MAJLIS PRA-PELANCARAN DAN LAWATAN TAPAK PROJEK PENYEDIAAN PARIT KUBU (MOAT), KOTA CORNWALLIS
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PRA-PELANCARAN DAN LAWATAN TAPAK PROJEK PENYEDIAAN PARIT KUBU (MOAT), KOTA CORNWALLIS, GEORGE TOWN, PULAU PINANG
14 MAC 2023, SELASA I 6 PETANG
-----------------------------------------------------------
YB Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar
Setiausaha Kerajaan Negeri
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
YB Puan Zabidah binti Safar
Pegawai Kewangan Negeri
Yang Berbahagia Dato' Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Anwar Fazal
Pengerusi, Think City Sdn. Bhd.
Ketua-ketua Jabatan; Rakan-rakan Media;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Petang dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kesempatan semua dapat berkumpul pada petang yang berbahagia ini, untuk bersama-sama dalam Majlis Pra-Pelancaran dan Lawatan Tapak Projek Penyediaan Semula dan Konservasi Fort Cornwallis, George Town Pulau Pinang.
Sepertimana semua sedia maklum, Fort Cornwallis atau Kota Cornwallis merupakan salah satu projek utama dalam ‘North Seafront Master Plan’ yang menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan menaik taraf kawasan, penyediaan pusat maklumat sejarah dan ruang rekreasi bernilai tinggi dengan mempergunakan aset pelancongan warisan sedia ada.
Bagi memastikan tapak warisan bagi pengekalan status Warisan Dunia UNESCO George Town terutamanya di kawasan tumpuan ini terus dilindungi, dipelihara dan dipulihara, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menaik taraf dan mewujudkan pelbagai produk pelancongan berkualiti selaras dengan ‘North Seafront Master Plan’ dan Rancangan Kawasan Khas George Town.
Malah, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif lain dengan menyenaraikan beberapa projek warisan yang mampu menjana ekonomi melalui aktiviti komersial dan dibangunkan menerusi model 'public-private partnership' (PPP) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, seperti Penang Bay dan juga cadangan untuk menaik taraf Dewan Sri Pinang.
Projek-projek ini diterajui oleh George Town Conservation and Development Corporation Sdn. Bhd. (GTCDC) iaitu agensi usaha sama Think City Sdn. Bhd. dan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) serta bantuan kepakaran daripada konsultan antarabangsa, The Aga Khan Cultural Services (AKCS).
Sejak tahun 2019 hingga 2021, beberapa komponen projek Fort Cornwallis telah diselesaikan yang mana peruntukan yang dibelanjakan adalah berjumlah RM4.6 juta melibatkan kerja-kerja:
- Ekskavasi Moat Fort Cornwallis
- Ekskavasi kawasan Store Room Fort Cornwallis
- Konservasi Meriam; dan
- Konservasi Store Room Fort Cornwallis yang kini sedang dalam pelan untuk dijadikan mini galeri.
Hadirin sekalian,
Terkini, projek Kota Cornwallis telah memulakan pembangunan selanjutnya dan sedang dalam proses tender untuk lantikan kontraktor bagi pelaksanaan komponen utama fasa ini iaitu penyediaan semula parit kubu (moat) berbentuk ‘L’ yang menjadi mercu tanda dan benteng kubu semasa zaman British, serta komponen tambahan bagi pembangunan semula Astaka Kota Selera untuk menjadikannya medan selera yang lebih kualiti dengan reka bentuk moden serta mampan bagi menggantikan yang sedia ada.
Gerai-gerai tersedia kini juga akan ditempatkan di lokasi sementara dalam tempoh pembinaan iaitu di kawasan taman permainan bersebelahan padang bagi menjamin kelangsungan aktiviti perniagaan medan selera di kawasan ini.
Ekoran pendekatan yang diambil, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan terkini sebanyak RM14.8 juta bagi Fasa 5 dan Fasa 6 mulai tahun 2022 hingga 2025, serta peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi penyediaan mini galeri di Store Room Fort Cornwallis yang dijangka akan siap pada Ogos 2023.
Sebagai makluman semua, sebagaimana yang dapat kita lihat, GTCDC dengan kepakaran perunding utama dilantik dan AKCS telah menyiapkan mock-up moat dengan ukuran hampir 200 meter persegi yang akan dijadikan panduan asas kepada kontraktor bakal dilantik dalam memastikan spesifikasi untuk pembinaan semula moat adalah mengikut kaedah pembinaan, bahan mengikut piawai dan kualiti bersesuaian dengan kepentingan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Malah, moat ini akan dilengkapi dengan sistem penapisan (filteration) dan sistem hidrologi berperingkat termasuk sistem penapisan semula jadi menggunakan tumbuhan akuatik yang dijangka akan mengurangkan kos penyelenggaraan kelak.
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan pada petang ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama, komitmen serta dedikasi yang dicurahkan dalam menjayakan projek ini.
Saya yakin dengan ikatan kerjasama ini, tidak lama lagi kita akan melihat pembangunan keseluruhan Kota Cornwallis yang boleh dijadikan contoh sebagai tapak warisan yang berjaya memaksimumkan aset warisan bernilai tingginya. Ini juga sekaligus dilihat mampu meningkatkan pembangunan serta kemampanan sosio ekonomi negeri dengan pengekalan nilai-nilai sejarah, kelestarian alam sekitar serta mewujudkan ruang awam yang selesa, mampan dan inklusif untuk semua.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pra-Pelancaran dan Lawatan Tapak Projek Konservasi dan Penyediaan Semula Parit Kubu (Moat), Fort Cornwallis, Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.