MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 2022 PERSATUAN BOLA SEPAK PULAU PINANG (FAP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 2022 PERSATUAN BOLA SEPAK PULAU PINANG (FAP)

 

16 JANUARI 2023

HOTEL EASTIN, PULAU PINANG

---------------------------------------------------------------------------

 

Encik Mohd Azizudin bin Mohd Shariff

Presiden

Encik Lau Keng Ee

Timbalan Presiden

Pengamanah:

  1. a) Yang Berbahagia Dato’ Seri Suppiah Manikan
  2. b) Yang Berbahagia Dato’ Edmund Teow Peng Hee
  3. c) Encik Tajuddin bin Dato’ Zachariah

Ahli-ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang telah mengaturkan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan 2022 Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) pada malam ini dengan jayanya.

Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memartabatkan sukan khususnya sukan bola sepak,  majlis pada malam ini sememangnya amat baik sebagai platform dan penentu arah tuju Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) untuk terus mengorak langkah serta mengekalkan momentum positif bagi mengecapi lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan pada masa hadapan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di pihak Kerajaan Negeri, kita amat menghargai komitmen dan nilai kebersamaan yang ada dalam diri setiap ahli persatuan dalam merencana agenda dan matlamat untuk memastikan pembangunan sukan bola sepak negeri ini berada dalam landasan yang tepat dan betul.   

Kerajaan Negeri yakin dan percaya bahawa barisan kepimpinan persatuan mampu merencana dan menerokai peluang-peluang yang amat bermanfaat untuk perkembangan pembangunan sukan ini.

FAP terus memainkan peranannya dan giat aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan bola sepak seperti kursus kejurulatihan dan penganjuran liga-liga tempatan.

FAP turut menjadi salah satu persatuan yang giat melahirkan jurulatih-jurulatih yang baharu di mana sepanjang tahun 2022 sahaja, sebanyak 5 kursus berkaitan dengan kejurulatihan telah dijalankan dan dua (2) daripadanya merupakan Kursus Kejurulatihan Akar Umbi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya dimaklumkan bahawa Liga Divisyen FAP yang pernah ditangguhkan selama 5 tahun sebelum ini bakal dianjurkan sekali lagi dengan meriahnya. Liga Divisyen FAP ini terbahagi kepada tiga (3) divisyen di mana masing-masing mempunyai penaja tersendiri untuk liga tersebut termasuklah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan FAP untuk memberi ruang kepada bakat-bakat muda dari Pulau Pinang untuk diketengahkan dalam penganjuran Liga Bawah 19 Tahun 2022 FAP, Piala Tanjong di mana sebanyak 20 pasukan remaja di bawah usia 19 tahun telah mengambil bahagian dalam liga tersebut.

Saya turut difahamkan bahawa pihak FAP sedang giat membentuk kembali pasukan Piala Belia dan Piala Presiden untuk tahun 2023 ini yang terdiri daripada 100% anak jati Pulau Pinang dan barisan kejurulatihan yang terdiri daripada jurulatih-jurulatih Pulau Pinang. 

Di samping itu, FAP juga menumpukan pada skuad futsal yang bakal bertanding dalam peringkat tertinggi di Malaysia iaitu Malaysia Premier Futsal League (MPFL) anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan yang lebih membanggakan apabila pasukan Futsal Pulau Pinang telah menduduki tempat ke-4 keseluruhan dalam MPFL 2022 dan juga tempat ke-4 dalam Malaysia Futsal Cup (MFC).

Ini membuktikan kemampuan Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang walaupun dengan persiapan yang sederhana, mampu membuahkan hasil yang lumayan. Selain skuad futsal, FAP juga turut menyertai Liga Wanita Nasional (LWN) dan menjadi johan Wilayah Utara dan seterusnya layak ke Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022.

Ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi negeri Pulau Pinang!

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada FAP yang telah menerima Anugerah Cemerlang Warisan 100 Tahun Pulau Pinang bagi kategori Persatuan/Masyarakat dan Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Kategori (B) dari Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada FAP, tingkatkan usaha anda untuk lebih maju di masa akan datang.

Kepada Jawatankuasa Pengurusan bagi penggal 2022-2024, marilah kita sama-sama berganding bahu dan meneruskan kerjasama yang kukuh dalam memajukan sukan bola sepak Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhannya. Diharapkan agar pucuk pimpinan baharu ini mampu meminpin dan memantapkan lagi pengurusan persatuan di masa akan datang.

Dengan ini, saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 2022 Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

HARIA PENANG HARIA!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang