PROGRAM ‘CITY WALK 1.1.23 11TH EDITION’
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PROGRAM ‘CITY WALK 1.1.23 11TH EDITION’
1 JANUARI 2023 (HARI AHAD),
JALAN PADANG KOTA LAMA, PULAU PINANG
Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Ahli Parlimen/ADUN
Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ahli-ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Ketua-ketua Jabatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Para Peserta City Walk 1.1.23
Rakan-rakan Media
Tuan- tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi, Salam Sejahtera & Selamat Tahun Baru 2023.
Pertama sekali marilah kita semua memanjatkan rasa syukur atas peluang dan kesempatan untuk kembali berkumpul dalam acara jalan kaki yang cukup popular di pagi hari pertama tahun 2023 ini.
Tahun lepas, penyertaan acara ini terpaksa dihadkan kepada 1,000 peserta sahaja sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada ketika itu, namun tahun ini kita gembira dapat kembali menganjurkan acara dalam kapasiti yang lebih besar dan berjaya menarik penyertaan hampir 5,000 peserta dari dalam dan luar negeri ini.
Terima kasih kepada semua yang masih dan terus menyokong acara tahunan yang sudah memasuki penganjuran tahun ke-11 ini. Saya amat gembira melihat wajah-wajah ceria yang penuh bersemangat untuk memulakan aktiviti berjalan kaki yang begitu popular ini.
Tahniah dan syabas juga kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang saban tahun tidak pernah gagal dalam memastikan acara ini berjalan lancar dan meriah sekali. Kerajaan Negeri percaya ia merupakan antara acara yang amat dinanti-nantikan, dan secara tidak langsung telah menjadi salah satu produk pelancongan yang cukup dikenali ramai.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, kita amat menekankan penglibatan dan penyertaan daripada institusi kekeluargaan dan saya amat gembira saranan ini terus mendapat sokongan yang begitu baik daripada masyarakat tempatan di mana kita boleh lihat ramai ibu bapa dan anak-anak dalam acara pagi ini.
Semoga platform ini akan terus menjadi nadi penyatuan, bukan sahaja kepada institusi kekeluargaan itu sendiri tetapi juga kepada keseluruhan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Kerajaan Negeri ingin mengajak semua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bukan sahaja menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat tetapi juga berganding bahu dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa, sejajar dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Akhir kata, selamat menikmati perjalanan sejauh 5 km menelusuri sekitar tapak warisan George Town yang begitu kaya dengan pelbagai keindahan warisan. Semoga anda semua dapat menikmati pengalaman dan memori baharu yang indah ini.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan program City Walk 1.1.23 kali ke-11 sempena Hari Bandaraya.
Sekian, terima kasih.