MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PENANG GIS DAY 2023
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PENANG GIS DAY 2023
8 JUN 2023
HOTEL OLIVE TREE, BAYAN LEPAS
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PLANMalaysia Pulau Pinang (Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang) dalam menganjurkan Seminar Penang GIS Day 2023: Towards Harmonious Smart City pada pagi yang berbahagia ini.
Sesungguhnya penganjuran program yang julung kali diadakan ini adalah manifestasi dan bukti dalam menyatakan komitmen dan kebersamaan kita semua dalam melihat kemajuan khususnya kepada pemain industri di dalam bidang teknologi Geographical Information System (GIS), iaitu Geospatialist.
Bertepatan dengan tema yang dipilih iaitu ‘Towards Harmonious Smart City’ , saya kira inilah masanya untuk kita memanfaatkan platform ini untuk memberikan pendedahan dan perkongsian ilmu berkaitan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan teknologi terkini dalam maklumat data yang amat diperlukan terutama dalam pelaksanaan perancangan serta pemantauan bagi projek-projek pembangunan di negeri ini.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 yang menjadi pelengkap kepada keseimbangan keseluruhan pembangunan negeri, Kerajaan Negeri komited untuk terus memacu agenda negeri ini ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Justeru, kesemua dasar dan inisiatif yang diperkenalkan sememangnya adalah berpaksikan ke arah matlamat dan hala tuju smart state atau smart city selaras dengan:
- Sustainable Development Goal (SDG), SDG 9 : Industry, Innovation and Infrastructure;
- Tema D Visi Penang2030 - Melabur Dalam Persekitaran Terbina Bagi Menambah Baik Daya Tahan;
- Visi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) untuk memakmurkan Negeri Pulau Pinang Sebagai Sebuah Negeri Pintar, Harmoni Dan Bertaraf Antarabangsa;
- Pelan Strategik Pendigitalan PSUKPP 2021 – 2025 untuk memperkasa Infrastruktur Data Geospatial Negeri (SGDI) secara holistik bagi memperkukuh usaha Kerajaan Negeri ke arah pendigitalan.
Kita percaya dengan perancangan dan agenda yang tersusun, hal ini akan membantu dan memperkukuhkan landskap pembangunan Pulau Pinang keseluruhannya sebagai sebuah negeri yang inklusif dan mampan.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PLANMalaysia Pulau Pinang dan semua yang terlibat atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan seminar yang sungguh bermanfaat ini.
Diharapkan dengan platform ini, ia membantu kita menjana ekosistem yang lebih maju dan berdaya saing khusus kepada bidang geospatial dan teknologi terutama dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Penang GIS Day 2023: Harmonious Smart City.
Sekian, terima kasih.