MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KESIHATAN ONE HOPE CHARITY & WELFARE TAHUN 2023

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KESIHATAN

ONE HOPE CHARITY & WELFARE TAHUN 2023

 

6 MEI 2023

PICCA CONVENTION CENTRE @ BUTTERWORTH ARENA

YB Lim Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan

Yang Berbahagia Dato’ Chua Sui Hau

Pengerusi One Hope Charity

 

Yang Berbahagia Dato Seri R.Arunasalam

Penasihat One Hope Charity

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih khusus kepada One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity) atas penganjuran Karnival Kesihatan One Hope Charity & Welfare Tahun 2023 pada pagi yang berbahagia ini. 

Saya amat gembira melihat kesungguhan dan komitmen berterusan pasukan One Hope Charity bersama dengan rakan-rakan kerjasama yang lain dalam merealisasikan acara tahunan yang sangat signifikan dan sudah pun memasuki tahun penganjuran yang ke-8.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana penganjuran pada tahun-tahun sebelum ini, Karnival Kesihatan yang akan berlangsung selama dua (2) hari (bermula hari ini dan esok) menawarkan lebih daripada 25 jenis perkhidmatan pemeriksaan merangkumi pemeriksaan dari mata hingga ke kaki, serta pemeriksaan luaran hingga ke organ dalaman badan seperti pemeriksaan hati, pemeriksaan jantung dan pelbagai oleh pakar dan doktor perubatan serta pasukan perubatan yang bertauliah tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada para pengunjung.

Selain itu, saya dimaklumkan pihak penganjur turut membawa pakar-pakar berpengalaman dari Kuala Lumpur untuk turut serta dalam pameran-pameran kesedaran untuk penyakit seperti strok, skoliosis, dan penyakit genetik yang jarang mengambil bahagian dalam karnival kesihatan sebegini.

Saya kira inilah antara penambahbaikan yang baik dan bagus sekali kerana khidmat konsultasi ini sangat penting untuk mendedah dan memberikan  pendidikan awal akan penyakit yang cukup berisiko melanda masyarakat pada masa kini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kita memahami akan keresahan dan kegusaran berkaitan kos pemeriksaan kesihatan yang semakin mahal, ditambah dengan tuntutan dan kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga menjadi beban kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Justeru, penganjuran program karnival kesihatan sebegini sangat tepat pada masanya dan diharapkan juga agar konsep “mencegah sebelum parah” akan terus kekal relevan dan mendapat perhatian serta pertimbangan sewajarnya oleh masyarakat di luar sana.

Sebelum mengakhiri ucapan ringkas ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada One Hope Charity yang tanpa gagal melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini saban tahun, sekaligus membantu merealisasikan Visi Penang2030 ke arah meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan dan kesihatan penduduk negeri ini.

Adalah diharapkan kolaborasi dan usaha berterusan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama ini terus dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan berintegriti, selari dengan kedudukan One Hope Charity sebagai badan amal yang gah dan amat dikenali.

Sekian, terima kasih.

ONE HOPE CHARITY & WELFARE

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang