HARI PENJAJA DAN KOMUNITI PENIAGA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW 

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN

HARI PENJAJA DAN KOMUNITI PENIAGA

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG (MBPP)

TAHUN 2022

 

3 DISEMBER 2022

KOMPLEKS BATU LANCHANG

 

YB Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji

Ahli Parlimen Jelutong

YB Ong Ah Teong

ADUN Batu Lanchang

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Ahli Majlis-Ahli Majlis

Ketua-ketua Jabatan

Para Penjaja dan Komuniti Peniaga

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas penganjuran Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga Tahun 2022 pada petang yang berbahagia ini.

Setelah dua (2) tahun tidak dapat meraikan hari penting ini, hari ini kita bersyukur kerana diberi peluang untuk meraikan hari yang amat bermakna khusus buat para peniaga dan komuniti penjaja yang ada di negeri ini.

Saya difahamkan pelbagai atur cara menarik telah diaturkan bagi memeriahkan hari penting ini, termasuklah pertandingan mewarna, persembahan wayang kulit dan pertandingan gubahan buah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam mendepani arus kemajuan ekonomi terutama ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, kita tidak boleh nafikan peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh industri penjaja dan komuniti peniaga ini dalam membangun dan memperkasakan sosio ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya.

Meskipun ramai yang terkesan dengan impak pandemik COVID-19, namun wabak ini sebenarnya telah mengubah landskap dan corak para penjaja dan komuniti peniaga ke suatu tahap di luar jangkaan kita di mana penggunaan teknologi dan pendigitalan telah berkembang dengan pesat sekali, termasuklah pilihan pembayaran tanpa tunai.

Sama ada kita suka atau pun tidak, pengadaptasian terhadap teknologi digital ini perlu diterima dengan hati yang terbuka. Justeru, saya menyeru kepada anda semua untuk untuk peka dan meneroka serta merebut peluang yang ada ini bagi memajukan perniagaan masing-masing.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Ketika diuji dengan pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah memastikan segala kebajikan para peniaga kecil dan penjaja di negeri ini terus dipelihara di mana pelbagai usaha telah diambil oleh Kerajaan Negeri dan MBPP bagi memastikan peniaga dan penjaja dapat menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah pengecualian bayaran lesen dan sewa bagi tempoh empat (4) bulan bagi tahun 2020 dan tujuh (7) bulan bagi tahun 2021.

Saya berharap dengan bantuan yang telah dihulurkan ini, beban peniaga dan penjaja dapat diringankan sepanjang tempoh pandemik tersebut.

Saya juga dimaklumkan sepanjang tempoh lawat periksa bagi penilaian oleh kakitangan Majlis, para peniaga dan penjaja yang terlibat dalam aktiviti pengendalian makanan telah dinilai dan diberikan skor pemarkahan mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan ini mendapati ramai peniaga dan penjaja telah berusaha untuk menjaga kebersihan premis dan keselamatan makanan. Tahniah kepada anda semua!

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua 30 penjaja dan peniaga yang akan menerima penganugerahan untuk pelbagai kategori sebentar nanti.  Saya berharap kejayaan ini akan meningkatkan semangat dan mengekalkan prestasi pada masa akan datang.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada MBPP di atas inisiatif dan kesungguhan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga pada tahun ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang