MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIK TARAF LORONG BELAKANG YANG MENGHUBUNGKAN LEBUH ARMENIAN KE LEBUH AH QUEE
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PROJEK MENAIK TARAF LORONG BELAKANG YANG MENGHUBUNGKAN
LEBUH ARMENIAN KE LEBUH AH QUEE
6 FEBRUARI 2023 (2.45 PETANG)
LORONG BELAKANG LEBUH ARMENIAN
GEORGE TOWN
____________________________
YB Nga Kor Ming
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa
YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan
YBhg. Dato’ Noor Ihsan bin Haji Che Mat
Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan
YBhg. Dato’ Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Para jemputan; rakan-rakan media,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan Majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Lorong Belakang Lebuh Armenian ke Lebuh Ah Quee pada petang yang berbahagia ini.
Bagi pihak tuan rumah, kita juga amat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan YB Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan bersama-sama delegasi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke majlis ini dan terutamanya Tapak Warisan UNESCO George Town yang penuh keunikan ini.
Malah, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut berterima kasih kepada YB Menteri kerana memilih negeri Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi terawal dalam siri lawatan kerja rasmi di bawah KPKT.
Sebagai pembuka kata, Selamat datang dan ‘Experience Penang’ dengan sebaik mungkin!
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagaimana semua maklum, penyenaraian George Town sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada Julai 2008 telah meletakkan negeri Pulau Pinang dalam peta pelancongan dunia.
Semenjak itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggalas tugas serta tanggungjawab besar untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan kepelbagaian ancaman yang mampu memberi kesan secara menyeluruh terhadap status ini.
Pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk mentransformasikan Pulau Pinang kepada bandar raya hijau serta pintar sejajar dengan Visi Penang2030 yang digagaskan sejak tahun 2018. Sebagai salah satu usaha dalam merealisasikan visit berkaitan, ia turut merangkumi peningkatan kualiti hidup rakyat khasnya komuniti setempat yang mana Kerajaan Negeri komited meneruskan peningkatan kelengkapan kemudahan awam yang mana ia termasuk projek penarafan lorong-lorong belakang merangkumi kawasan bersejarah bandar raya George Town supaya ia lebih mesra pengguna terutamanya kepada pejalan kaki.
Malah, selain peruntukan daripada Kerajaan Negeri sendiri, Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha mendapatkan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan bagi melengkapkan lagi kemudahan sedia ada di sini terutamanya dalam usaha-usaha pemuliharaan perlu bagi mengekalkan status pengiktirafan UNESCO yang dimiliki kini. Ini termasuk geran yang disalurkan menerusi Think City Sdn. Bhd. sebelum ini dan lain-lain berkaitan. Dengan ini, di bawah pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang baru, kita mengharapkan kerjasama yang lebih erat, padu dan juga seiringan daripada pihak menteri dan juga kementerian-kementerian berkaitan bagi kepentingan rakyat Pulau Pinang serta komuniti setempat khasnya.
Saudara dan saudari sekalian,
Hari ini, kita gembira dengan kemajuan satu lagi projek penarafan lorong belakang yang telah berjaya direalisasikan melalui model kerjasama yang terbentuk di antara KPKT, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan sektor swasta melalui projek inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebagaimana yang dimaklumkan, kerja-kerja menaik taraf lorong belakang sepanjang 135 meter ini adalah melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM125,000.00 melalui peruntukan yang disalurkan oleh KPKT. Antara kerja-kerja yang terlibat adalah menaik taraf keadaan lorong belakang sedia ada, penaiktarafan perabot jalan, penyediaan sudut-sudut berswafoto, membina semula longkang, kerja-kerja landskap, pemasangan lampu, papan tanda, kerja-kerja utiliti serta skop-skop pengindahan berkaitan.
Inilah tarikan dan mercu tanda baharu yang sudah pastinya akan menjadi nilai tambah kepada bandar raya George Town secara keseluruhan.
Umumnya, Kerajaan Negeri akan terus mengenal pasti lorong-lorong belakang yang berpotensi untuk dinaik taraf kerana kita percaya ia merupakan pendekatan dan projek contoh yang baik bagi menghakis stigma negatif masyarakat terhadap laluan tersebut. Kita ingin mengubah keadaan yang gelap, berbahaya, terbiar serta kotor kepada suasana lorong yang lebih selamat, bersih dan hijau untuk kegunaan semua.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri, pihak KPKT, MBPP dan organisasi serta individu-individu terlibat yang bersama-sama merealisasikan projek naik taraf lorong belakang ini.
Semoga usaha sama baik ini akan terus mengukuhkan perkongsian serta jalinan strategik yang lebih baik. Dalam pada itu, saya juga berharap Pulau Pinang akan terus mendapat perhatian yang lebih daripada YB Menteri dan pihak KPKT terutamanya pada aspek penyaluran peruntukan kelak.
Sekian, terima kasih.