MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MASJID JAMEK AL MARJAN SERTA MPKK JALAN TRANSFER DAN JALAN ARGYLL
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN
MASJID JAMEK AL MARJAN SERTA MPKK JALAN TRANSFER DAN JALAN ARGYLL
7 MEI 2023
PPR TAMAN MANGGIS
Encik Mak Tong Lee
Pengerusi MPKK Jalan Transfer/Argyll
Haji Osman Mydin
Pengerusi Masjid Jamek Al Marjan
Ustaz Faizal
Imam Masjid
Para Penduduk Flat Taman Manggis
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian
Selamat Tengah Hari dan Salam Sejahtera.
➢ Setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan izin dan kesempatan yang diberikan dapat kita berkumpul pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Masjid Jamek Al Marjan serta MPKK Jalan Transfer Dan Jalan Argyll.
➢Terima kasih kepada para penduduk yang memberikan sokongan dan saya gembira melihat sambutan yang diberikan cukup baik sekali dan diharapkan platform ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kita semua untuk saling mengenali dan mengukuhkan hubungan persaudaraan antara satu sama lain.
➢ Terima kasih sekali lagi kepada Masjid Jamek Al Marjan, MPKK Jalan Transfer dan Jalan Argyll serta semua yang terlibat atas komitmen dan inisiatif yang digerakkan untuk menganjurkan acara pada hari ini.
➢ Hari ini bukan berkisar tentang merayakan Hari Raya Aidilfitri semata-mata, tetapi ia sebenarnya merangkumi pelbagai catatan yang mempunyai pengertian dan makna yang cukup besar kepada kita semua di mana amat penting bagi majlis-majlis sebegini dianjurkan untuk mengekalkan identiti serta jati diri, dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
➢ Sebagaimana semua maklum, MPKK merupakan jentera Kerajaan Negeri yang paling dekat dengan komuniti di peringkat akar umbi. Peranan MPKK dalam menyalurkan maklumat dan dasar Kerajaan Negeri serta kesediaan memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan amatlah dihargai.
➢ Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa sentiasa menghargai peranan yang dilaksanakan oleh pihak MPKK melalui pelbagai inisiatif termasuk kenaikan Elaun Kehadiran Mesyuarat (EKM) daripada RM50.00 kepada RM100.00 dan pemberian Elaun Bendahari sebanyak RM300.00 setiap bulan.
➢ Saya berharap dengan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini, ia dapat meningkatkan lagi semangat anggota MPKK dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
➢ Justeru, adalah diharapkan semangat dan perkhidmatan yang ditunjukkan oleh MPKK ini bagi memastikan tadbir urus yang baik dapat diteruskan selaras dengan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri yang merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
➢ Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin berterima kasih atas komitmen penuh yang dicurahkan oleh pasukan MPKK setempat yang sentiasa memainkan peranan sebagai pengantara antara rakyat dan juga Kerajaan Negeri. Tanpa komitmen anda, Kerajaan Negeri tidak mampu mencapai kedudukan hari ini.
Sekian, terima kasih