MAJLIS PECAH TANAH BAGI KERJA-KERJA REKA BENTUK DAN NAIK TARAF LALUAN PEJALAN KAKI/ BERBASIKAL DI PESISIR SUNGAI PERAI (TAMAN INDERAWASIH – TAMAN KIMSAR)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

 YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH

BAGI KERJA-KERJA REKA BENTUK DAN NAIK TARAF LALUAN PEJALAN KAKI/ BERBASIKAL

DI PESISIR SUNGAI PERAI

(TAMAN INDERAWASIH – TAMAN KIMSAR)

4 MAC 2023 (SABTU)

Yang Berhormat Prof. Dr Ramasamy A/L Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri 2 Merangkap ADUN Perai

YBhg. Dato’ Azhar Bin Haji Arshad

Datuk Bandar Seberang Perai

Yang Dihormati WHIP Parti

Encik David Marshel a/l Pakianathan

Encik Ahmad Rizal bin Abd Hamid

Encik Ahmad Tarmizi Bin Jusoh

 

Yang Dihormati Ahli-Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

Yang Berusaha Tuan Haji Baderul Amin Bin Abdul Hamid

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan

Majlis Bandaraya Seberang Perai

 

En. Sri Sangar A/L Sivalingam Raman

Pengerusi MPKK Perai

 

En. Ragonathan A/L Kuppusamy

Setiausaha MPKK Perai

 

Rakan-Rakan media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato' Azhar bin Haji Arshad, Datuk Bandar serta seluruh pasukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan Majlis Pecah Tanah Bagi Kerja-Kerja Reka Bentuk dan Naik Taraf Laluan Pejalan Kaki/Berbasikal di Pesisir Sungai Perai (Taman Inderawasih-Taman Kimsar) serta lain-lain kerja berkaitan dapat diadakan pada pagi yang berbahagia ini.

Dengan keseluruhan kawasan seluas 28.06 ekar, taman-taman di Pesisir Sungai Perai khususnya Laman Hijauan Perai, Taman Rekreasi Taman Tunku, Taman Rekreasi Awam Sembilang dan Taman Bandar ini sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan.

Ini adalah kerana kawasan ini telah pun menjadi antara lokasi tarikan  yang mempunyai potensi yang amat besar sebagai ‘mapping’ terbaru lokasi pelancongan di kawasan Seberang Perai ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya difahamkan ini adalah kerja-kerja pembangunan di peringkat Fasa 1 yang melibatkan kawasan berkeluasan 2,864 meter persegi di atas tanah milik MBSP dengan anggaran panjang laluan yang dinaiktaraf adalah 300 meter dengan lebar 2 meter yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM440,000.00.

Di samping itu, tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama 20 minggu iaitu bermula dari  28 November 2022 sehingga 16 April 2023. Fasa 2 dan 3 masih dalam proses perancangan.

Antara komponen-komponen yang akan disediakan adalah :

  • Laluan pejalan kaki/ berbasikal
  • Dataran
  • Penanaman rumput

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MBSP bersama-sama Ahli-ahli Majlis MBSP atas yang telah membuat permohonan kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 21 Oktober 2022 lalu untuk mendapatkan peruntukan bagi merealisasikan projek ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sememangnya projek seumpama ini perlu dilaksanakan bagi memanfaatkan ruang-ruang yang ada agar terhindar dari pencerobohan dan menjamin jaringan perhubungan di antara kawasan-kawasan kejiranan.

Dengan wujudnya lebih banyak ruang awam sebegini, ia memberi peluang kepada rakyat untuk memilih lokasi bersesuaian yang selesa untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat, sekaligus membantu dan menjana peluang ekonomi setempat.

Kerajaan Negeri juga percaya kewujudan ruang awam yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk ini merupakan penanda aras bagi sebuah bandar yang mampan dan menjadikan sesuatu bandar itu lebih bertenaga dan lestari untuk penduduk sekitarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah mengambil selangkah maju ke hadapan bagi menyempurnakan projek yang bernilai tinggi ini, selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Besar harapan kita semua untuk melihat kejayaan satu lagi projek pembangunan ini yang sudah pastinya akan turut menjadi salah satu pusat rekreasi dan pelancongan domestik di negeri ini dapat direalisasikan, sekaligus mentransformasikan landskap sosio-ekonomi di ruangan awam yang lebih lestari untuk kemudahan dan keselesaan para pengunjung.  Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang