MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH GREEN PINANG TAHUN 2022

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN

ANUGERAH GREEN PINANG TAHUN 2022

25 NOVEMBER 2022

LOFT 29, GAT LEBUH GEREJA

 

YB Prof. Dr P. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri II
EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains & Teknologi

YB. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

 

Puan Josephine Tan Mei Ling
Pengurus Besar Penang Green Council

 

YBhg. Dato-Dato

 

YBhg. Ketua-ketua Jabatan dan Wakil

 

YBhg. Ahli-ahli Lembaga Pengarah Penang Green Council

 

Rakan-rakan Media

 

Tuan-tuan, Puan-puan dan para hadirin sekalian

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa Penang Green Council (PGC) atas jemputan sempena Majlis Anugerah Green Pinang Tahun 2022 pada petang yang berbahagia ini.

Sesungguhnya saya amat gembira dapat bersama dengan anda semua yang telah mengambil bahagian sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam aktiviti-aktiviti kelestarian hijau negeri ini.

Walaupun kita tidak dapat meraikan pencapaian anda selama berada dalam tempoh pandemik yang lepas, tetapi  ketahuilah bahawa segala komitmen, usaha serta titik peluh anda ini sangatlah bermakna dan amat dihargai.  

Hadirin yang dihormati sekalian,

Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang Tahun 2022 malam ini adalah kesinambungan daripada acara Fuyoh! anjuran PGC pada bulan Jun yang lalu bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dengan tema Once Upon A Time yang telah membawa kita semua berada dalam kapsul masa sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu daripada masa lalu, merenung masa kini dan membayangkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Melalui majlis ini yang telah memasuki tahun kesembilan penganjuran, kita meraikan seramai 32 pemenang daripada dua (2) anugerah utama yang dianjurkan oleh PGC iaitu Anugerah Pejabat Hijau dan Anugerah Kewartawanan Hijau.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada anda semua termasuk pengiktirafan kepada enam (6) orang rakan media yang telah mengambil bahagian dalam platform masing-masing untuk  membangkitan kesedaran awam berkaitan alam sekitar yang kita cintai ini.

Kepada rakan-rakan media yang telah memenangi anugerah pada malam ini, saya amat berterima kasih kepada anda semua yang telah mewakili suara kita sebagai medium untuk bersama menangani krisis iklim yang berlaku hari ini.

Sesungguhnya, tugas dan tanggungjawab yang besar ini tidak hanya dipikul orang kelompok tertentu sahaja, tetapi sebaliknya ia perlu dipikul oleh setiap daripada kita agar bumi yang kita ada sekarang dipelihara dan dihargai dengan sebaiknya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan hasrat Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri melalui PGC juga telah melancarkan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang (Penang Green Agenda 2030) yang kini berada dalam status pelaksanaan.

Malah, pelbagai inisiatif dan program telah dilancarkan di bawah Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang (PGA2030) dan antara projek utama yang telah diperkenalkan merupakan Unit Pengurusan Bencana (UPB) di peringkat negeri bagi menjalankan penyelidikan dan pengumpulan data sebagai persediaan untuk menghadapi risiko bencana, Penang Renewable Energy & Energy Efficiency Taskforce (PREET) yang ditubuhkan bagi memberi penumpuan dalam menggubal dasar dan pelaksanaan tenaga diperbaharui serta kecekapan tenaga dan Projek Penang Green Industry yang ditubuhkan bagi membantu Small and Medium-Sized Enterprises (SME) dalam memenuhi sasaran Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di samping merealisasikan impian Pulau Pinang sebagai Hub Perindustrian Hijau.

Kerajaan Negeri amat berkeyakinan PGC dapat melaksanakan tanggungjawab mereka ini dengan efisien dan jayanya.

Selain itu, saya ingin menyeru dan mengalakkan para pemain industri malam ini untuk menyokong dan menyertai Penang Green Industry yang merupakan sebuah platform untuk membentuk kerjasama melalui program perkongsian dan sokongan.

Kejayaan tidak akan datang bergolek, kejayaan tanpa usaha adalah mustahil. Hanya dengan tindakan, kita mampu untuk mencapai apa sahaja. Hari ini, saya dengan bangganya boleh mengatakan bahawa Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dalam usaha ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang hijau.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga PGC atas semangat dan dedikasi dalam memperjuangkan pendidikan alam sekitar.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang telah menjayakan majlis pada malam ini.

Semoga dengan sedikit pengiktiran ini, ia dapat membangkitkan semangat dan menyemarakkan lagi penglibatan dan penyertaan anda semua dalam kelestarian negeri yang kita cintai ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang