTEMUAN DENGAN PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO) BELIA PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW
SEMPENA SESI PERTEMUAN
DENGAN PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO) BELIA PULAU PINANG
13 NOVEMBER 2022 | 2.30 PETANG |
YB Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan
Dr Gwee Sai Ling
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)
Tuan Mohd Hafiz Ali bin Mohd Anuar
Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang
Tuan Leon Lee
Pengerusi Perniagaan Tionghua Pulau Pinang
Wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan Belia
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang yang telah mengambil inisiatif secara aktif untuk menganjurkan sesi pertemuan bersama dengan 42 pertubuhan bukan kerajaan belia Pulau Pinang pada petang ini.
Sesungguhnya sesi pertemuan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja dapat membuka peluang untuk kita merapatkan hubungan sebaliknya ia turut membantu dalam mengukuhkan hubungan dua hala yang lebih baik antara pemimpin dan para perwakilan.
Di Pulau Pinang, agenda pembangunan belia sentiasa diberi perhatian yang cukup tinggi. Melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PDYC) yang telah ditubuhkan sejak tahun 2012, pelbagai strategi dan perancangan dirangka bagi mendidik, membangun dan memperkasakan para belia kita ke arah pembangunan holistik.
Sebagaimana yang selalu ditekankan, para belia merupakan tonggak dan penentu masa depan negara. Sama ada di peringkat negeri mahupun negara, kepimpinan yang ada perlu menangani segala krisis dan isu berbangkit y secara teliti dan menyeluruh.
Justeru, pembentangan hari ini akan mempamerkan penyelesaian, komitmen dan ikrar yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu yang dihadapi oleh belia.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selain pembentangan oleh saya dan pihak PYDC, sesi pertemuan ini juga bertujuan memberi peluang bagi golongan belia untuk menyuarakan pelbagai perkara dan idea bernas untuk kebaikan bersama.
Saya amat menghargai sebarang maklum balas daripada para hadirin nanti sewaktu sesi soalan dan jawapan. Perkara ini penting kerana keterlibatan belia dalam proses ini dapat menjamin kelestarian inisiatif tersebut.
Saya berharap hasil pertemuan ini dapat merangsang penglibatan golongan belia dalam aktiviti pembangunan negeri dan negara secara menyeluruh.
Untuk makluman semua, saya telah melancarkan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Bagi menjayakan kesemua empat (4) tema dan 16 strategik di bawah misi ini, saya memerlukan penglibatan dan penyertaan daripada anda semua.
Dengan itu, saya ingin ambil kesempatan ini untuk meneruskan pembentangan saya berkenaan Visi Penang2030.