MAJLIS PERASMIAN GALERI SUKAN NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN GALERI SUKAN

NEGERI PULAU PINANG

 

26 NOVEMBER 2022 | 2.00 PETANG

KOMPLEKS SUKAN & REKREASI SONY,

SEBERANG JAYA

 

Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Puan Zabidah binti Safar

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Encik Harry Chai Heng Hua

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Tuan Zul Kahar bin Khamis

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Tuan Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid

Setiausaha Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Para Atlet dan Bekas Atlet Negeri dan Negara

Ahli-Ahli Persatuan Sukan Negeri Pulau Pinang

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Hadirin Sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Hari ini kita semua berkumpul di Kompleks Sukan & Rekreasi Sony, Seberang Jaya di sini untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Perasmian Galeri Sukan yang pertama di negeri kita.

Sebagai sebuah negeri “powerhouse” dalam arena sukan, sudah tentunya Pulau Pinang mempunyai warisan dan sejarah sukan yang cukup dinamik dan menarik sekali untuk dikenang dan dihayati secara bersama.

Kelahiran atlet-atlet negeri bertaraf antarabangsa seperti Dato’ Wira Lee Chong Wei, Dato’ Nicol Ann David, Dato’ Zaiton Othman serta ramai lagi tokoh sukan yang telah menyumbang kejayaan besar dalam arena sukan masing-masing adalah sesuatu yang sangat membanggakan dan seharusnya menjadi pencetus inspirasi terutama kepada para pelapis baharu dalam meraih kejayaan.

Kerajaan Negeri menyambut baik ketika cadangan dikemukakan oleh EXCO Belia dan Sukan, YB Soon Lip Chee bagi mewujudkan sebuah Galeri Sukan Negeri dengan objektif untuk menyediakan satu ruangan khas untuk mempamerkan sejarah sukan kepada masyarakat umum, selain sebagai sebuah platform untuk menghargai segala pencapaian para atlet yang telah mengharumkan nama negeri dan negara.

Ini adalah kerana ia secara tidak langsung merupakan satu tanda kebanggaan bagi seluruh rakyat negeri Pulau Pinang kerana galeri sukan ini merupakan yang pertama diwujudkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Untuk makluman semua, pada asalnya Dewan Sukan & Rekreasi Sony ini adalah di bawah pengurusan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Negeri Pulau Pinang dan ianya telah diserahkan kepada pihak MSNPP pada 1 Jun 2022 untuk mengendalikan Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang ini.

Dengan kos pengubahsuaian dan naik taraf sebanyak RM200,000.00, galeri ini telah diubahsuai dengan konsep untuk memastikan ia adalah family-friendly di mana terdapat ruang untuk kanak-kanak menikmati suasana galeri ini.

Antara keistimewaan galeri ini adalah segmen pameran peralatan sukan, piala-piala serta pingat-pingat kemenangan yang disumbangkan oleh para atlet seperti Dato’ Wira Lee Chong Wei (raket badminton, jersi dan piala) dan Dato’ Nicol Ann David (raket skuasy beserta dengan gambar), selain pelbagai maklumat berkaitan pencapaian ikon-ikon atlet ini.

Bagi mereka yang berminat untuk melawat Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang ini, ia dibuka secara percuma kepada masyarakat umum yang berminat dan ianya adalah melalui sistem tempahan yang boleh diakses melalui laman web MSNPP.

Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penglibatan dan penyertaan daripada semua khususnya daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dengan harapan ianya dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda ini.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif yang cukup bernilai tinggi ini.

Saya berharap galeri sukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua, sekaligus menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan para atlet negeri kita ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang