MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) & SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2021 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) & SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2021 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

6 DISEMBER 2022

G HOTEL

 

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan

Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

Yang Berusaha Tuan Haji Roland@Rozaidi bin Abu Hassan

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP)

Para Pengetua dan Wakil Sekolah

Yang Diraikan Para Pelajar Cemerlang STPM & SPM Tahun 2021

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur daripada Pejabat Setiauasah Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) yang telah memastikan majlis pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.

Sepertimana yang semua sedia maklum, Majlis Anugerah seumpama ini telah pun menjadi acara tahunan Kerajaan Negeri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008.

Inisiatif ini merupakan pengiktirafan kecil Kerajaan Negeri ke atas pencapaian cemerlang para pelajar negeri ini yang telah berusaha dengan gigih dan tekun dalam mengecapi kejayaaan, tambahan lagi dalam suasana pembelajaran yang penuh cabaran akibat pandemik   COVID-19.

Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya dengan berbesar hati ingin mengalu-alukan kehadiran 82 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 231 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 yang diraikan dalam majlis yang ringkas ini.

Kepada para ibu bapa/penjaga dan guru-guru yang terlibat dalam menjadi tulang belakang selama ini, anda merupakan tonggak utama dalam membentuk sistem sokongan yang penting kepada kejayaan anak-anak ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di sebalik kesukaran yang dihadapi oleh para pelajar, guru dan ibu bapa dalam menempuhi waktu-waktu sukar tersebut, Kerajaan Negeri amat bangga apabila saban tahun kita dapat menyaksikan peningkatan positif dalam peperiksaan utama ini.

Bagi pencapaian STPM Tahun 2021, Pulau Pinang telah merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang membanggakan iaitu PNGK 2.85, mengatasi PNGK nasional (2.79) dan juga lebih tinggi daripada PNGK pada tahun 2020 (2.83).

Manakala, bagi pencapaian SPM Tahun 2021 pula, saya dimaklumkan 86.03 peratus iaitu 15,520 daripada 20,048 calon yang hadir menduduki peperiksaan SPM di Pulau Pinang layak mendapat sijil peperiksaan ini. Daripada keseluruhan calon tersebut, 231 orang pelajar telah berjaya mendapat pencapaian 7A+ dan ke atas.

Sekali lagi, tahniah dan syabas saya ucapkan.

Sepertimana kelazimannya, selain insentif tunai dan sijil penghargaan, pengiktirafan turut dipanjangkan kepada beberapa kategori pelajar terbaik (termasuk kategori pelajar istimewa (khas)) dan juga Anugerah Sekolah Terbaik. Jumlah keseluruhan peruntukan adalah berjumlah RM232,000, di mana ia akan dibayar melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT).

Anak-anak pelajar dan hadirin yang dihormati sekalian,

Ini hanyalah permulaan langkah pertama dan perjuangan ini tidak harus berhenti setakat ini. Rebut dan terokailah platform yang tersedia secara bermanfaat untuk mempersiapkan diri masing-masing untuk menjadi sebahagian pemangkin matlamat Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan Visi Penang2030.

Di Pulau Pinang, kita tidak mempunyai sumber-sumber asli untuk menjana pendapatan seperti negeri-negeri yang lain. Justeru, aspek pembangunan dan kemajuan modal insan ini sentiasa menjadi keutamaan dan menjadi antara pelaburan terpenting Kerajaan Negeri kerana generasi intelek inilah diperlukan bagi menjayakan pelbagai dasar, agenda dan pembangunan kerajaan, sekaligus memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan majlis ini.

Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk kita saling menyokong dan memperkukuhkan ilitizam serta mempertingkatkam komitmen bersama bagi menghadapi cabaran globalisasi yang semakin hebat pada masa kini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang