MAJLIS PECAH TANAH DAN LAWATAN TEKNIKAL: LOJI RAWATAN AIR DISSOLVED AIR FLOATATION (DAF) BUKIT PANCHOR

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH DAN LAWATAN TEKNIKAL: LOJI RAWATAN AIR

DISSOLVED AIR FLOATATION (DAF) BUKIT PANCHOR

 

11 MAC 2023

LOJI RAWATAN AIR BUKIT PANCHOR

JALAN SUNGAI KECHIL, NIBONG TEBAL

 

 

YB Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

 

YB Dato’ Dr. Amar Pritpal bin Abdullah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap

 

YB H'ng Mooi Lye

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi

YB Goh Choon Aik

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun

Yang Berbahagia Dato' Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Ir. K. Pathmanathan

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP)

 

Yang Berusaha Ir. Azrol bin Noodin

Timbalan Pengarah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Wilayah Utara

Ketua-ketua Divisyen dan Jabatan PBAHB & PBAPP

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

  1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atas jemputan dan mengatur Majlis Pecah Tanah Loji Rawatan Air Dissolved Air Floatation (DAF) Bukit Panchor pada hari yang berbahagia ini.
  1. Dengan kos sebanyak RM20 juta, inilah sebenarnya antara projek yang amat dinantikan sebagai usaha dan komitmen kita semua dalam menangani krisis bekalan air yang dialami penduduk terutama di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
  1. Selain itu, PBAPP juga telah melabur sebanyak RM11.5 juta pada tahun 2020 dan 2021 untuk menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang merupakan LRA terbesar di Pulau Pinang. Ia membekalkan 63.37 peratus daripada air terawat yang dihasilkan ke Seberang Perai setiap hari.
  1. Pada bulan Januari 2023 lalu juga, PBAPP turut memulakan operasi secara menyeluruh Rumah Pam Permatang Tinggi bernilai RM1.2 juta di SPS.
  1. Hari ini, saya gembira melihat pembinaan loji DAF baharu Bukit Panchor bernilai RM20 juta di SPS berjalan seperti yang dijadualkan.
  1. Oleh itu, boleh dikatakan PBAPP kini telah melabur lebih RM30 juta dalam tiga (3) projek utama sejak 3 tahun lalu untuk menaik taraf kapasiti bekalan airnya di Seberang Perai. Projek-projek ini juga sepatutnya membantu mengurangkan isu bekalan air di SPS.
  1. Pelaburan ini sangat penting dan perlu kerana PBAPP telah mendapati berlaku peningkatan luar biasa dalam penggunaan air di Pulau Pinang sejak 2019.
  1. Menurut data PBAPP, penggunaan air harian di Pulau Pinang telah melonjak sebanyak 10.4 peratus dalam tempoh 3 tahun, daripada 843 juta liter sehari (MLD) pada 2019 kepada 931 MLD pada Mei 2022.
  1. Situasi itu berbeza berbanding untuk tempoh 9 tahun sebelum itu, penggunaan meningkat sebanyak 7.8 peratus sahaja, iaitu daripada 782 MLD pada 2010 kepada 843 MLD pada 2019.
  1. Lonjakan 10.4 peratus dalam penggunaan air untuk hanya dalam tempoh 4 tahun tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah bekalan air di Pulau Pinang. Ini adalah satu fenomena yang luar biasa dan sekaligus memberi kesan kepada perkhidmatan bekalan air ke kawasan tanah tinggi dan kawasan hujung paip agihan di SPS.
  1. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan PBAPP untuk melaksanakan lebih banyak projek bekalan air bagi memenuhi permintaan air yang lebih tinggi dan menangani isu bekalan air di SPS.
  1. Saya juga menggesa PBAPP untuk terus melaksanakan projek bekalan air yang rasional bagi menangani keperluan bekalan air rakyat Pulau Pinang keseluruhannya. Jangan hentikan usaha ini sehingga kita berjaya mencapai kecukupan bekalan air menjelang 2030.
  1. Kita sedia maklum, PBAPP mempunyai kekangan operasi dan bajet. Bagaimanapun, harus diingat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengutamakan kebangkitan sosioekonomi pasca pandemik agar kita dapat mencapai matlamat yang digariskan dalam Visi Penang2030.
  1. Kecukupan bekalan air adalah satu keperluan yang tidak boleh dirunding untuk kemajuan sosioekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan. Kita mesti sentiasa memastikan bahawa kita mempunyai air yang mencukupi untuk mencapai masa depan yang lebih cerah.
  1. Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PBAPP yang sememangnya sangat komited dalam melaksanakan tangggungjawab sebagai operator air di negeri Pulau Pinang.
  1. Semoga dengan pelbagai usaha berterusan ini, Pulau Pinang mampu terus menguruskan bekalan air mampan dan memberikan manfaat kepada penduduk di SPS khasnya seterusnya kepada 1.76 juta penduduk di negeri ini keseluruhannya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang