MAJLIS PENYAMPAIAN SKIM INSENTIF KECEMERLANGAN BAKAT MUDA PULAU PINANG (SIKBMPP) – BEST! ANAK PENANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN
SKIM INSENTIF KECEMERLANGAN BAKAT MUDA PULAU PINANG (SIKBMPP) – BEST! ANAK PENANG
22 DISEMBER 2022
HOTEL THE ROYALE CHULAN PENANG
YB Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan
YB Dato’ Dr Amar Pritpal bin Abdullah
ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Dr Gwee Sai Leng
Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC)
Para Penerima Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) – BEST! Anak Penang
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang telah mengatur Majlis Penyampaian Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) – BEST! Anak Penang pada malam yang berbahagia ini.
Maaf atas kelewatan kerana saya perlu menghadiri satu lagi program yang telah diatur lebih awal terlebih dahulu.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya tidak bercadang untuk berucap lama, tetapi apa yang saya mahu sampaikan adalah Pulau Pinang sayang dan amat bangga dengan anda semua.
Kita semua sedia maklum bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang dinamik bukan sahaja dari segi budaya dan industri, tetapi juga dari segi kumpulan bakat tempatan atau “local talent pool” yang sangat penting untuk menerajui kemajuan negeri secara komprehensif, bersesuaian dengan matlamat Visi Penang2030.
Inilah yang telah mendorong Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk memperkenalkan Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) – BEST! Anak Penang dengan anggaran peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai salah satu bentuk galakan positif dan platform baharu untuk mengiktiraf kejayaan para belia di negeri ini.
Sebanyak 54 permohonan telah diterima, dan 36 permohonan berjaya diluluskan. Syabas saya ucapkan kepada kumpulan pertama yang akan menerima insentif skim ini.
Sesungguhnya, kejayaan anda dalam mengharumkan nama baik negeri Pulau Pinang dengan pelbagai kejayaan (selain daripada bidang sukan), sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa secara individu mahupun berkumpulan sangatlah dihargai, dan inilah sebenarnya antara intipati penting yang mendorong Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan insentif dan skim berkaitan sebagai salah satu bentuk penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri ini.
Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan kumpulan bakat yang penuh potensi ini terus rasa dihargai dan disayangi. Kerajaan Negeri berharap dengan sedikit insentif atau imbuhan ini, ia dapat mengekalkan momentum kejayaan anda semua untuk mengorak lebih banyak kejayaan serta meningkatkan pengalaman dan kebolehan untuk masa hadapan yang lebih baik.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh warga kerja PYDC sebagai badan pelaksana atas komitmen untuk menjayakan skim ini.
Kepada para penerima Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) – BEST! Anak Penang, saya berharap anda semua akan terus bermotivasi dan bersemangat untuk terus cemerlang sekaligus menjadi inspirasi kepada rakan-rakan belia di negeri ini.
Sekian, terima kasih.