MAJLIS PERASMIAN BLANK CANVAS: MURAL ART @ BATU UBAN – ICONS OF PENANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BLANK CANVAS: MURAL ART @ BATU UBAN – ICONS OF PENANG

 

10 DISEMBER 2022

Tingkat 2, Sunny Point Complex

Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Kumaresan A/L Aramugam

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Uban

Dr Gwee Sai Ling

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)

Datuk Tan Hiang Joo

Timbalan Presiden Penang Chinese Chamber of Commerce (PCCC)

Puan Gan Fei Wei

Pegurus Sumber Manusia IPK College Pulau Pinang

Encik Azmi Hussin

Artis dan Pengarah ME Sketch Enterprise dan Wakil Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang

YBhg. Ketua-ketua Jabatan dan Wakil

 

Rakan-rakan Media

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang telah mengaturkan Majlis Perasmian Blank Canvas: Mural Art pada pagi yang berbahagia ini.

Dengan sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan strategik yang menyokong projek tanggungjawab sosial ini, kita telah berjaya mengubah landskap sebuah dinding yang pada asalnya kosong dan terbiar dengan sebuah mural yang begitu cantik sekali.

Tahniah dan syabas kepada PYDC atas inisiatif ini, dibantu oleh lebih 30 Sukarelawan Belia Pulau Pinang yang terdiri daripada pelajar IPK College Penang dengan bimbingan Saudara Azmi Hussin yang merupakan seorang artis mural yang tidak asing lagi di negeri ini.

Satu tepukan gemuruh kepada mereka!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana yang dimaklumkan, tempoh yang diambil untuk menyiapkan lukisan sepanjang 100 meter ini adalah selama 1 bulan melibatkan 7 panel dinding dengan setiapnya bersaiz 10 x 11 kaki, melibatkan kos perbelanjaan hampir RM22,000.00 di mana sebahagiannya ditaja oleh pejabat Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban (RM10,000) dan Penang Chinese Chamber of Commerce Young Entrepreneur Section (RM8,000.00).

Antara lukisan yang dipaparkan antaranya ialah Dato’ Lee Chong Wei, Nicol David, David Arumugam, Seniman P. Ramlee, Masjid Batu Uban dan Jambatan Pulau Pinang – yang kesemuanya adalah ikon dan cukup sinonim dengan Pulau Pinang.

Dengan keberhasilan projek ini, Kerajaan Negeri berharap inisiatif projek pengindahan di bawah PYDC ini dapat menjadi nilai tambah kepada  aspek tarikan pelancongan di negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk pembangunan dan pemerkasaan golongan belia secara holistik, kepelbagaian perancangan dan projek di bawah PYDC ini dilihat sebagai suatu kemajuan yang cukup baik.

Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengajak semua pihak berkepentingan untuk saling menyokong inisiatif ini, sebagai usaha berterusan Pulau Pinang untuk menyediakan landasan dan platform yang betul bagi membolehkan para belia mengekspresikan bakat, hasrat dan idea-idea secara kreatif dan menarik.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PYDC, para sukarelawan dan semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif “Blank Canvas” ini.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan “Blank Canvas: Mural Art @ Batu Uban - Icons of Penang”

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang